اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-138: TANDA-TANDA BESAR KIAMAT

 

Soalan: Apakah terdapat hadith yang menceritakan berkaitan tanda-tanda besar Kiamat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kami akan cuba membahaskan berkaitan persoalan ini dan kami juga akan cuba datangkan beberapa riwayat atau hadith yang menceritakan berkaitan tanda-tanda besar Kiamat.

 

Definisi Ashrath “أشراط”

Ashrath “أشراط” merupakan perkataan jama’ bagi perkataan “الشرَط” iaitu dengan dibariskan huruf ra’ dengan baris atas. Ashrath ini membawa maksud ‘alamah “علامة” iaitu tanda.

 

Definisi al-Sa’ah “الساعة”

Menurut bahasa, al-Sa’ah merupakan satu juzuk (bahagian) daripada siang dan malam. Akan tetapi Allah SWT telah menamakan Kiamat ini dengan beberapa nama sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Qur’an. Antaranya al-Sa’ah “الساعة” berdasarkan firman Allah SWT:

 

إِنَّ السَّاعَةَ آتِيَةٌ أَكَادُ أُخْفِيهَا لِتُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا تَسْعَىٰ

Maksudnya: “Sesungguhnya hari Kiamat itu tetap akan datang (yang Aku sengaja sembunyikan masa datangnya) supaya tiap-tiap diri dibalas akan apa yang dia usahakan”. [Thaha:15]

 

Dari sudut istilah pula, al-Sa’ah yang dimaksudkan adalah satu waktu yang akan tiba dan akan berlakunya Kiamat pada waktu tersebut.

 

Definisi Tanda Besar Kiamat atau Ashrath al-Sa’ah al-Kubra (أشراط الساعة الكبرى)

Apa yang dimaksudkan dengan tanda besar Kiamat adalah perkara-perkara besar yang akan berlaku apabila hampirnya hari Kiamat. Contohnya seperti keluarnya Dajjal, turunnya Isa AS, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terbitnya matahari dari barat dan beberapa tanda lain.

 

Hadith-Hadith Berkaitan Tanda-Tanda Besar Kiamat

Antara hadith yang sahih menceritakan berkenaan tanda-tanda besar Kiamat ini adalah:

 

  • Daripada Huzaifah Bin Asid al-Ghifari berkata: Telah muncul Rasulullah SAW di samping kami apabila kami sedang berbincang. Maka Baginda SAW bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: Kami sedang membicarakan perihal al-Sa’ah (hari Kiamat). Lalu Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ - فَذَكَرَ - الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda SAW menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”. [Riwayat Muslim (2901)]

                               

  • Dalam riwayat yang lain, hadith yang lebih kurang sama daripada Huzaifah bin Asid bahawa Nabi SAW di dalam bilik dan kami berada di bawahnya. Maka Nabi SAW bertanya: Apa yang kamu bincangkan? Mereka menjawab: perihal al-Sa’ah (hari Kiamat). Lalu Nabi SAW bersabda:

 

إنَّ السَّاعَةَ لَا تَكُونُ حَتَّى تَكُونَ عَشْرُ آيَاتٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ فِي جَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَالدُّخَانُ وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ، وَيَأْجُوجُ وَمَأْجُوجُ، وَطُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنَارٌ تَخْرُجُ مِنْ قُعْرَةِ عَدَنٍ تَرْحَلُ النَّاسَ".

Maksudnya: ““Sesungguhnya al-Sa’ah (hari Kiamat) tidak akan berlaku sehingga berlaku sepuluh tanda ini iaitu gerhana di Timur, gerhana di Barat, gerhana di rantau arab, asap, Dajjal, Dabah yang melata di bumi (sejenis haiwan),Ya’juj dan Ma’juj, terbit matahari dari Barat, api yang keluar dari lembah Aden yang akan mengiringi manusia ”. [Riwayat Muslim (2901)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: طُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، أَوِ الدُّخَانَ، أَوِ الدَّجَّالَ، أَوِ الدَّابَّةَ، أَوْ خَاصَّةَ أَحَدِكُمْ أَوْ أَمْرَ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari Barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (Kiamat)”. [Riwayat Muslim (2947)]

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سِتًّا: الدَّجَّالَ، وَالدُّخَانَ، وَدَابَّةَ الْأَرْضِ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَأَمْرَ الْعَامَّةِ، وَخُوَيْصَّةَ أَحَدِكُمْ

Maksudnya: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Dajjal, Asap, Dabah yang melata di bumi, terbit matahari dari Barat, urusan umum (Kiamat) dan perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian)”. [Riwayat Muslim (2947)]

 

 

 Persoalan

Antara persoalan yang biasa timbul ketika berbincang berkaitan isu ini:

 

Soalan: Adakah tanda-tanda besar Kiamat mempunyai susunan yang khusus?

 

Jawapan: Setelah melihat riwayat-riwayat atau hadith-hadith yang berbagai, tanda-tanda Kiamat ini tidak mempunyai susunan yang khusus. Ini kerana, riwayat atau hadith yang menceritakan perihal ini berbeza dari sudut susunannya. Tambahan pula, para ulama’ turut berbeza pendapat dalam menentukan tanda besar Kiamat yang pertama dan terakhir. Ini jelas menunjukkan bahawa tidak ada nas atau hadith yang menjelaskan secara khusus berkaitan susunan tanda-tanda besar Kiamat ini melainkan ia hanyalah ijtihad para ulama’ dalam menentukan susunan tersebut.

 

Antara contoh yang boleh dilihat berdasarkan hadith Abu Hurairah RA yang kami nyatakan di atas. Kedua hadith atau riwayat tersebut datangnya daripada Abu Hurairah RA. Akan tetapi satu riwayat menggunakan “أو (atau)” dan satu riwayat lagi menggunakan “و (dan)”. Kedua ini adalah huruf ‘athaf dan keduanya juga tidak membawa maksud tertib atau susunan. Maksudnya adalah setiap tanda-tanda itu berlaku mengikut susunan.

 

Telah berkata Syeikh al-Mubarakfuri:

 

اعْلَمْ أَنَّ الرِّوَايَاتِ قَدِ اختلفت في ترتيب الايات العشر ولذ اخْتَلَفَ أَهْلُ الْعِلْمِ فِي تَرْتِيبِهَا فَقَدْ قِيلَ إِنَّ أَوَّلَ الْآيَاتِ الدُّخَانُ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّجَّالِ ثُمَّ نُزُولُ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ ثُمَّ خُرُوجُ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ ثُمَّ خُرُوجُ الدَّابَّةِ ثُمَّ طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِنَّ الْكُفَّارَ يُسْلِمُونَ فِي زَمَنِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ حَتَّى تَكُونَ الدَّعْوَةُ وَاحِدَةً

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa riwayat-riwayat ini (berkaitan tanda-tanda besar Kiamat) telah menjadi perselisihan pada susunan tanda-tanda yang sepuluh (tanda besar Kiamat). Untuk itu, telah berselisih para ahli ilmu dalam menentukan susunannya. Telah dikatakan bahawasanya tanda besar Kiamat yang pertama adalah Asap, kemudian keluarnya Dajjal, kemudian turunnya Isa AS, kemudian keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, kemudia keluarnya al-Dabah, kemudian terbit matahari dari Barat kerana orang kafir memasuki Islam pada zaman Nabi Isa AS sehingga dakwah ini menjadi satu”. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 346/6]

 

Soalan: Apakah terdapat tempoh masa tertentu bagi setiap tanda-tanda besar Kiamat itu?

 

Jawapan: Tidak dikhabarkan secara khusus akan tempoh atau jarak masa antara satu tanda ke satu tanda yang lain. Walaubagaimanapun, apabila tanda besar Kiamat yang pertama telah muncul, maka tanda-tanda yang lain akan turut berlaku seperti mutiara di dalam sebuah ikatan, setiap satu akan mengikuti yang lain. Antara dalil yang mengatakan sedemikian adalah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

خُرُوجُ الْآيَاتِ بَعْضِهَا عَلَى إِثْرِ بَعْضٍ، يَتَتَابَعْنَ كَمَا تَتَتَابَعُ الْخَرَزُ فِي النِّظَامِ

 

Maksudnya: “Munculnya tanda-tanda (Kiamat) sebahagian  mengikuti bahagian yang lain, saling mengikuti bagaikan mutiara pada sebuah ikatan”. [Lihat: Mu’jam al-Awsath (4271)]

 

Selain itu juga, daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

الآيَاتُ خَرَزَاتٌ مَنْظُوْمَاتٌ فِيْ سِلْكٍ، فَإِنْ يُقْطَعِ السِّلْكُ؛ يَتْبَعْ بَعْضُهَا بَعْضًا

Maksudnya: “Tanda-tanda (Kiamat) seperti mutiara yang tersusun pada seutas benang, jika benang itu dipotong maka sebahagiannya akan mengikuti sebagian yang lain (jatuh)”. [Riwayat Ahmad (7040)]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat ini. Ini kerana, tidak ada yang dapat menyelamatkan kita daripada segala fitnah dan ujian ini melainkan dengan iman. Akhirnya, semoga Allah SWT memeligara dan mengekalkan iman kita agar kita tergolong daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua'lam