Soalan :
Apakah yang dimaksudkan dengan kelebihan menulis di dalam hadith?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Matan Hadith
Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa beliau berkata:
مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّم أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيْثًا عَنْهُ مِنِّي، إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عبدِ اللَّهِ بنِ عَمْرٍو، فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلَا أَكْتُبُ
Maksudnya: “Tidak ada daripada sahabat-sahabat Nabi SAW yang lebih banyak meriwayatkan hadith daripadaku kecuali Abdullah bin Amr. Sesungguhnya dia lebih banyak daripadaku disebabkan dia menulis dan aku pula tidak menulis”.
[Riwayat al-Bukhari, no. hadith 110,al-Tirmizi, no. hadith 2592]
Maksud Hadith
Berdasarkan hadith ini, kita dapat mengetahui bahawa menulis adalah sangat penting dan dituntut dalam menuntut ilmu. Disebabkan itu, Abu Hurairah RA sendiri yang mengakui akan hal tersebut. Ini kerana, daya ingatan dan hafalan manusia adalah berbeza antara satu sama lain. Untuk itu, apabila kita terlupa maka kita boleh merujuknya semula pada bila-bila masa yang kita perlukan.
Tambahan pula, di dalam ilmu hadith hafalan amatlah penting agar tidak berlaku kecacatan ketika meriwayatkan hadith. Selain itu juga, ingatan dan hafalan di dalam ilmu hadith terbahagi kepada dua, iaitu:
- Pertama: Ingatan di dada (ضبط الصدر) adalah ingatan yang tidak memerlukan catatan.
- Kedua: Ingatan tulisan (ضبط الكتابة) adalah ingatan yang memerlukan untuk melihat pada catatan.
Oleh kerana itu, kita sebagai manusia yang sentiasa lupa dan lemah ingatan perlulah menulis atau mencatat segala yang kita pelajari supaya ia tidak hilang dari ingatan kita.
Penutup
Kesimpulannya, marilah sama-sama kita membudayakan amalan ini yang telah dilakukan oleh para salaf dan khalaf. Ini kerana, mutakhir ini kebanyakan penuntut ilmu tidak lagi membudayakan dengan budaya ini. Untuk itu, sudah menjadi tanggungjawab seorang penuntut ilmu untuk menulis setiap apa yang mereka pelajari dan dengari. Benarlah pepatah arab yang mengatakan:
العِلْمُ صَيْدٌ وَالْكِتَابَةُ قَيْدُهُ
Maksudnya: “Ilmu seperti haiwan buruan dan tulisan adalah yang akan mengikatnya (ilmu)”.
Akhirnya, Semoga Allah SWT menggolongkan kita dalam kalangan orang-orang yang sentiasa mengingati apa yang telah kita pelajari dan semoga apa yang dipelajari itu membawa manfaat kepada kita dan orang-orang yang berada di sekeliling kita. Amin.