اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-270: HADITH ANAK PUNCA KEBAKHILAN

 

 

 

 

Soalan

Apakah status hadith dan juga makna hadith ini:

 

إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ مَجْهَلَةٌ مَحْزَنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya anak boleh menjadikan seseorang itu bakhil, penakut, jahil dan kesedihan.”

 

Jawapan

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Hadith ini diriwayatkan dalam beberapa sighah oleh beberapa tokoh antaranya al-Hakim. Kami nyatakan seperti berikut:

 

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ الأَسْوَدِ بْنِ خَلَفٍ ، عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ حُسَيْنًا فَقَبَّلَهُ ، ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ مَجْهَلَةٌ مَحْزَنَةٌ.

Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Aswad bin Khalaf, daripada ayahnya RA, bahawa Nabi SAW telah mengambil dan mendukung Husain kemudian menciumnya. Lantas Baginda mengadap para sahabat seraya bersabda: “Sesungguhnya anak boleh menjadikan seseorang itu bakhil, penakut, jahil dan kesedihan.” [Riwayat al-Hakim (5284)]

 

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibn Majah, Abu Ya’la dan al-Thabarani. Adapun al-Hakim di dalam Mustadraknya dengan penambahan (محزنة) dan al-Thabarani dengan penambahan (مجهلة). Hadith ini telah disahihkan oleh Imam al-Hakim dan berkata ia sahih mengikut syarat Muslim [Lihat: al-Mustadrak, 179/3] sedangkan al-Zahabi diam sahaja dalam kitabnya al-Talkhis. Al-Hafiz al-Iraqi berkata sanadnya sahih ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin. [Lihat: al-Mughni ‘an Haml al-Asfar, 1168/1] Selain itu, Imam al-Haithami mengatakan bahawa perawi-perawi hadith ini adalah thiqah. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 155/8]

 

Syarahan Hadith

Al-Iraqi berkata, makna (مَجْبَنَةٌ) menjadi takut kerana anak menyebabkan si bapa menjadi takut lantas tidak berperang fi sabilillah dengan sebab kasih kepada anak dan takut mati.

 

Sedangkan makna (مَبْخَلَةٌ) pula bahawa anak menyebabkan si bapa bakhil dengan harta.

Seterusnya makna (مَجْهَلَةٌ) kerana seseorang itu rela tidak bermusafir untuk menuntut ilmu dan berusaha untuk menhghasilkannya. Ini disebabkan kerana prihatinnya untuk mengumpul harta bagi anaknya.

 

Makna (مَحْزَنَةٌ) pula kerana kedua ibubapanya akan merasa dukacita kerana anak yang menjadi buah hatinya sakit. Apabila anak menuntut sesuatu yang keduanya tidak mampu, maka keduanya merasa sedih. Inilah yang dinyatakan oleh al-Imam al-Munawi. [Lihat: Faidh al-Qadir, 403/2]

 

Al-Zamakhsyari pula berkata makna hadith ini iaitu seorang anak akan menjadikan bapanya dalam kebakhilan kerana untuk mengekalkan harta dan disimpan untuk anaknya. Begitu juga kejahilan kerana sudah tentu dengan adanya anak, menyibukkannya daripada menuntut ilmu. Berkenaan dengan penakut pula kerana bimbang dibunuh dan perasaan takut anaknya terabai selepasnya. Adapun perasaan dukacita kerana sentiasalah si bapa merasa runsing dan dukacita berkenaan urusan anaknya.

 

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah SAW menyatakan “Sesungguhnya kamu daripada wangian Allah” yang memberi maksud anak-anak akan dicium, dikucup serta dipeluk. Ini sebahagian daripada sifat wangian atau pohon wangian yang Allah tumbuhkannya. [Lihat: al-Fa’iq, 185/1]

 

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah telah membincangkan hadith ini dengan panjang lebar dalam mukaddimah kitabnya [Lihat: al-Ulama’ al-‘Uzzab, 21-23].

 

Penutup

Semoga pencerahan hadith ini dengan maksud dan maknanya memberi kefahaman kepada kita dengan lebih baik. Amin.

 

Wallahua’lam