SOALAN:
Apakah status bagi hadith-hadith berikut? Kerana setiap kali berlakunya maulid Nabi SAW, hadith ini disebar serta dibacakan kepada orang awam. Hadithnya ialah:
- Barangsiapa yang mengagungkan maulidku nescaya akulah pemberi syafaatnya pada hari kiamat.
- Barangsiapa yang membelanjakan satu dirham pada hari maulidku, maka seolah-olah dia telah membelanjakan segunung emas pada jalan Allah.
JAWAPAN:
Bagi hadith yang pertama, lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Manakala hadith yang kedua lafaznya adalah seperti berikut:
مَنْ أنفَقَ دِرْهَمًا فِي مَوْلِدِي فَكَأَنَّمَا أنفَقَ جَبَلًا مِن ذَهَبِ فِي سَبِيلِ الله
Kedua-dua hadith ini pernah dijawab oleh mantan mufti Negeri Johor al-Syeikh Syed Alwi bin Tahir al-Haddad Rahimahullah dan telah dimuatkan di dalam buku Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan Johor yang mana jawapan yang diberikan oleh beliau:
Hadis-hadis yang tuan sebutkan di atas itu adalah Hadis Maudhu' (dusta) tidak benar dan tidak ada asalnya.
Umat Nabi Muhammad s.a.w. disuruh membesarkan Rasulullah s.a.w. dan memuliakannya menurut ayat-ayat Quran ada tersebut di dalam surah al-Fath.
Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Jibrin apabila ditanyakan tentang status hadith:
مَنْ عَظَّمَ مَولِدِي كُنْتُ شَفِيعًا لَهُ يَوْمَ القِيَامَةِ
Jawab fadhilah al-Syeikh: “Hadith ini tidak sahih. Tidak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadith yang sahih, tidak juga di dalam kitab-kitab sunan dan ianya adalah satu penipuan…”[1]
Maka, kami nyatakan di sini bahawa hadith ini adalah palsu dan tidak sabit dari Nabi SAW. Mereka yang menyebar dan membacakan hadith ini dengan sengaja perlulah bertaubat kerana haram dan berdosa besar bagi sesiapa yang menipu di atas nama Nabi SAW.
Semoga pencerahan ini dapat memberi kefahaman kepada kita seterusnya lebih berhati-hati dalam menukilkan sesuatu yang disandarkan kepada Nabi SAW. Wallahu a’lam.
[1] http://www.ibn-jebreen.com/fatwa/vmasal-6019-.html