اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-280 : MURSAL SA'ID BIN AL-MUSAYYIB

Biodata ringkas Imam Sa’id Bin Al-Musayyib

Nama penuh beliau: Sa’id Bin Al-Musayyib Bin Hazn Al-qurasyi Al-makhzumi. Beliau adalah seorang imam, tokoh, penghulu para tabi’in di zamannya, beliau dilahirkan dua tahun setelah permulaan khilafah Saidina Umar Bin Al-khattab radhiyallahu anhu. Diantara guru beliau: Ali Bin Abi Talib, Uthman Bin ‘Affan, Abu Hurairah, Ibn Abbas dan lain-lain. Beliau merupakan menantu kepada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu dan merupakan orang yang paling alim tentang hadith-hadith Abu Hurairah, ini hasil daripada mulazamah beliau yang panjang dengan Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu. Diantara anak murid beliau: Ali bin Jud’an, Qatadah As-sadusi, Ibn Syihab Az-zuhri, ‘Amru bin ‘Dinar, Muhammad bin Al-munkadir dan lain-lain

Lihat Siyar A’lam al-Nubala’ (217/4)

Beliau juga merupakan diantara salah seorang dari tujuh fuqaha’ Madinah yang besar dan masyhur

Kata Al-imam AL-‘iraqi di dalam Alfiyyah beliau:

 

وَفِي الكِبَارِ الفُقَهَاءِ السَّبْعَهْ * خَارِجَةُ القَاسِمُ ثُمَّ عُرْوَهْ

ثُمَّ سُــــــــــــــــــــلَيْمَانُ عُبَيْدُ اللهِ * سَعِيدُ والسَّابِعُ ذُو اشْتِبَاهِ

أَبُو سَـــــــــــــــــــلَمَةٍ أَوْ سَالِمُ * أَوْ فَأَبو بَكْرٍ ، خِلاَفٌ قَائِمُ

Dan diantara tujuh fuqaha’ yang kibar, Kharijah, Al-qasim, ‘Urwah, Sulaiman, ‘Ubaidullah, Sa’id bin Al-musayyib dan kemudian yang ketujuh terdapat khilaf padanya  samada Abu Salamah, Salim ataupun Abu Bakr.

Lihat Alfiyyah al-‘Iraqi (Hlm 167)

Terdapat khilaf pada tahun kewafatan beliau, adapun pendapat yang dirajihkan oleh Imam Adz-zahabi rahimahullah adalah pada tahun 94 Hijrah

Lihat Siyar A’lam al-Nubala’ (245-246/4)

Definisi hadith mursal

Maksud Mursal dari sudut bahasa bermaksud melepaskan sesuatu atau membebaskannya

Kata al-imam al-‘Ala’ie rahimahullah:

Dinamakan hadith Mursal sebagai Mursal kerana seolah perawi yang mengirsalkan hadith (Mursil)  tersebut melepaskan sanad dan tidak mengikatnya dengan rawi tertentu.

Lihat Tahrir Ulum al-Hadith (923/2).

 

Definisi Mursal dari sudut Istilah

Adapun definisi Mursal dari sudut istilah maka terdapat beberapa pendapat dikalangan para ahli ilmu

1) Riwayat seorang tabi’in senior dari nabi saw secara langsung dengan berkata qala rasulullah saw. Mengikut imam Ibn Solah    rahimahullah gambaran pertama ini tidak terdapat khilaf dikalangan para ulama’ bahawa ia dinamakan mursal.

2) Riwayat seorang tabi’in tanpa melihat peringkat perawi tersebut dari nabi saw secara langsung dengan berkata qala rasulullah

3) Berlaku terputus pada sanad sebelum peringkat tabi’in. Kata Imam Ibn Solah rahimahullah berkenaan gambaran ketiga ini “Dan yang makruf dikalangan ahli Fiqh dan Usul gambaran yang ketiga ini dan dua gambaran sebelumnya, kesemuanya dinamakan Mursal di sisi mereka, dan pendapat ini jugalah yang dipilih dan disokong oleh Imam Abu Bakr Al-khatib Al-baghdadi”.

Lihat Muqaddimah Ibn Solah (126-127)

Definisi terpilih bagi hadith mursal

Definisi yang terpilih disisi kami ialah hadith Mursal merupakan riwayat seorang tabi’in dari nabi saw secara langsung. Ini merupakan definisi yang masyhur dikalangan para ahli hadith sepertimana kata Al-imam Al-Sakhawi “.

Lihat Fathul Mughits Bi Syarh Alfiyah Al-hadith (hlm 175)

Kata Syeikh Al-judai’: Inilah definsi secara istilah yang terpilih dan paling tepat bagi hadith mursal setelah matangnya penggunaan istilah dan terminologi di dalam ilmu hadith.

Lihat Tahrir Ulum al-Hadith (hlm 923)

Beberapa faedah 

Kata syeikh Dr Khalid Ad-durais hafizahullah:

“Kebanyakan para ulama hadith terdahulu(sebelum matangnya penggunaan istilah hadith pada zaman Ibn Solah) menggunakan istilah Mursal terhadap hadith yang berlaku terputus seorang perawi di dalam sanadnya, samada pada peringkat tabi’in ataupun pada peringkat dibawah tabi’in.

Lihat Mauqif al-Imamain al-Bukhari Wa Muslim Min Isytirath Al-luqya (hlm 71)

Status hadith mursal

Terdapat khilaf dikalangan para ahli ilmu akan status hadith mursal, di dalam ini terdapat sekurang-kurangnya dua mazhab besar dikalangan ahli ilmu dari sudut penerimaan hadith mursal.

Mazhab pertama: Hadith mursal merupakan hadith sahih yang boleh digunakan untuk berhujah dengannya dengan syarat perawi yang melakukan irsal tersebut (mursil) adalah seorang yang thiqah dan ‘adil.

Ini merupakan pendapat Ibrahim An-nakha’ie, Hammad bin Sulaiman, Abu Hanifah, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan As-syaibani, Malik bin Anas dan salah satu riwayat yang diriwayatkan dari Imam Ahmad.

 

Mazhab kedua: Hadith mursal merupakan hadith yang dhaif dan tidak boleh digunakan untuk berhujah dengannya.

Ini merupakan pendapat Imam Al-Auza’ie, Abdullah bin Al-mubarak, As-syafie, Ahmad bin Hanbal dan majoriti besar ahli hadith.

 

Kami cenderung untuk memilih mazhab yang kedua ini kerana hadith mursal merupakan hadith yang dhaif pada asalnya, hokum ini kekal selagi mana tiada penguat lain yang mampu mengangkat statusnya.Ini kerana hadith Mursal merupakan hadith yang terdapat inqito’/terputus pada sanadnya, dan sepertimana yang diketahui umum suatu hadith itu tidak boleh menjadi sahih melainkan sanadnya bersambung dan tidak berlaku putus pada sanadnya.

Lihat Tahrir Ulum al-Hadith (hlm 941-943)

 

Kehujahan Mursal Sa’id Bin Al-Musayyib

Berkenaan hadith-hadith mursal yang diriwayatkan Sa’id bin Al-musayyib pula, terdapat perbincangan yang hebat dikalangan ahli ilmu akan kehujahannya. Ia merupakan perbahasan yang panjang yang memerlukan ketelitian di dalam memahaminya.

Kata imam Ahmad mengenai mursal Sa’id Bin Al-Musayyib:

مَرَاسِيلُ سَعِيدٍ صِحَاحٌ، لَا نَرَى أَصَحَّ مِنْ مُرْسَلَاتِهِ

Maksudnya :"Hadith-hadith Mursal yang diriwayatkan Sa’id adalah sahih belaka, kami tidak dapati riwayat Mursal lain yang lebih sahih dari Mursal beliau"

 

Perlu dijelaskan disini bahawa sahih yang Imam Ahmad maksudkan disini bukanlah dengan makna status mursal itu sahih, ini kerana seperti yang telah dijelaskan sebelum ini bahawa haditb mursal mempunyai keterputusan pada sanadnya, maka makna yang dikehendaki oleh imam Ahmad di atas ialah Mursal Sa’id boleh digunakan di dalam berhujah, ini  kerana bagi beliau Mursal Sa’id secara khususnya mempunyai pelbagai sokongan.

Lihat Syarh ‘ilal at-Tirmizi oleh Ibn Rajab Al-hanbali (541/1)

Manakala kata Imam Yahya bin Ma’in pula:

هِيَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ مُرْسَلَاتِ الْحَسَنِ

Maksudnya :"Riwayat-riwayat Mursal Sa’id lebih aku sukai dari riwayat-riwayat Mursal Al-hasan Al-basri."

Dari teks Imam Yahya Bin Ma’in diatas dapat disimpulkan bahawa beliau memandang Mursal sa’id bin al-musayyib sebagai Mursal yang kuat, ini kerana riwayat-riwayat Mursal Al-hasan Al-basri sendiri adalah agak baik sepertimana yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Syarif Hatim Al-Awni.

Lihat al-Mursal al-Khafiy Wa ‘Alaqatuhu Bi At-tadlis (hlm 452)

Adapun Al-imam As-syafie sendiri rahimahullah pendirian beliau terhadap Mursal Sa’id Bin Al-musayyib berhajatkan kepada penelitian yang terperinci. Ini kerana telah tersebar secara amnya bahawa Imam Al-syafie rahimahullah tidak berhujah dengan hadith Mursal kecuali Mursal Sa’id bin Al-musayyib .Akan tetapi penghujahan Imam as-syafie sendiri terhadap Mursal Sa’id Bin Al-musayyib tidaklah mutlak tanpa bersyarat. Pada hakikatnya beliau hanya berhujah dengan Mursal Sa’id Bin Al-musayyib apabila syarat-syarat yang beliau tetapkan dipenuhi. 

Lihat Tadrib Ar-rawi (224/1)

   

Sebelum melihat kepada syarat-syarat tersebut elok juga untuk kita fahami apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “berhujjah menggunakan Mursal” disisi Al-imam As-syafie rahimahullah. Di dalam Fath Al-mughits Imam As-sakhawi menukilkan dua penafsiran ulama’ syafi’iyyah terhadap maksud “berhujah menggunakan Mursal”:-

A)Hadith Mursal tersebut adalah hujah yang boleh digunakan di dalam menetapkan hukum dan sebagainya

B)Ianya bukan hujah secara mutlak, hanyasanya Imam As-syafie menggunakan hadith Mursal sebagai salah satu alat mentarjih. Dan mentarjih menggunakan riwayat Mursal adalah perkara yang dibenarkan.

Kami melihat bahawa penafsiran yang tepat disisi kami ialah makna (B) iaitu ia bukan hujjah secara mutlak. Ini adalah pendapat yang dipilih dan dikuatkan oleh imam Al-khatib Al-baghdadi rahimahullah, beliau juga melemahkan pendapat (A). Kata al-khatib, “ini kerana disana memang terdapat riwayat-riwayat mursal sa’id bin al-musayyib yang tidak mempunyai apa-apa sokongan langsung sehingga ia boleh menjadi sahih”. Tambah Al-imam Al-baihaqi rahimahullah pula “Dan kami telah sebutkan sebelum ini contoh-contoh bagi hadith-hadith Mursal Sa’id Bin Al-musayyib yang tidak diterima Al-imam Al-syafie kerana tiada disana penyokong yang mampu menyokong riwayat Mursal tersebut”.

Lihat Fathul Mughits Bi Syarh Alfiyah al-Hadith (184/1)

 

Adapun berkenaan syarat-syarat yang ditetapkan Imam As-syafie pula untuk berhujah dengan riwayat mursal kibar tabi’in. maka beliau sendiri telah memperincikannya di dalam kitab ar-risalah. Berikut adalah kesimpulan dari nas tersebut:-

A)Syarat-syarat yang berkaitan dengan Mursil(yang melakukan Irsal)

-Mursil hendaklah dari kalangan kibar at-tabi’in

-Mursil hendaklah dari kalangan mereka yang thiqah

-Mursil hendaklah tidak tergolong dari kalangan mereka yang banyak meriwayatkan dari perawi-perawi yang lemah dan majhul

-Sanad riwayat hadith tersebut hendaklah sahih hingga ke Mursil

 

B)Perkara-perkara yang dengannya boleh dikuatkan sebuah riwayat Mursal:

-Terdapat riwayat lain yang bersambung sanadnya serta sahih statusnya yang membawa makna yang sama dengan riwayat mursal tersebut(Ini ialah penyokong terkuat)

-Jika tiada penyokong di atas maka hendaklah disana terdapat riwayat Mursal lain yang membawa makna yang sama dengan riwayat Mursal pertama tersebut dengan syarat riwayat Mursal itu juga memenuhi syarat-syarat yang disebutkan di bahagian (A) di atas. Ini ditambah dengan syarat baru iaitu, perawi Mursal pertama dan perawi Mursal kedua hendaklah tidak berguru dengan guru yang sama, kerana jika mereka berguru dengan guru yang sama maka besar kemungkinan bahawa sebenarnya sanad bagi perawi mursal kedua pada hakikatnya adalah sama dengan perawi Mursal pertama.

-Jika tiada penyokong di atas juga,  hendaklah dilihat adakah disana sahabat-sahabat nabi saw  pernah berfatwa sesuai dengan kandungan riwayat tersebut

-Jika tiada juga kesemua penyokong di atas, hendaklah dilihat adakah kesemua atau majoriti besar ahli ilmu pernah berfatwa sesuai dengan riwayat tersebut

LIhat Syarh an-Nukhbah  (hlm 231-233)

 

Maka yang tahqiq pada permasalahan ini ialah al-imam As-syafie tidak berhujah dengan Mursal Sa’id bin Al-musayyib secara mutlak, bahkan beliau berhujah dengannya apabilah melihat di sana ada sokongan bagi riwayat Mursal tersebut.

 

Seperkara lagi yang terkait dengan permasalahan ini, majoriti ahli ilmu juga menerima periwayatan Sa’id bin Al-musayyib daripada Saidina Umar bin Al-khattab walaupun beliau tidak diketahui pernah mendengar hadith dari Saidina Umar Radhiyallahu anhu kecuali sangat sedikit. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Malik bin Anas rahimahullah dan juga Imam Yahya bin Sa’id Al-ansari bahawa periwayatan beliau diterima dari Saidina Umar kerana beliau terkenal sebagai orang yang paling banyak bergelumang dengan riwayat-riwayat dan juga hukum fiqh saidina Umar bin Al-khattab rahimahullah.

 

Atas sebab ini kata Imam Ahmad rahimahullah

هو عندنا حجة، قد رأى عمر و سمع منه، إذا لم يُقبَل سعيد عن عمر فمن يُقبَل؟

Maksud :"Riwayat Sa’id Bin Al-musayyib dari Umar al-khattab ialah hujah disisi kami, ini kerana beliau telah melihat Umar sendiri dan pernah mendengar hadith darinya, sekiranya riwayat Sa’id bin Al-musayyib dari Umar tidak diterima maka riwayat siapa lagi yang patut diterima? " 

lihat Tahrir Ulum al-Hadith (hlm 934-935)

Beberapa persoalan terkait Mursal Sa’id bin Al-musayyib

A)Berapa lama Sa’id Bin Al-musayyib sempat hidup pada zaman Saidina Umar

Terdapat khilaf dikalangan ulama’ sekitar tarikh kelahiran Sa’id bin Al-musayyib, pendapat terkuat berkaitannya insyaAllah ialah, beliau lahir dua tahun setelah bermulanya khilafah Saidina Umar Ini ialah pendapat yang dipilih Imam Adz-zahabi di dalam Siyar Al-a’lam dan juga merupakan pendapat yang dikuatkan Ibn Sa’d di dalam Tobaqat beliau. Diantara sandaran mereka ialah riwayat dari Yahya Bin Sa’id Al-ansori bahawa beliau mendengar Sa’id Bin Al-musayyib sendiri mengkhabarkan bahawa beliau dilahirkan dua setelah bermulanya Khilafah Saidina umar.

Lihat al-Tobaqat al-Kubra (119/5)

Maka atas qaul ini beliau sempat hidup 8 tahun pada zaman saidina Umar

 

B)Adakah Sa’id Bin Al-musayyib mendengar hadith dari Saidina Umar?

Ramai dari kalangan para ahli hadith yang menafikan sama’ Sa’id bin Al-musayyib dari Saidina Umar, antara yang menafikannya ialah:

  • Imam Yahya Bin Ma’in

قَالَ قُلْتُ لِيَحْيَى بْنِ مَعِينٍ يَصِحُّ لِسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيِّبِ سَمَاعٌ مِنْ عُمَرَ قَالَ لَا

Maksudnya :"Kata Ishaq Bin Mansur, aku bertanya kepada Yahya bin Ma’in, adakah sahih bahawa beliau pernah mendengar hadith dari Umar?"  Jawab beliau: Tidak.

Lihat Marasil Ibn Abi Hatim (hlm 79)

  • Imam Ibn Abi Hatim

وَقيل لِابْنِ أبي حَاتِم يَصح لِابْنِ الْمسيب سَماع من عمر فَقَالَ لَا

Maksudnya :"Ditanya kepada Imam Ibn Abi Hatim, adakah sahih bahawa Sa’id bin Al-musayyib mendengar hadith dari Umar? Jawab beliau: “tidak”.

Lihat Tuhfah al-Tahsil Fi Zikri Ruwah al-Marasil(hlm  128)

 

  • Imam Yahya bin Sa’id al-Qattan

قال يحيى القطان سعيد بن المسيب عن عمر رضي الله عنه مرسل

Maksudnya :" Kata Imam Yahya al-Qattan: Riwayat Sa’id bin Al-musayyib dari Umar adalah mursal(terputus)" 

Lihat Jami’ al-Tahsil Fi Ahkam al-Marasil(hlm 184)

  • Imam Malik bin Anas

وَأنكر سَمَاعه من عمر

Maksudnya :" Imam Malik mengingkari bahawa Sa’id bin Al-musayyib pernah mendengar hadith dari Umar"

Lihat al-Ta’dil Wa al-Tajrih al-Baji (3/1081)

 

C)Kenapa Sa’id bin Al-musayyib melakukan irsal?

Tidak terdapat nas jelas yang menyatakan sebab disebalik mengapa Sa’id melakukan irsal pada riwayat-riwayatnya. Akan tetapi Al-hafiz Ibn Hajar di dalam An-nukat ada menyebutkan sebab-sebab mengapa mursil(perawi yang melakukan irsal) melakukan irsal.

Sebab-sebabnya ialah:-

a) Perawi Mursil tersebut mendengar hadith tersebut dari beberapa perawi thiqah dan menganggap hadith tersebut sahih disisinya, maka dia pun mengirsalkan

b) Perawi terlupa siapa yang meriwayatkan hadith tersebut kepadanya, namun dia mengenal pasti kesahihan matan, lalu dia pun meriwayatkannya secara mursal kerana dia tahu bahawa dia sendiri hanya ambil riwayat dari perawi thiqah sahaja.

c) Perawi tersebut memang tidak berniat untuk tahdith(meriwayatkan hadith secara fomal) akan tetapi hadith tersebut mungkin disebut ketika muzakarah, memberi fatwa dan sebagainya.

Kata Al-hafiz, kesemua sebab-sebab ini terpakai kepada Mursil yang terkenal dengan hanya mengambil riwayat dari perawi yang thiqah sahaja. Dan Sa’id Bin Al-musayyib merupakan diantara perawi yang paling masyhur mengambil riwayat dari mereka-mereka yang thiqah sahaja.

Lihat al-Nukat ‘Ala Kitab Ibn Solah (41-42/2)

Wallahu a’lam