اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-288: BUTA KERANA MELIHAT MALAIKAT

 

Soalan: Assalamualaikum dr, maaf mengganggu. Saya ingin bertanya adakah sahih cerita berkenaan salah seorang sahabat nabi yang pernah melihat malaikat lalu matanya menjadi buta?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Beriman dengan malaikat merupakan salah satu daripada rukun iman. Maka, kita sebagai seorang yang beriman wajib beriman bahawa wujudnya malaikat. Tambahan pula, malaikat ini diciptakan oleh Allah SWT daripada cahaya sebagaimana sabda Nabi SAW:

 

خُلِقَتِ الْمَلَائِكَةُ مِنْ نُورٍ

Maksudnya: “Diciptakan malaikat daripada cahaya.” [Riwayat Muslim (2996)]

 

Berdasarkan soalan di atas, manusia tidak mampu melihat malaikat dalam bentuknya yang sebenar. Hal ini, ada dinyatakan oleh Syeikh Sulaiman al-Ashqar pada bab melihat malaikat:

 

“Malaikat ini diciptakan daripada cahaya, maka disebabkan itu manusia tidak mampu melihatnya. Lebih-lebih lagi, Allah SWT tidak memberi pandangan mata kita kemampuan untuk melihat malaikat. Untuk itu, umat ini tidak mampu melihat malaikat dalam bentuknya yang sebenar melainkan Rasulullah SAW sahaja. Ini kerana, Baginda SAW telah melihat Jibril sebanyak dua kali dalam bentuknya sebagaimana yang Allah ciptakan. Tambahan pula, nas-nas telah menunjukkan bahawa manusia mampu melihat malaikat apabila ia berubah daripada bentuk asalnya kepada bentuk manusia.” [Lihat: ‘Alam al-Malaikat al-Abrar,10/1]

 

Antara contoh atau dalil yang biasa didengar bahawa sahabat telah melihat malaikat dalam bentuk manusia adalah hadith Jibril. Hadith tersebut menceritakan bahawa Jibril telah datang kepada Rasulullah SAW ketika Baginda SAW bersama para sahabat dan bertanya Rasulullah SAW tentang rukun Islam, Iman dan Ihsan. Di akhir hadith tersebut, Nabi SAW telah bertanya kepada Saidina Umar, adakah beliau mengenali lelaki tersebut. Maka Nabi SAW memberitahu kepada Saidina Umar bahawa:

 

فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia adalah Jibril, telah datang kepada kamu untuk mengajar kamu agama kamu.” [Riwayat Muslim (8)]

 

Hadith tersebut merupakan di antara dalil yang menunjukkan bahawa manusia mampu melihat malaikat jika malaikat itu berupa dalam bentuk manusia tetapi tidak dalam bentuknya yang asal. Justeru itu, melihat malaikat dalam bentuknya yang asal tidak berlaku pada umat Nabi Muhammad SAW melainkan pada Rasulullah SAW sahaja. Berbalik kepada soalan di atas, kami tidak menemui riwayat yang menceritakan berkaitan seorang sahabat nabi yang melihat malaikat lalu matanya menjadi buta.

 

Penutup

Kesimpulannya, beriman dengan malaikat merupakan salah satu daripada rukun iman yang wajib diimani dan diyakini oleh setiap yang mengaku mukmin. Adapun, melihat malaikat (yang bukan dalam bentuknya yang asal) bukanlah satu perkara yang mustahil kerana ia telah berlaku pada zaman Rasulullah SAW lebih daripada sekali. Akhirnya, semoga Allah SWT sentiasa memelihara iman kita semua serta menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam