اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-246: AMALAN DIBENTANGKAN KEPADA KAUM KELUARGA YANG TELAH MENINGGAL

 

 

Soalan: Apakah status hadith di bawah?

 

Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ أَعْمَالَكُمْ تُعْرَضُ عَلَى أَقَارِبِكُمْ وَعَشَايِرِكُمْ مِنَ الْأَمْوَاتِ فَإِنْ كَانَ خَيْرًا اسْتَبْشَرُوا وَإِنْ كَانَ غَيْرَ ذَلِكَ قَالُوا: اللَّهُمَّ أَلْهِمْهُمْ أَنْ يَعْمَلُوا بِطَاعَتِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan kamu akan dibentangkan ke atas kaum kerabat kamu dan ahli keluarga kamu yang telah mati. Jika baik (amalannya) maka mereka (yang telah mati) akan memberinya khabar gembira. Adapun jika sebaliknya, mereka berkata: “ Ya Allah, ilhamkanlah kepada mereka agar mereka itu beramal dengan ketaatan kepada-Mu.”

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, perkara ini melibatkan perkara-perkara yang ghaib. Selain itu juga, beriman dengan perkara yang ghaib merupakan salah satu daripada sifat orang yang bertaqwa berdasarkan firman Allah SWT:

 

الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِالْغَيْبِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنفِقُونَ

al-Baqarah:3

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

 

Bagi menjawab persoalan di atas, kita perlulah mengenalpasti akan sumber keberadaan hadith atau riwayat tersebut terlebih dahulu sebelum menyandarkannya kepada Nabi SAW. Selain itu, riwayat ini telah diriwayatkan oleh salah seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Jabir bin Abdillah RA dan riwayat ini juga terdapat di dalam Musnad Abi Daud al-Thoyalisi:

 

  • Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ أَعْمَالَكُمْ تُعْرَضُ عَلَى عَشَائِرِكُمْ وَأَقْرِبَائِكُمْ فِي قُبُورِهِمْ، فَإِنْ كَانَ خَيْرًا اسْتَبْشَرُوا بِهِ، وَإِنْ كَانَ غَيْرَ ذَلِكَ قَالُوا: اللَّهُمَّ أَلْهِمْهُمْ أَنْ يَعْمَلُوا بِطَاعَتِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan kamu akan dibentangkan ke atas ahli keluarga kamu dan kaum kerabat kamu di dalam kubur mereka. Jika baik (amalannya) maka mereka (yang telah mati) akan memberinya khabar gembira. Adapun jika sebaliknya, mereka berkata: “Ya Allah, ilhamkanlah kepada mereka agar mereka itu beramal dengan ketaatan kepada-Mu.” [Riwayat Abu Daud al-Thoyalisi (1903)]

 

Tambahan pula, terdapat satu lagi riwayat yang hampir serupa dari sudut mafhum hadith di atas, akan tetapi yang meriwayatkannya adalah sahabat yang berbeza iaitu Anas bin Malik RA. Riwayat Anas bin Malik RA ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal di dalam musnadnya.

 

  • Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ أَعْمَالَكُمْ تُعْرَضُ عَلَى أَقَارِبِكُمْ وَعَشَايِرِكُمْ مِنَ الْأَمْوَاتِ فَإِنْ كَانَ خَيْرًا اسْتَبْشَرُوا وَإِنْ كَانَ غَيْرَ ذَلِكَ قَالُوا: اللَّهُمَّ لَا تُمِتْهُمْ حَتَّى تَهْدِيَهُمْ كَمَا هَدَيْتِنَا  

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan kamu akan dibentangkan ke atas kaum kerabat kamu dan ahli keluarga kamu yang telah mati. Jika baik (amalannya) maka mereka (yang telah mati) akan memberinya khabar gembira. Adapun jika sebaliknya, mereka berkata: “ Ya Allah, janganlah Kamu matikan mereka sehingga Kamu memberi mereka itu hidayah sebagaimana Engkau telah memberi kami hidayah.” [Riwayat Ahmad (12683)]

 

Imam Ibn Hajar al-Haithami mengatakan di dalam riwayat Imam Ahmad ini terdapat perawi yang tidak dikenali. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 328-329/2] Tambahan pula, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini dhaif disebabkan tidak diketahui perawi di antara Sufyan dan Anas bin Malik. Imam Ahmad bertafarrud dalam meriwayatkan hadith ini. [Lihat: Musnad Ahmad, 114/20]

 

Selain itu juga, terdapat sebuah lagi hadith atau riwayat yang boleh dijadikan sokongan tetapi riwayat tersebut terlalu dhaif iaitu yang diriwayatkan oleh Abi Ayub al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

وَإِنَّ أَعْمَالَكُمْ تُعْرَضُ عَلَى أَقَارِبِكُمْ وَعَشَائِرِكُمْ مِنْ أَهْلِ الآخِرَةِ ، فَإِنْ كَانَ خَيْرًا فَرِحُوا وَاسْتَبْشَرُوا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya amalan kamu akan dibentangkan kepada kaum kerabat kamu dan juga keluarga kamu yang mana mereka ini daripada kalangan ahli akhirat. Jika baik (amalan), mereka akan bergembira dan menyampaikan khabar gembira tersebut.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (3887)]

 

Menurut Imam al-Qurthubi bahawa Wahab Ibn Munabbih pernah berkata sesungguhnya bagi Allah SWT di langit ketujuh terdapat satu tempat yang dipanggil “لَهَاكُ البَيْضَاء”. Di situ roh-roh orang beriman akan berkumpul apabila matinya salah seorang daripada penduduk dunia. Roh-roh tersebut bertemu dan bertanya akan perihal si mati tersebut sebagaimana pertanyaan seseorang yang lama tidak bertemu dengan ahli keluarganya apabila mereka dipertemukan. Hal ini disebut oleh Abu Nu’aim Rahimullah. [Lihat: al-Tazkirah fi Ahwal al-Mawta wa Umur al-Akhirah, 53]

 

Penutup

Kesimpulan daripada perbahasan di atas, riwayat-riwayat yang menceritakan akan perihal tersebut adalah dhaif dan ada sebahagian ulama’ yang mengangkat riwayat tersebut ke tahap hasan li ghairihi dengan sokongan riwayat-riwayat yang lain walaupun kesemuanya adalah dhaif. Akan tetapi, perkara ini adalah termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib maka pada waktu ini kita tidak boleh menggunakan logik akal semata-mata. Bahkan, ia perlulah dilihat dari sudut nas kerana hanya Allah SWT yang mengetahui akan perkara-perkara yang ghaib ini. Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua'lam