اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-224: MAKAN ATAU SOLAT DULU

Soalan: Benarkah terdapat hadith tentang diutamakan makan dahulu sebelum didirikan solat apabila makanan sudah tersedia?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.  

 

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Untuk itu, setiap orang yang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat riwayat yang menyatakan hal sedemikian. Maka, di sini kami sertakan beberapa riwayat yang menunjukkan akan hal tersebut:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا وُضِعَ العَشَاءُ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ

Maksudnya: “Apabila dihidangkan makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” [Riwayat al-Bukhari (5463)]

 

  • Di dalam riwayat yang lain, juga daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ، وَأُقِيمَتِ الصَّلَاةُ، فَابْدَءُوا بِالْعَشَاءِ

Maksudnya: “Apabila telah datang makanan (makan malam) dalam keadaan solat didirikan maka mulakanlah dengan makanan.” [Riwayat Muslim (557)]

 

Melihat kepada dua hadith yang sahih di atas, maka jelas menunjukkan kepada terdapat perintah daripada Nabi SAW untuk mendahulukan makan sebelum solat. Di samping itu, terdapat sebuah lagi hadith yang umum menunjukkan larangan solat ketika terhidangnya makanan:

 

  • Daripada Aisyah RA, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya: “Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar).” [Riwayat Muslim (560)]

 

Selain itu, Imam al-Tirmizi telah berkata di dalam Jami’nya:

 

وَعَلَيْهِ العَمَلُ عِنْدَ بَعْضِ أَهْلِ العِلْمِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْهُمْ: أَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَابْنُ عُمَرَ، وَبِهِ يَقُولُ أَحْمَدُ، وَإِسْحَاقُ يَقُولَانِ: يَبْدَأُ بِالعَشَاءِ وَإِنْ فَاتَتْهُ الصَّلَاةُ فِي الجَمَاعَةِ

Maksudnya: “Hadith ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak. Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah.” [Lihat: Jami’ al-Tirmizi, 184/2]

 

Kata al-Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas di dalam Sahih Muslim adalah:

 

فِي هَذِهِ الْأَحَادِيثِ كَرَاهَةُ الصَّلَاةِ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ الَّذِي يُرِيدُ أَكْلَهُ لِمَا فِيهِ مِنِ اشْتِغَالِ الْقَلْبِ بِهِ وَذَهَابِ كَمَالِ الْخُشُوعِ وَكَرَاهَتِهَا مَعَ مُدَافَعَةِ الْأَخْبَثَيْنِ وَهُمَا الْبَوْلُ وَالْغَائِطُ وَيَلْحَقُ بِهَذَا مَا كان في معناه مما يَشْغَلُ الْقَلْبَ وَيُذْهِبُ كَمَالَ الْخُشُوعِ وَهَذِهِ الْكَرَاهَةُ عِنْدَ جُمْهُورِ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمِ

Maksudnya: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan kemakruhan solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakannya kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) dan selain daripada mereka.” [Lihat: al-Minhaj, 46/5]

 

Tambahan pula, Imam Ibn Qudamah berkata bahawa pentingnya khusyuk dan juga melapangkan hati di dalam solat sebagaimana yang dinyatakan ini:

 

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ فِي وَقْتِ الصَّلاَةِ فَالْمُسْتَحَبُّ أَنْ يَبْدَأَ بِالْعَشَاءِ قَبْل الصَّلاَةِ؛ لِيَكُونَ أَفْرَغَ لِقَلْبِهِ وَأَحْضَرَ لِبَالِهِ، وَلاَ يُسْتَحَبُّ أَنْ يَعْجَل عَنْ عَشَائِهِ أَوْ غَدَائِهِ

Maksudnya: “Apabila telah tersedia makan ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan bersegera ketika makan malam atau makan tengahari.” [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 189/27]

 

Hukum Solat Ketika Makanan Telah Tersedia

Kami berpendapat bahawa hukum orang yang solat dalam keadaan makanan telah tersedia hukumnya adalah makruh jika didirakn solat dalam keadaan waktu solat itu masih lama berbaki dan dalam keadaan ini maka sunat untuk dia makan terlebih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di atas. Akan tetapi, jika waktu solat itu sudah hampir tamat, maka pada waktu ini hendaklah ditunaikan solat terlebih dahulu sebelum memakan makanan yang telah tersedia itu. Selain itu, Imam Ibn Qudamah berkata:

 

قَال أَصْحَابُنَا: إِنَّمَا يُقَدِّمُ الْعَشَاءَ عَلَى الْجَمَاعَةِ إِذَا كَانَتْ نَفْسُهُ تَتُوقُ إِلَى الطَّعَامِ كَثِيرًا، وَنَحْوَهُ قَال الشَّافِعِيُّ

Maksudnya: “Telah berkata ashab kami (ulama’ bermazhab Hanabilah): Sesungguhnya didahulukan makan daripada solat berjemaah jika dirinya cenderung kepada makanan (lebih daripada solat) dan Imam al-Syafie berkata seperti itu juga.” [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 190/27]

 

Status Riwayat Ini

Sebelum kami mengakhiri perbahasan ini, di sini kami sertakan satu riwayat yang Masyhur dan ia juga membawa maksud yang sama dengan hadith-hadith di atas:

 

إِذَا حَضَرَ الْعَشَاءُ وَالْعِشَاءُ فابدؤوا بِالْعَشَاءِ

Maksudnya: “Apabila datangnya makan (malam) dan isyak maka mulakanlah dengan makan (malam).”

 

Hadith ini dihukum oleh para ulama’ seperti Imam al-Iraqi bahawa tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 89/1] Selain itu juga, Imam al-Suyuthi juga mengkhabarkan yang sedemikian iaitu tiada asal di dalam kitab hadith dengan lafaz seperti ini. [Lihat: al-Durar al-Muntathirah, 67/1]

 

Dengan itu, kami cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat dengan lafaz ini (lafaz di atas) adalah tidak sahih. Akan tetapi, riwayat dengan lafaz di atas iaitu daripada al-Bukhari dan Muslim adalah sahih. Maka, kita tidak boleh meriwayatkan berkaitan hal ini dengan menggunakan riwayat di atas ini serta menyandarkannya kepada Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat nas atau hadith yang menceritakan agar didahulukan makan berbanding solat jika masih mempunyai waktu untuk didirikan solat tersebut. Ini kerana, seseorang itu perlu mendirikan solat dalam keadaan penuh khusyuk dan hati yang tenang. Akhirnya, semoga Allah SWT menerima solat-solat kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bangun untuk melaksanakan solat kepada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam