اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-31 : Hadis al-Mudabbaj (المدبج)

 Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan Hadis Mudabbaj?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan yang diajukan, soalan tersebut berkaitan dengan ilmu Mustalah al-Hadith atau dinamakan sebagai Ulum al-Hadith. Hadis Mudabbaj adalah salah satu daripada jenis-jenis hadis yang melibatkan periwayatan perawi.

 

Definisi hadis Mudabbaj

Hadis Mudabbaj merupakan riwayat Qarin daripada Qarinnya (kedua perawi saling berdekatan atau berkawan). Ini merupakan definisi yang diberikan oleh Imam al-Baiquniy di dalam Manzhumahnya:

ومَا رَوى كلُّ قَرِينٍ عنْ أَخِهْ ... "مُدَبَّجٌ" فَاعْرِفْهُ حَقًّا وانْتَخِهْ

Maksudnya: “Apa (Hadis) yang diriwayatkan oleh setiap teman daripada saudaranya (temannya) disebut sebagai Mudabbaj, maka ketahuilah dan bermegahlah dengannya”.

Berdasarkan definisi ini, kita melihat bahawa Hadis Mudabbaj ini memiliki dua ciri:

  • Pertama: Setiap perawi yang meriwayatkan daripada perawi yang lain (temannya) dan kedua-duanya saling berdekatan. Maksudnya, setiap perawi itu perlulah sama atau berdekatan dari segi umur atau tabaqat sanad ataupun kedua-duanya sekali.
  • Kedua: Riwayat itu perlulah berlaku antara qarin dengan qarin Jika riwayat murid daripada gurunya atau riwayat orang yang muda daripada orang yang tua, ini tidak dinamakan Mudabbaj bahkan ia dinamakan riwayat al-Aqran.

 

Contoh Hadis Mudabbaj

  • Mudabbaj dalam kalangan sahabat: riwayat Aisyah daripada Abu Hurairah serta riwayat Abu Hurairah daripada Aisyah.
  • Mudabbaj dalam kalangan tabi’in: Riwayat al-Zuhri daripada Umar bin Abdul Aziz serta riwayat Umar bin Abdul Aziz daripada al-Zuhri.
  • Mudabbaj dalam kalangan tabi’i al-tabi’in: riwayat Malik daripada al-Auza’iy serta riwayat al-Auza’iy daripada Malik.

 

Persoalan

  • Apakah perbezaan antara “Hadis Mudabbaj” dan “Riwayat al-Aqran”?

 

Jawapan: Jika seorang perawi itu meriwayatkan daripada perawi yang lain dan perawi yang lain itu tidak meriwayatkan daripadanya maka ini dinamakan “Riwayat al-Aqran”. Manakala jika kedua-dua perawi tersebut saling meriwayatkan antara satu sama lain, ini barulah dinamakan “Mudabbaj”. Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan satu kaedah dalam membezakan antara “Mudabbaj” dan “Riwayat al-Aqran” di dalam al-Nuzhahnya :

فكلُّ مُدَبَّجٍ أَقرانٌ، وليسَ كلُّ أَقرانٍ مُدَبَّجاً

Maksudnya: “Setiap Mudabbaj itu adalah Aqran dan bukan setiap Aqran itu Mudabbaj”.

  • Adakah riwayat guru daripada muridnya dan kedua-duanya saling meriwayatkan antara satu sama lain dikira sebagai “Mudabbaj”?

 

Jawapan: Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Padanya terdapat perbahasan. Jika dilihat secara zahirnya tidak, kerana ia termasuk di dalam riwayat al-Akabir (orang yang tua) daripada al-Asaghir (orang yang muda).

 

Penutup

Hadis Mudabbaj dan Riwayat al-Aqran mempunyai bentuk yang hampir serupa cuma yang membezakan antara keduanya adalah Hadis Mudabbaj ini berlaku apabila kedua-dua perawi saling meriwayatkan antara satu sama lain dan ini tidak berlaku di dalam Riwayat al-Aqran. Semoga dengan pencerahan yang ringkas ini, sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu pengetahuan kita berkaitan ilmu hadis. Amin.

Wallahua`lam