اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-238: BERSIN TANDA BERCAKAP BENAR

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

Matan Hadith:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ حَدَّثَ حَدِيثًا فَعَطَسَ عِنْدَهُ فَهُوَ حَقٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata-kata dengan suatu perkataan lalu dia bersin pada waktu itu, maka dia adalah benar (ucapannya).”

 

Selain itu juga, terdapat satu lagi lafaz hadith yang hampir serupa dengan hadith di atas iaitu:

 

مَنْ حَدَّثَ بِحَدِيثٍ فَعَطَسَ عِنْدَهُ فَهُوَ حَقٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata-kata dengan suatu perkataan lalu dia bersin pada waktu itu, maka dia adalah benar (ucapannya).”

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Memastikan kesahihan sesebuah hadith adalah amat penting sebelum ia disebarkan kepada orang lain kerana ia melibatkan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Selain itu juga, Nabi SAW telah memberi amaran dan ancaman yang keras terhadap sesiapa yang berdusta di atas nama Baginda SAW secara sengaja.

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas amat masyhur dan sering diungkapkan oleh para penceramah. Untuk itu, di sini kami nyatakan beberapa pendapat ulama’ berkaitan hukum hadith di atas:

 

Antara pendapat ulama’ berkaitan hadith di atas:

  • Imam Abi Hatim apabila ditanya oleh anaknya berkaitan hadith ini maka jawapannya hadith ini adalah satu pendustaan. [Lihat: ‘Ilal al-Hadith, 311/6]
  • Imam al-Qaisarani menyatakan bahawa riwayat ini iaitu daripada Muawiyah bin Yahya tidak boleh dijadikan sebagai penguat (kepada riwayat yang lain). [Lihat: Dzakhirah al-Huffaz, 2263/4]
  • Imam al-Baihaqi menghukum Muawiyah bin Yahya sebagai seorang yang munkar. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 509/11]
  • Imam Ibn al-Jauzi di dalam kitabnya mengatakan hadith tersebut adalah bathil dan Muawiyah bin Yahya telah bersendiri dalam meriwayatkan hadith ini. Kata Yahya bin Main, dia (Muawiyah bin Yahya) adalah seorang perosak dan tidak ada apa padanya. Kata al-Baghawi pula, dia adalah seorang yang pelupa hadith. [Lihat: al-Maudhua’at 77/3]
  • Imam al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadith tersebut terdapat perawi bernama Muawiyah bin Yahya al-Sodafiy dan dia adala seorang yang dhaif. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 59/8]
  • Imam al-Ajlouni bahawa pada sanad hadith ini dhaif. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 75/2]
  • Imam al-Syaukani bahawa hadith ini mawdhu’. [Lihat: al-Fawaid al-Majmu’ah, 224/1]

 

Antara perkara yang menarik di dalam perbahasan hadith ini adalah ia dihasankan oleh Imam al-Nawawi di dalam fatwanya:

 

 “Hadith ini mempunyai asal, ia diriwayatkan oleh Abi Ya’laal-Musili di dalam musnadnya dengan sanad yang baik lagi hasan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ حَدَّثَ حَدِيثًا فَعَطَسَ عِنْدَهُ فَهُوَ حَقٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berkata-kata dengan suatu perkataan lalu dia bersin pada waktu itu, maka dia adalah benar (ucapannya).”

 

Semua perawi di dalam sanad hadith tersebut adalah thiqah (dipercayai) dan teliti melainkan Baqiyyah bin al-Walid yang mana kedudukan menjadi perselisihan dalam kalangan ulama’. Kebanyakan para huffaz al-Hadith dan imam-imam berhujah dengan riwayatnya jika riwayat tersebut daripada perawi yang berasal dari Syam. Dia (Baqiyyah) meriwayatkan hadith ini daripada Muawiyah bin Yahya al-Syami (berasal dari Syam).” [Lihat: al-Manthurat, 73/1]

 

Akan tetapi, pendapat Imam al-Nawawi ini disanggah oleh beberapa imam yang besar seperti Imam Abi Hatim sebagaimana yang kami nyatakan di atas bahawa beliau (Abi Hatim) menghukum hadith ini sebagai dusta. Selain itu, terdapat sebuah lagi riwayat atau hadith yang boleh dijadikan sokongan daripada Anas bin Malik sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani:

 

  • Daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

أَصْدَقُ الْحَدِيثِ مَا عُطِسَ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Percakapan yang paling benar adalah apa yang dibersinkan ketika perkataan itu diucapkan.” [Imam al-Haithami mengatakan hadith ini diiwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Awsath daripada gurunya Ja’far bin Muhammad bin Majid dan aku tidak mengenalinya. Imarah bin Zadan telah dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan jemaah (daripada kalangan ulama’) serta padanya kedhaifan. Adapun, perawi-perawi yang lain adalah thiqah (dipercayai).” [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 59/8]

 

Riwayat Anas juga lemah dari sudut sanadnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Haithami dan juga Imam al-Ajlouni di dalam kitab mereka. Tambahan pula, Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah pernah berkata:

 

“Dan hadith ini walaupun ia disahihkan oleh sebahagian ulama’ akan sanadnya, akan tetapi deria dapat merasakan akan kepalsuannya.” [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 264/1]

 

Di samping itu, terdapat sebahagian ulama’ memberi komentar terhadap kenyataan Imam al-Nawawi ini dengan berkata:

 

“Ini adalah salah satu daripada kesilapan beliau semoga Allah sentiasa merahmati beliau. Ini kerana, Baqiyyah dikenali sebagai seorang yang mudallis. Dia (Baqiyyah) telah meriwayatkan daripada Muawiyah dengan ‘an’anah (عن). Telah berkata al-Nasa’ie dan selain daripada beliau: Jika dia (Baqiyyah) meriwayatkan hadith dengan “telah menceritakan kepada kami (حدثنا) atau telah dikhabarkan kepada kami (أخبرنا) maka dia adalah seorang yang thiqah (dipercayai). Juga telah berkata bukannya seorang daripada kalangan ulama’ bahawa dia (Baqiyyah) merupakan seorang mudallis dan apabila dia (Baqiyyah) meriwayatkan hadith dengan ‘an (عن) maka riwayatnya itu tidak boleh dijadikan hujjah. Selain itu, berkata Abu Mushir bahawa hadith-hadith Baqiyyah tidak bersih dan juga Imam al-Zahabi menyatakan Baqiyyah merupakan perawi yang meriwayatkan riwayat-riwayat yang munkar lagi gharib (pelik).” [Lihat: Silsilah al-Ahadith al-Dhaifah, 264/1]

 

Setelah kami melihat beberapa pendapat dan hujah-hujah yang diberikan oleh para ulama’ dalam menentukan hukum terhadap hadith ini, maka kami lebih cenderung kepada hadith ini tidak sahih kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Muawiyah bin Yahya yang dikritik hebat oleh para ulama’ hadith akan keadilannya dan riwayat ini dihukum dusta oleh Imam Abi Hatim tokoh besar dalam bidang hadith.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas adalah tidak sahih dan kita sesekali tidak dibenarkan menyebarkannya kepada orang lain. Apatah lagi, menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW adalah neraka merupakan tempatnya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam