اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-271 :MAKSUD NABI MENGETATKAN KAIN KETIKA MASUK 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN

Soalan :

Apakah yang dimaksudkan dengan hadis yang menyebut bahawa Nabi akan mengetatkan kainnya apabila tiba 10 malam terakhir Ramadan?.

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Bulan Ramadan adalah bulan yang mana Nabi saw akan tingkatkan amalan dan ibadah Baginda. Khususnya apabila tiba 10 malam terakhir. Ini ternyata apabila Umm al-Mukminin Aisyah r.anha meriwayatkan perlakuan Nabi saw ketika tiba 10 malam terakhir. Beliau berkata :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ

Maksudnya :” Nabi saw apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).”

Riwayat al-Bukhari (2024)

Di dalam riwayat lain menyebut :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَجْتَهِدُ فِى الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَا لاَ يَجْتَهِدُ فِى غَيْرِهِ

Maksudnya :” Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir tidak seperti bulan-bulan yang lain.”

Riwayat Muslim (2845)

Namun apakah yang dimaksudkan bahawa Nabi mengetatkan kainnya apabila tiba 10 malam terakhir?

Para Ulama berselisih pandangan berkenaan maksud sebenar ungkapan tersebut. Kami nukilkan pandangan para ulama berkenaan tafsiran bahawa Nabi saw mengetatkan kainnya ketika masuk 10 malam terakhir.

1. Ungkapan tersebut adalah kinayah. Ia menunjukkan bahawa Nabi saw bersungguh-sungguh di dalam Ibadat khususnya pada 10 malam terakhir. Ini berdasarkan hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnadnya. Kata Aisyah :

 

كَانَ يَخْلِطُ فِي الْعِشْرِينَ الْأُولَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ نَوْمٍ وَصَلَاةٍ فَإِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ جَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ

Maksudnya :” Pada 20 hari yang awal Nabi saw akan mencampurkan malamnya dengan tidur dan solat. Apabila masuk 10 malam terakhir, Baginda akan bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.”

Riwayat Imam Ahmad (24390) di dalam Musnad.

Jika dilihat bahawa ungkapan bersungguh-sungguh digandingkan dengan perlakuan mengetatkan kain. Ini menunjukkan adanya kesungguhan. Pandangan ini adalah pandangan yang dikemukan oleh al-Munawi di dalam Faid al-Qadir.

 

2. Ungkapan tersebut bermakna bahawa Nabi saw pada malam tersebut tidak menggauli isteri-isteri Baginda. Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian ulama silam seperti Sufian al-Thauri. Pandangan ini dikeluarkan ditafsirkan berdasarkan hadis riwayat Aisyah. Aisyah meriwayatkan :

 

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَمَضَانَ شَدَّ مِئْزَرَهُ ، ثُمَّ لَمْ يَأْتِ فِرَاشَهُ حَتَّى يَنْسَلِخَ

Maksudnya :” Nabi saw apabila masuknya Ramadan, Baginda akan mengetatkan kainnya kemudian Baginda tidak akan mendatangi tempat tidurnya sehingga bulan tenggelam (waktu siang).”

Riwayat Ibnu Khuzaimah (2216) di dalam Sahihnya.

Ia juga ditafsirkan melalui riwayat Ali r.a. Beliau menyebut :

كَانَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا كَانَ الْعَشْرُ الأَوَاخِرُ مِنْ رَمَضَانَ شَمَّرَ الْمِئْزَرَ وَاعْتَزَلَ النِّسَاءَ

Maksudnya :” Nabi saw apabila sampai 10 malam terakhir daripada Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain dan menjauhi isteri-isterinya.”

Riwayat al-Baihaqi (8825) di dalam Sunan al-Kubra

Pandangan ini juga mengatakan bahawa Nabi saw secara kebiasaannya akan beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Dan orang yang beriktikaf dilarang untuk menggauli isterinya berdasarkan nas al-Quran. Inilah yang dapat difahami melalui firman Allah swt :

فَٱلْـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَٱبْتَغُوا۟ مَا كَتَبَ ٱللَّـهُ لَكُمْ ۚ

Maksudnya :” Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”

(Surah al-Baqarah : 187)

Ini bermakna bahawa pada malam hari puasa, dibenarkan menggauli isteri. Akan tetapi Nabi saw mengetatkan kainnya pada 10 malam terakhir untuk memberi isyarat bahawa malam itu perlu dipenuhkan dengan ibadat untuk mencari Lailatul Qadar bukannya menggauli isteri walaupun pada hakikatnya itu adalah perkara yang harus.

Pandangan ini adalah pandangan yang ditarjihkan juga oleh Ibnu Rajab al-Hanbali di dalam kitabnya Lataif al-Ma’arif.

Kesimpulannya, yang dimaksudkan dengan Nabi saw mengetatkan kainnya apabila tiba 10 malam terakhir ada dua pandangan. Ada yang mengatakan ia bermaksud Nabi saw bersungguh-sungguh apabila tiba 10 malam terakhir da nada yang berpandangan maksud sebenar ungkapan itu adalah pada 10 malam terakhir, Nabi tidak menggauli isteri-isterinya.

Kami berpandangan bahawa kedua-dua makna tersebut boleh digabungkan dan diharmonikan. Ini membawa makna bahawa pada 10 malam terakhir Nabi saw akan bersungguh-sungguh beribadah dan Baginda juga tidak menggauli isterinya kerana ingin fokus sepenuhnya

Wallahu’alam.