Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mengenalpasti akan kesahihan status sebuah adalah penting kerana Nabi SAW telah menceritakan akan ancaman bagi sesiapa yang berdusta dengan hadithnya.
Hadith ini adalah hadith yang masyhur dan diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda :
اطلُبُوا العِلْمَ ولو بالصينِ
Maksudnya : “Carilah (tuntutlah) ilmu walaupun ke negara Cina”.
Hukum dan pendapat ulama’ terhadap hadith ini
Para ulama’ berbeza pendapat dalam menghukum hadith ini, antaranya ialah :
1) Imam al-Sakhawi : Hadith ini adalah dhaif.[al-Maqasid al-Hasanah, 93]
2) Imam al-Baihaqi : Matannya masyhur dan sanadnya adalah dhaif.[Syu’ab al-Iman, 2:724]
3) Imam al-Zurqani : Hadith ini adalah dhaif.[Mukhtasar al-Maqasid, 109]
4) Imam Ibn Hibban : Hadith ini adalah bathil dan tiada asal baginya.[al-Majruhin, 1:489]
5) Imam al-Syaukani : Hadith ini adalah palsu.[al-Fawaid al-Majumu’ah, kitab al-Fadhail,272]
6) Imam Ibn al-Jauzi : Hukum hadith ini adalah palsu.[al-Mawdhu’at, 1:347]
Tarjih
Setelah melihat kepada hukum dan pendapat para ulama’ terhadap hadith ini, kami memilih untuk menyatakan bahawa hadith ini adalah terlalu dhaif sebagaimana dinyatakan oleh ramai ulama’ walaupun Imam al-Suyuthi berpendapat padanya banyak jalur daripada Anas RA yang memungkinkan hukumya menjadi hasan.[al-Nukat, 43]
Aplikasi Hadith
Antara yang dapat difahami daripada makna hadith ini adalah umat Islam wajib menuntut ilmu, bahkan sifat merantau atau rehlah ‘ilmiyyah merupakan sunnah al-Ulama’ dalam menghasilkan ilmu. Juga dapat difahami betapa jarak antara penuntut ilmu dengan tempat musafir menunjukkan kepayahan penuntut ilmu dalam meraih sebanyak mungkin mutiara-mutiara ilmu daripada para ulama’.
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin. Wallahua`lam.