اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-244: STATUS DOA DITETAP HATI

 

Soalan: Apakah status doa yang membolak balikkan hati?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Selain itu, hati atau jantung ini merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan atau jasad manusia kerana ia akan menentukan sama ada baik atau buruknya jasad (akhlak) seseorang itu sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam sebuah hadith:

 

  • Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]

 

Berdasarkan soalan di atas, memang terdapat doa khusus yang telah diajar oleh Baginda SAW dalam memelihara hati ini daripada terpesong. Hadith tersebut telah diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Jami’nya:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Nabi SAW banyak membaca:

 

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ، فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، آمَنَّا بِكَ وَبِمَا جِئْتَ بِهِ فَهَلْ تَخَافُ عَلَيْنَا؟ قَالَ: نَعَمْ، إِنَّ القُلُوبَ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللَّهِ يُقَلِّبُهَا كَيْفَ يَشَاءُ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.” Kemudian aku pun bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, kami beriman kepadamu dan kepada apa yang kamu telah bawa. Lalu apakah kamu masih bimbang kepada kami?” Baginda SAW menjawab: “Ya, kerana sesungguhnya hati manusia itu berada di antara dua jari daripada jari-jari Allah SWT yang mana Dia akan membolak-balikkannya mengikut kehendak-Nya.” [Riwayat al-Tirmizi (2140)][Hadith ini adalah hasan mengikut penilaian Imam al-Tirmizi]

 

Hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memperbanyakkan berdoa dengan doa tersebut kerana hati ini kadang-kadang ia cenderung kepada ketaatan dan kadang-kadang pula ia cenderung kepada kemaksiatan. Selain itu juga, hati ini juga kadang-kadang cenderung kepada sedar dan kadang-kadang cenderung kepada alpa. Untuk itu, doa ini bertujuan agar ditetapkan hati ini di atas agama tanpa terpesong sedikitpun daripada agama yang mulia dan jalan (agama) yang lurus ini. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 291/6]

 

Tambahan pula, tidak ada tempat yang khusus untuk dibacakan doa ini dan ia boleh dibaca dalam apa jua keadaan sekalipun sama ada di dalam solat ataupun di luar solat. Selain itu, ia juga merupakan salah satu daripada doa-doa yang terbaik kerana ia diajar sendiri oleh Nabi SAW.

 

Penutup

Kesimpulannya, sudah menjadi satu tuntutan kepada setiap insan itu untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT serta memohon kepada-Nya agar dikurniakan segala kebaikan dan dijauhkan daripada segala bala bencana. Di samping itu juga, hati atau jantung ini merupakan salah satu organ yang penting di dalam badan manusia yang mana ia menjadi faktor utama baik atau rosaknya sesuatu jasad seseorang itu. Akhirnya, marilah sama-sama kita mengamalkan doa yang mulia ini, di samping kita yakin dan berbaik sangka kepada Allah SWT di dalam setiap doa kita. Amin.

 

Wallahua’lam