اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-267: GALAKAN MENIKAHI WANITA YANG SUBUR

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan galakan menikah dengan wanita yang subur?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Allah SWT menciptakan setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita. Lalu Allah SWT mensyariatkan perkahwinan bagi mereka yang mampu sebagaimana firman Allah SWT:

 

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً

al-Rum:21

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.”

 

Tambahan pula, agama kita amat menggalakkan setiap umatnya agar berkahwin berdasarkan hadith-hadith yang sahih. Akan tetapi, di sana terdapat beberapa ciri-ciri yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita sebagai panduan sebelum mendirikan rumahtangga.

 

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith daripada Ma’qil bin Yasar berkata: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi SAW lalu berkata:

 

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ وَجَمَالٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ، أَفَأَتَزَوَّجُهَا، قَالَ: "لَا." ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَقَالَ: "تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ."

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian lelaki itu datang buat kali yang kedua maka Baginda SAW juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.” [Riwayat Abu Daud (1050)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith adalah kuat]

 

Hadith ini menunjukkan bahawa anjuran Nabi SAW agar lelaki ini berkahwin dengan wanita yang penyayang supaya dia (isteri) dapat menyayangi suaminya dan yang subur pula adalah yang boleh melahirkan ramai anak. Hadith ini diikat dengan dua ciri ini kerana jika seorang wanita itu tidak bersifat dengan penyayang maka ia akan menjadikan tarikan suami kepadanya berkurangan. Adapun, jika wanita itu tidak bersifat subur maka ia tidak mencapai salah satu tuntutan iaitu meramaikan umat dengan melahirkan ramai anak. Selain itu, kedua ciri ini kebiasaannya terdapat pada wanita yang masih dara. Tambahan pula, hadith ini juga menunjukkan isyarat agar kekal dengan perkahwinan yang mana terdapat padanya (pada isteri) dua ciri atau sifat tersebut. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 33-34/6]

 

Justeru itu, hadith ini merupakan salah satu petunjuk atau hadyu nabawi dalam memilih pasangan hidup. Tuntutan ini bukanlah bersifat wajib, bahkan ia merupakan satu galakan kerana Nabi SAW berbangga melihat umatnya ramai di akhirat kelak. Seperkara lagi, anak merupakan rezeki daripada Allah SWT dan Allah SWT berhak untuk memberikan rezeki tersebut kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Untuk itu, janganlah kita bersedih jika Allah SWT belum lagi mengurniakan kita cahaya mata atau Allah SWT tidak mengurniakan kita cahaya mata. Tugas kita sebagai seorang hamba adalah sentiasa berdoa serta berusaha dengan bersungguh-sungguh dan selebihnya kita serah kepada Allah SWT.

 

Penutup

Kesimpulannya, antara kunci kebahagian rumahtangga adalah apabila mana-mana pasangan mendapatkan cahaya mata. Bahkan, ini akan menguatkan lagi hubungan di dalam perkahwinan tersebut. Untuk itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mengikut setiap panduan yang telah diberikan oleh junjungan besar kita Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah serta penyejuk mata buat ibubapa. Amin.

 

Wallahua’lam