اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-2: KELEBIHAN AHLI BAYT NABI SAW DENGAN BAHTERA NUH

  Soalan:

Apakah status bagi hadis-hadis berikut:

  • Dari Zaid bin ArqamRA, telah bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku tinggalkan untuk kalian dua pusaka yang berat iaitu Kitab Allah (Al-Quran) dan Ahl al-Baytku (keluargaku). Jika kalian berpegang teguh dengannya maka tidak akan pernah tersesat selama-lamanya. Sungguh keduanya tidak akan pernah saling berpisah hingga kelak akan berjumpa denganku di telaga Al-Haudh”.
  • Aku mendengar sendiri Abu Dzar RA di pintu Kaabah, “Wahai sekalian umat manusia, barangsiapa yang mengenali aku, sungguh aku adalah orang yang kalian kenal dan barangsiapa yang mengingkari aku, ingatlah aku adalah Abu Dzar. Aku telah mendengar Baginda Nabi SAW bersabda: Perumpamaan Ahl al-Baytku seumpama bahtera Nabi Nuh AS. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa meninggalkannya ia akan tenggelam.”

 

Jawapan:

  • Bagi hadis yang pertama, lafaz asal hadis adalah seperti berikut:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْمُنْذِرِ، - كُوفِيٌّ - حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ فُضَيْلٍ، قَالَ حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ، عَنْ عَطِيَّةَ، عَنْ أَبِي سَعِيدٍ، وَالأَعْمَشُ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ، عَنْ زَيْدِ بْنِ أَرْقَمَ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالاَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ إِنِّي تَارِكٌ فِيكُمْ مَا إِنْ تَمَسَّكْتُمْ بِهِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدِي أَحَدُهُمَا أَعْظَمُ مِنَ الآخَرِ كِتَابُ اللَّهِ حَبْلٌ مَمْدُودٌ مِنَ السَّمَاءِ إِلَى الأَرْضِ وَعِتْرَتِي أَهْلُ بَيْتِي وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَىَّ الْحَوْضَ فَانْظُرُوا كَيْفَ تَخْلُفُونِي فِيهِمَا ‏"‏ ‏.‏ قَالَ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ ‏.‏

hadis ini telah diriwayatkan oleh:

  • Al-Imam al-Tirmizi di dalam Sunannya (3786) dan (3788) di bawah Kitab al-Manaqib.
  • Al-Imam al-Nasa’ie di dalam Sunan al-Kubra (8148) dan (8464).
  • Al-Hakim di dalam Mustadraknya (4711) seraya berkata: hadis ini sahih sanadnya mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim.
  • Dikeluarkan juga oleh al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2678), (2679), (2680), (4980). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536).

 

Komentar terhadap hadis:

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah menghukumkan hadis ini Sahih di dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (1750) setelah menilainya dengan jalan-jalan sanad yang lain. Wallahu a’lam.

 

  • Bagi hadis yang kedua, lafaz asalnya adalah seperti berikut:

سَمِعْتُ أَبَا ذَرٍّ، يَقُولُ: وَهُوَ آخِذٌ بِبَابِ الْكَعْبَةِ: أَيُّهَا النَّاسُ، مَنْ عَرَفَنِي فَأَنَا مَنْ عَرَفْتُمْ، وَمَنْ أَنْكَرَنِي فَأَنَا أَبُو ذَرٍّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَثَلُ أَهْلِ بَيْتِي مَثَلُ سَفِينَةِ نُوحٍ مَنْ رَكِبَهَا نَجَا، وَمَنْ تَخَلَّفَ عَنْهَا غَرِقَ

hadis ini telah diriwayatkan oleh:

  • Al-Hakim di dalam al-Mustadrak (3312) & (4720). Al-Zahabi di dalam Talkhis mengatakan bahawa salah seorang perawi bagi hadis ini Mufaddhal bin Soleh lemah.
  • Al-Imam al-Bazzar di dalam Musnadnya (5142) dan berkata bahawa hadis ini tidak kami ketahui seorangpun yang meriwayatkannya melainkan Al-Hasan bin Abi Ja’far dan Al-Hasan bukanlah seorang yang kuat (di dalam ilmu hadis) dan kebanyakan ahli ilmu memperkatakan tentangnya.
  • Al-Imam al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir (2636), (2638) & (12388). Di dalam Mu’jam al-Awsat (5536) & (5870).

 

Komentar terhadap hadis:

Syeikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah di dalam Silsilah al-Ahadis al-Dho’ifah wa al-Maudhu’ah (4503) menghukumkan hadis ini sebagai Dhoif (lemah). hadis ini, selain diriwayatkan oleh Abi Dzar al-Ghifari RA terdapat juga syawahid yang lain diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Abdullah bin al-Zubayr, Abi Sa’id al-Khudri dan Anas bin Malik R.Anhum. Meskipun terdapat jalan periwayatan yang lain, namun kesemua jalan tersebut tidak terlepas daripada kritikan yang mana kesemuanya tersangatlah lemah dan tidak mampu untuk menguatkan antara satu sama lain. Wallahu a’lam.