اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-20 : Hadis Jihad Lawan Hawa Nafsu?

Matan al-Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

رَجَعْنَا مِنَ الجهادِ الأصغرِ إلى الجهادِ الأكبرِ . قالوا : وما الجِهادُ الأكبرُ ؟ قال : جِهادُ القَلبِ

Maksudnya : “Kami telah pulang daripada jihad yang lebih kecil kepada jihad yang lebih besar. Mereka bertanya : Apakah yang dimaksudkan dengan jihad yang lebih besar itu ? Nabi SAW bersabda : Kesungguhan seseorang hamba melawan hawa nafsunya”.

Hadis ini diriwayatkan dengan makna yang sama oleh al-Baihaqi (373), kitab al-Zuhd, Sunan al-Kabir. 

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW. Hadis ini sering kita dengar di dalam ceramah-ceramah atau sebagainya, namun apakah hukum para ulama’ terhadap hadis ini.

 

Antara pendapat para ulama’ tentang hukum hadis ini :

1) Al-Baihaqi : Sanadnya adalah dha’if. [al-Zuhd al-Kabir, 1:165]

2) Al-‘Iraqi  : Hukum hadis tersebut adalah dha’if. [Takhrij al-Ihya’, 2:6]

3) Ibn al-Rejab : hadis ini sanadnya adalah dha’if. [Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1:489]

4) Al-Zaila’iy : hadis ini terlalu gharib (ganjil). [Takhrij al-Kasyaf, 2:396]

5) Ibn Taimiyyah  : Hukum hadis tersebut adalah tiada asal baginya. [Majmu’ al-Fatawa 1:197]

 

Tarjih

Setelah kami meniliti pendapat para ulama’ terhadap hadis ini, maka kami  berpendapat bahawa ia bukanlah hadis berdasar pendapat Ibnu Hajar. Al-‘Ajlouniy telah menukilkan pendapat Ibnu Hajar di dalam karyanya dengan menyatakan bahawa hadis ini masyhur di lidah-lidah manusia dan ia juga merupakan perkataan daripada Ibrahim bin Abi ‘Ublah iaitu seorang tabi’in(عبلة) bukannya daripada Nabi SAW. [Kasyhful al-Khafa’, 1:425]

 

Aplikasi hadis

Tidak dinafikan bahawa melawan dan mengawal hawa nafsu adalah satu perkara yang besar dan sukar dilakukan. Ini kerana, ia memerlukan usaha yang tinggi bagi mengawal hawa nafsu tersebut agar tidak terjerumus ke lembah maksiat.Antara perkara yang boleh dilakukan bagi mengawal hawa nafsu ini adalah dengan sentiasa melakukan perkara-perkara kebaikan dan menguatkan hubungan dengan Allah SWT, seperti yang dinyatakan di dalam al-Qur’an :

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّـهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ 

Maksudnya : “ Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan), dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya ”.

[al-‘Ankabut : 69]

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan dalam kalangan hamba-hambnya yang soleh dan sentiasa melaksanakan segala perintah-NYa dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Wallahua'lam.