اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-281: PEMERINTAH ADALAH BAYANGAN ALLAH

 

 

Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan pemerintah merupakan bayangan Allah di dunia?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sultan atau pemerintah merupakan tonggak utama dalam sesebuah negara. Tanpa mereka, keadaan masyarakat di negara tersebut akan menjadi huru-hara kerana tidak ada orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan

 

  • Firman Allah SWT:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

al-Nisa’:59

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

 

Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

 

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. [Lihat: Tafsir al-Sya’rawi, 2360/4]

 

Berdasarkan soalan di atas dan ia juga merujuk kepada salah satu kenyataan kami ketika ditemubual oleh stesen penyiaran TV al-Hijrah tempoh hari, memang terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa pemerintah adalah bayangan Allah di bumi. Antaranya adalah:

 

  • Daripada Abi Bakrah RA, bahawa aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

 

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ

Maksudnya: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6988)] [Hadith ini dinilai sahih oleh Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, 496/1]

 

Selain itu, terdapat beberapa lagi riwayat yang membicarakan berkaitan bayangan Allah ini tetapi riwayat-riwayat ini dinilai dhaif oleh para ulama’ kerana sanadnya terputus. Antara riwayat tersebut adalah:

 

  • Daripada Anas bin Malik RA berkata:

 

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ غَشَّهُ ضَلَّ وَمَنْ نَصَحَهُ اهْتَدَى

Maksudnya: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6991)] [Riwayat ini adalah mawquf kepada Anas bin Malik RA dan dikatakan juga ia mawquf kepada Qatadah sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Baihaqi][Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai dhaif di dalam al-Jami’ al-Saghir, 496/1]

 

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

Maksudnya: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi yang mana orang yang lemah akan pergi kepadanya. Dengannya akan dibantu orang yang dizalimi dan barangsiapa yang memuliakan pemerintah di dunia ini maka Allah akan memuliakannya di hari Kiamat.” [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (4817)] [Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]

 

Terdapat beberapa lagi riwayat lain yang dimulakan dengan lafaz pemerintah merupakan bayangan Allah SWT di dunia tetapi riwayat-riwayat tersebut tidak lari daripada kritikan para ulama’ terhadapnya walaupun ia disahihkan atau dihasankan oleh sebahagian ulama’.

 

Antara yang mengkritik riwayat ini adalah Imam Abi Hatim apabila ditanya oleh anaknya berkaitan riwayat anas ini, maka Abu Hatim menjawab ini adalah hadith munkar dan salah seorang perawi bernama Ibn Abi Rukbah adalah seorang yang majhul. Oleh itu, setelah meneliti dan mengambil kira beberapa pandangan ulama’ maka kami lebih cenderung untuk mengatakan bahawa riwayat pemerintah merupakan bayangan Allah SWT di dunia adalah dhaif.

 

Tambahan pula, pemerintah atau sultan ini digambarkan sebagai bayangan Allah adalah diumpamakan pemerintah itu seperti tempat berteduh bagi orang yang mencari tempat untuk berteduh dan teduhan itu diumpamakan apabila pemerintah itu melaksana atau memerintah dengan adil. Selain itu juga, bayangan ini juga membawa maksud kemuliaan dan kekuasaan. [Lihat: al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir, 472-473/6]

 

Kami berpendapat bahawa perkataan yang digunakan adalah lebih kepada majaz iaitu yang lebih memerlukan kepada kefahaman yang mendalam. Di samping itu juga, ia menunjukkan bahawa pemimpin atau pemerintah itu mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Hal ini sebagaimana sebuah kata-kata atau perumpaan yang dinukilkan daripada Saidina Uthman RA dan begitu juga daripada Saidina Umar RA:

 

لَمَا يَزَعُ السُّلْطَانُ النَّاسَ أَشَدُّ مِمَّا يَزَعُهُمُ الْقُرْآنُ

Maksudnya: “Rakyat lebih gerun terhadap hukuman/perintah yang dijatuhkan/dikeluarkan oleh pemerintah berbanding hukuman/perintah yang mereka dapati di dalam al-Quran.” [Lihat: Tarikh al-Madinah, Ibn Syubbah, 988/3]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang menyatakan bahawa pemerintah adalah bayangan Allah adalah dhaif dan makna hadith ini menunjukkan bahawa pemerintah mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding rakyat yang berada di bawahnya. Semoga Allah SWT memelihara dan memacu pemerintah-pemerintah  Islam menuju ke arah keredhaan Allah SWT. Amin.

 

Wallahua’lam