اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-292: PERNIAGAAN ADALAH SUMBER REZEKI TERBESAR

 

ih292.png

 

Soalan: Benarkah hadith berkaitan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sebuah hadith yang tersebar dan masyhur dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan berniaga. Antaranya adalah:

 

عَلَيْكُمْ بِالتِّجَارَةِ فَإِنَّ فِيْهَا تِسْعَةَ أَعْشَارِ الرِّزْقِ

Maksudnya: “Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki.”

 

تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ

Maksudnya: “9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan.”

 

Dua matan ini biasa didengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki. Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah SAW atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama’. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadith ini:

Di sini kami datangkan beberapa pendapat para ulama’ dalam menyatakan status hadith ini:

Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadith ini dhaif di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh (صيغة التمريض) ketika menukilkan hadith ini. [Lihat: al-Istizkar, 619/8]

Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadith ini di dalam ihya’ Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadith, hadith tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah. Dikatakan bahawa Nu’aim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar. Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nu’aim adalah seorang tabi’i maka hadith tersebut adalah mursal (iaitu hadith yang gugurnya sahabat daripada sanad hadith tersebut). [Lihat: al-Mughni: 419/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami juga cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadith di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadith tersebut. Walaupun hadith tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Ini kerana, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul. Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat. Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga. Ini kerana, bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang dinyatakan di atas adalah mursal atau dhaif kerana sanadnya terputus. Walaubagaimanapun, makna hadith tersebut adalah benar kerana perniagaan sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar. Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya. Akan tetapi, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” [Riwayat al-Tirmizi (1209)][Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi]

 

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

 

إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ

Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.” [Riwayat al-Tirmizi (1210)][Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

 

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap perkara atau pekerjaan yang kita lakukan. Semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam