اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-225: KELEBIHAN MENGISLAMKAN SESEORANG

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

  • Daripada Uqbah bin ‘Amir, dikatakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

 

مَنْ أَسْلَمَ عَلَى يَدَيْهِ رَجْلٌ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tangannya mengislamkan seseorang maka wajib baginya untuk mendapat syurga.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Mengislamkan seseorang merupakan satu pekerjaan yang mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Antara firman Allah SWT yang menceritakan sebab diutuskan Nabi Musa AS kepada kaumnya:

 

  • Firman Allah SWT:

 

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Ibrahim:5

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur.”

 

Ayat di atas menunjukkan bahawa tujuan nabi atau rasul diutuskan adalah untuk membawa manusia daripada jalan kesesatan kepada jalan hidayah atau petunjuk. Untuk itu, sesiapa yang telah mengislamkan seseorang maka dia telah mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan kepada nur atau cahaya hidayah.

 

Berkaitan soalan di atas, hadith atau riwayat di atas dinukilkan oleh Imam al-Thabarani di dalam kitabnya al-Mu’jam al-Awsath. [Lihat: al-Mu’jam al-Awsath, 36/4] Namun, apakah benar dakwaan yang menyatakan bahawa sesiapa yang berjaya mengislamkan seseorang maka dia pasti akan mendapat syurga Allah SWT di akhirat kelak. Di sini kami nyatakan hukum hadith di atas terlebih dahulu:

 

Hukum Hadith

Berikut adalah beberapa pendapat para ulama’ dalam menilai hadith di atas:

  • Imam al-Zahabi menghukum riwayat ini sebagai terlalu munkar disebabkan salah seorang perawi iaitu Ibn Mu’awiyyah bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: Mizan al-‘Itidal, 45/4]
  • Imam Ibn al-Jauzi mengatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 137/1]
  • Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-La’ali al-Masnu’ah, 48/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari menghukum hadith ini sebagai palsu dan begitu juga Imam al-Saghani. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 327/1 dan juga di dalam al-Masnu’ fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 177/1]
  • Imam al-Syaukani menilai hadith ini sebagai mawdhu’. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 455/1]
  • Syeikh Ibn ‘Arraq juga menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 226/2]

 

Setelah melihat sebahagian pendapat para ulama’ berkaitan hukum hadith ini, maka kami cederung untuk mengatakan bahawa hadith ini tidak mempunyai asal atau mawdhu’. Ini kerana, terdapat perawi di dalam sanad hadith ini dihukum sebagai kazzab (pendusta) oleh tokoh besar hadith seperti Yahya bin Ma’in dan al-Daraquthni. Untuk itu, kita tidak boleh sesekali menyandarkannya kepada Nabi SAW dan juga meriwayatkan kepada orang lain melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

 

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan bahawa menyeru manusia ke jalan hidayah merupakan satu perbuatan yang mulia kerana dia telah melaksanakan salah satu daripada sifat wajib bagi nabi atau rasul iaitu menyampaikan.

 

Tambahan pula, terdapat hadith-hadith lain yang menceritakan galakan menyeru kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Antaranya adalah:

 

  • Daripada Sahl bin Sa’ad, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).” [Riwayat al-Bukhari (2942)]

 

  • Daripada Abi Mas’ud al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.” [Riwayat Muslim (1893)]

 

  • Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).” [Riwayat Muslim (2674)]

 

Hadith-hadith di atas, jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.

Penutup

Kesimpulannya, kita perlulah sentiasa menyeru manusia tidak kira warna kulit, bangsa dan agama kepada hidayah atau kebaikan. Ini kerana, ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang membawa saudaranya ke jalan hidayah adalah amat besar. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan hikmah dalam menyeru manusia ke jalan hidayah yang mana jalan hidayah inilah yang akan membawa manusia ke dalam syurga yang kekal abadi buat selamanya. Amin.

 

Wallahua’alm