اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-235: UHUD BUKIT YANG DICINTAI

Soalan: Apakah antara hadith-hadith yang menceritakan akan kelebihan bukit Uhud?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Nama Uhud tidak asing lagi di lidah-lidah dan juga jiwa-jiwa umat Islam. Nama Uhud ini juga merupakan nama salah satu daripada peperangan yang pernah berlaku di zaman Nabi SAW iaitu pada bulan Syawwal tahun ketiga hijrah. Selain itu, bukit Uhud jaraknya lebih kurang 5 km dari kota Madinah dan ia tidak bersambung dengan bukit-bukit yang lain disebabkan itu namanya adalah Uhud iaitu yang bermaksud bersendiri atau terputus sebagaimana yang dikatakan oleh al-Suhaili. [Lihat: Fath al-Bari, 337/7] Bukit Uhud juga merupakan salah satu daripada bukit terbesar dan terpanjang yang terletak di dalam kota Madinah. Panjang bukit Uhud adalah jika diukur dari timur ke barat adalah sepanjang 6 km, tingginya dari aras laut mencecah 1 km dan dari muka bumi pula ialah 450 meter serta wananya pula kemerah-merahan. Di samping itu juga, bukit Uhud merupakan salah satu bukit yang disebutkan oleh Nabi SAW di dalam sabdanya dan kelebihannya juga dikhabarkan oleh Nabi SAW berdasarkan hadith-hadithnya.  

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan hal sedemikian berdasarkan beberapa riwayat yang sahih. Antara sahabat yang meriwayatkan hadith di atas ialah Anas bin Malik dan Abu Humaid R.anhuma:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika melihat ke arah bukit Uhud:

 

هَذَا جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ، اللَّهُمَّ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ وَإِنِّي حَرَّمْتُ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا

Maksudnya: “Ini adalah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya. Ya Allah sesungguhnya Ibrahim telah mensucikan kota Makkah dan sesungguhnya aku mensucikan di antara dua kota batu hitam (Madinah).” [Riwayat al-Bukhari (3367)]

 

  • Daripada Abu Humaid RA berkata, kami pulang bersama Rasulullah SAW dari peperangan Tabuk sehingga kami sudah tiba di Madinah, maka telah bersabda Nabi SAW:

 

هَذِهِ طَابَةُ، وَهَذَا أُحُدٌ، جَبَلٌ يُحِبُّنَا وَنُحِبُّهُ

Maksudnya: “Ini adalah Kota yang baik dan ini adalah Uhud iaitu bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.” [Riwayat al-Bukhari (4422)]

 

Menurut Imam al-Nawawi pendapat yang sahih dan terpilih dalam memahami makna hadith bahawa sesungguhnya bukit Uhud itu benar-benar mencintai kita. Allah SWT telah menjadikan padanya (Uhud) satu keistimewaan kepadanya sepertimana firman Allah SWT:

 

وَإِنَّ مِنْهَا لَمَا يَهْبِطُ مِنْ خَشْيَةِ اللَّـهِ

al-Baqarah:74

Maksudnya: “Ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah.”

 

Perkara ini juga boleh disamakan batang kering yang bersimpati, kemudian seperti batu yang bertasbih dan juga seperti larinya batu dengan pakaian Nabi Musa AS. Selain itu, sebagaimana sabda Nabi SAW:

 

إِنِّي لَأَعْرِفُ حَجَرًا بِمَكَّةَ كَانَ يُسَلِّمُ عَلَيَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mengetahui ada sebuah batu di kota Makkah yang memberi salam ke atas aku.” [Riwayat Muslim (2277)]

 

Demikian adalah sebahagian kata-kata Imam a-Nawawi ketika mensyarahkan hadith tentang bukit Uhud. [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 139-140/9] Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa makhluk-makhluk lain seperti bukit, pokok, batu dan sebagainya mempunyai perasaan sebagaimana manusia. Antara hadith-hadith lain yang menunjukkan bahawa Nabi SAW menyebut nama Uhud secara jelas atau Nabi SAW membuat sesuatu perkara diumpamakan seperti Uhud adalah:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata, ketika Nabi SAW, Abu Bakar RA, Umar RA dan juga Uthman RA menaiki bukit Uhud, lalu Nabi SAW bersabda:

 

اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ

Maksudnya: “Tetaplah (jangan bergerak) Uhud, sesungguhnya di atas kamu terdapat Nabi, al-Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang yang syahid (Umar dan Uthman).” [Riwayat al-Bukhari (3686)]

 

  • Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ، فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ، الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat ke atas jenazah maka baginya satu Qirath. Adapun jika dia menyaksikan pengebumiannya maka baginya dua Qirath. Satu Qirath itu seperti bukit Uhud (pahalanya).” [Riwayat Muslim (946)]

 

Melihat kepada hadith-hadith di atas, jelaslah menunjukkan kepada kita bahawa bukit Uhud merupakan salah satu bukit yang istimewa dan mempunyai kedudukannya yang tersendiri. Ini kerana, namanya banyak disebut dalam hadith.

 

Penutup

Kesimpulannya, bukit Uhud merupakan salah satu bukit yang istimewa berdasarkan kelebihan-kelebihan yang kami nyatakan di atas. Oleh itu, kita sebagai umat Islam haruslah sedar dan mengetahui akan hakikat ini supaya kita tidak termasuk di dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama kerana ia merupakan tanda bahawa Allah SWT inginkan kebaikan kepadanya. Amin.

 

Wallahua’lam