اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-250: BERINTERAKSI DENGAN SUNNAH

 

 

Soalan: Apakah prinsip asas dalam memahami dan berinteraksi dengan sunnah Nabi SAW?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Pada hari ini, kita melihat masyarakat sudah mula sedar akan kepentingan sunnah di dalam kehidupan seharian mereka. Untuk itu, penghayatan sunnah di dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini sudah mula berputik. Ini kerana, banyak perkara di dalam urusan kehidupan ini telah diajar oleh Nabi SAW. Akan tetapi, sebelum seseorang itu mengamalkan sunnah di dalam kehidupan sehariannya maka perkara yang utama perlu dititikberatkan adalah pemahamannya terhadap sunnah itu sendiri agar ia tidak menyimpang daripada maksud sebenar sebagaimana yang diinginkan oleh Allah SWT dan juga Rasulullah SAW.

 

Definisi Sunnah

Sunnah dari sudut bahasa adalah jalan atau kehidupan samada ia bersifat terpuji atau sebaliknya. Adapun dari sudut istilah pula terbahagi kepada dua antara definisi ahli hadith dan juga ahli usul:

 

  • Di sisi ahli Hadith: “Sunnah adalah setiap yang disandarkan kepada Nabi SAW daripada perkataan, perbuatan, taqrir (persetujuan), sifat khuluqiyyah, sifat khalqiyyah dan kehidupan baginda SAW samada sebelum perutusan Baginda SAW menjadi rasul”. [Lihat: Qawaid al-Tahdith, 61]

 

  • Di sisi ahli Usul: “Sunnah adalah setiap yang diambil daripada Nabi SAW selain daripada al-Qur’an melalui perkataan, perbuatan dan taqrir (persetujuan) Baginda SAW”.

 

Kesimpulannya, ahli hadith dan ahli usul bersepakat mengatakan bahawa sunnah adalah setiap perkara yang disandarkan kepada Rasulullah SAW sama ada ia berbentuk percakapan, perbuatan ataupun persetujuan (iqrar) daripada Nabi SAW.

 

Ciri-Ciri Atau Sifat Sunnah

Antara ciri-ciri atau sifat-sifat sunnah adalah:

 

  • Komprehensif (Syumuliy)

Ini bermaksud bahawa hadith atau sunnah itu meliputi semua aspek kehidupan manusia bermula dari kelahiran sehingga kematian, bahkan sejak proses janin sehinggalah selepas daripada kematian. Selain itu juga, metod ini bertujuan agar kehidupan manusia itu berjalan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak dan diajar oleh Nabi SAW.

 

  • Keseimbangan (Mutawazin)

Sunnah ini menumpukan atau menitikberatkan terhadap keseimbangan diri manusia iaitu menyeimbangkan antara roh dan jasmani, akal dan hati, dunia dan akhirat, contoh dan realiti, teori dan praktikal, ghaib dan nyata, kebebasan dan tanggungjawab, individu dan berkumpulan serta ikutan (ittiba’) dan juga rekaan (ibtida’).

 

  • Realiti (Waqi’iy)

Sunnah Nabi SAW tidak berinteraksi dengan manusia sebagaimana manusia itu adalah seperti malaikat, bahkan sunnah Nabi SAW bersifat meraikan segala yang berkaitan dengan manusia seperti keperluan dan keinginan mereka. Di samping itu juga, sunnah Nabi SAW juga meraikan sifat manusia yang lemah dan kekurangan-kekurangan yang terdapat pada diri manusia itu.

 

  • Kesederhanaan Atau Memudahkan (Muyassar)

Di antara keistimewaan metod ini adalah ingin memudahkan kepada setiap pengikutnya. Tambahan pula, tidak terdapat di dalam sunnah perkara-perkara yang dilihat membebankan kepada pengikutnya jika ia difahami dengan pemahanan yang sebenar.

 

Demikian itu, para ulama’ menegaskan dalam kita berinteraksi dengan hadith Nabi SAW adalah apabila terdapat hadith yang dilihat bertentangan dengan ciri-ciri atau sifat-sifat di atas maka ia menunjukkan bahawa itu bukanlah sunnah yang sebenar.

Perkara-Perkara Asas Dalam Berinteraksi Dengan Hadith Nabi SAW

Di sini kami nukilkan daripada kitab “Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Sunnah Nabawiyyah” oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi berkaitan beberapa prinsip utama dalam berinteraksi dengan sunnah Nabi SAW. Antara perkara-perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh setiap yang ingin berinteraksi dengan hadith ini adalah:

 

  • Memastikan kesahihan sunnah atau hadith tersebut

Perkara ini tidak dapat tidak perlu kepada penguasaan di dalam ilmu usul hadith sama ada yang berkaitan dengan ilmu riwayah (sanad) dan juga dirayah (teks hadith).

 

  • Memahami hadith Nabi SAW dengan pemahaman yang tepat

Perkara ini juga penting supaya setiap orang itu tidak tersalah dalam memahami tujuan dan kehendak Nabi SAW. Ia juga perlulah dilihat keseluruhan hadith yang berkaitan dan bukannya berpada pada satu hadith sahaja.

 

  • Terselamatnya teks hadith tersebut daripada unsur-unsur percanggahan

Hal ini memerlukan kepada penelitian yang mendalam terhadap setiap teks hadith agar ia tidak bercanggah antara satu sama lain walaupuan secara zahirnya dilihat sedemikian. Untuk itu, para ulama’ telah meletakkan beberapa cara atau kaedah yang boleh digunakan apabila terdapat teks-teks hadith yang dilihat bercanggah antara satu sama lain seperti melihat kepada nasikh dan mansukh, menghimpunkan antara keduanya, mengtarjih antara dua riwayat tersebut mana yang lebih kuat dari sudut kesahihannya atau yang terakhir adalah dengan cara tawaqquf.

 

Penutup

Kesimpulannya, dalam mengkaji dan memahami hadith-hadith Nabi SAW ia perlulah didasari dengan ilmu agar ia tidak terpesong daripada landasan atau garisan yang telah ditetapkan. Selain itu juga, kita juga perlulah menguasai perkara-perkara yang asas di dalam berinteraksi dengan hadith Nabi SAW sebagaimana yang telah dinyatakan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama agar sunnah Nabi SAW akan dapat terus dimartabatkan. Amin.

 

Wallahua’lam