Soalan :
Assalamualaikum wbt. Saya pernah mendengar kisah Nabi musa menumbuk mata malaikat maut sehingga buta kerana beliau tidak mahu mati lagi pada ketika itu?.Betul ke kisah tersebut? Adakah kisah itu kisah yang sahih?. Mohon pencerahan ustaz.
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Kisah tersebut terdapat di dalam sahih al-Bukhari yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Kata beliau :
أُرْسِلَ مَلَكُ الْمَوْتِ إِلَى مُوسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام فَلَمَّا جَاءَهُ صَكَّهُ فَرَجَعَ إِلَى رَبِّهِ فَقَالَ أَرْسَلْتَنِي إِلَى عَبْدٍ لَا يُرِيدُ الْمَوْتَ فَرَدَّ اللَّهُ عَلَيْهِ عَيْنَهُ وَقَالَ ارْجِعْ فَقُلْ لَهُ يَضَعُ يَدَهُ عَلَى مَتْنِ ثَوْرٍ فَلَهُ بِكُلِّ مَا غَطَّتْ بِهِ يَدُهُ بِكُلِّ شَعْرَةٍ سَنَةٌ قَالَ أَيْ رَبِّ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ الْمَوْتُ قَالَ فَالْآنَ فَسَأَلَ اللَّهَ أَنْ يُدْنِيَهُ مِنْ الْأَرْضِ الْمُقَدَّسَةِ رَمْيَةً بِحَجَرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَوْ كُنْتُ ثَمَّ لَأَرَيْتُكُمْ قَبْرَهُ إِلَى جَانِبِ الطَّرِيقِ عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ
Maksudnya :” Malaikat maut dihantar kepada Nabi musa. Apabila ia datangnya, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas ia kembali kepada Allah seraya berkata : Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati. Maka Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman : Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tanggannya itu adalah tahun (yang akan dia hidup). Nabi Musa (setelah menyampaikan pesanan dari Allah) berkata : Wahai Tuhan, kemudian apa?. Allah menjawab : kematian. Nabi Musa berkata : Sekaranglah. Kemudian Baginda memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Abu Hurairah berkata : Rasulullah saw bersabda : Jika aku ada di sana akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah.”
Riwayat al-Bukhari (1339)( 3407),Muslim (6298)
Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam beberapa bab. Antaranya (Bab sesiapa yang suka untuk ditanam di tanah yang disucikan atau selain itu) dan (Bab kewafatan Nabi Musa dan apa yang disebutkan selepasnya). Begitu juga Imam Muslim meletakkan hadis ini di dalam kitab sahihnya.
Secara ringkasnya, kisah Nabi Musa menampar atau menumbuk muka malaikat adalah kisah yang thabit dan sahih. Sikap orang Islam adalah menerima riwayat ini sebagaimana para cendekiawan menyatakan :
تلقته الأمة بالقبول
Maksudnya :” Kesemua umat islam menerima pakai(sahih al-Bukhari)”
Namun begitu, adakah kisah ini bermaksud bahawa Nabi Musa enggan ditarik nyawanya?. Tidakkan kisah ini membawa makna bahawa Nabi Musa seorang yang kasar sehingga berani menumbuk muka malaikat?. Bagaimana malaikat boleh dicederakan dan adakah ini bermakna malaikat sepertimana manusia yang mempunyai mata dan muka?.
Kisah ini sebenarnya bukanlah menceritakan yang Nabi Musa enggan ditarik nyawanya.Mereka yang tidak mendalami dan memahami dengan betul akan menyebut riwayat ini telah memperlekeh dan merendahkan Nabi Musa. Hakikatnya, Ianya telah dijelaskan dan dijawab oleh Ibnu Khuzaimah sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani :
“Allah mengutuskan malaikat maut bukan untuk mencabut nyawanya akan tetapi sebagai satu ujian kepada Baginda. Dan Nabi Musa menampar muka malakat adalah kerana Baginda melihat seorang lelaki masuk ke rumahnya tanpa izin dalam keadaan Baginda tidak tahu bahawa itu adalah malaikat maut”
Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari( 20/115)
Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menukilkan pandangan Al-Maziri yang berkata: Sebahagian atheis telah mengingkari hadis ini berserta gambarannya dan berkata: “Bagaimana mungkin Musa boleh mencungkil mata malaikat maut?” Beliau membawakan beberapa jawapan oleh para ulama’ berkenaan perkara ini:
Pertama: tidak mustahil apabila Allah SWT mengizinkan kepada Nabi Musa AS untuk melakukan tamparan ini. Ia sebagai ujian dan cubaan kepada yang ditampar (iaitu malaikat maut). Allah SWT berhak melakukan apa sahaja pada makhluk-Nya sesuai dengan apa yang dikehendaki-Nya. Dia juga berhak menguji sesiapa sahaja yang diingini-Nya.
Kedua :Kejadian tersebut berlaku secara majaz. Maksudnya ialah Musa berdebat dan berhujah dengannya (malaikat maut), lalu mengalahkannya dengan hujah. Dikatakan: “فَقَأَ فُلَان عَيْن فُلَان”. Maksudnya “fulan telah memukul mata si fulan” yang bermaksud orang itu telah mengalahkan si fulan dengan hujah.
(Berkenaan pendapat ini), Al-Maziri memberi komentar: Dalam perkara ini, ia mengandungi kelemahan kerana sabda Baginda SAW: “فَرَدَّ اللَّهُ عَيْنَهُ” (Maka Allah SWT mengembalikan matanya). Apabila dikatakan bahawa maksudnya adalah “mengembalikan membantah hujahnya,” maka ini adalah jauh sekali (sukar diterima). Justeru, maksud mata di sini adalah zahir.
Ketiga: Nabi Musa tidak tahu bahawa yang datang kepadanya ialah Malaikat utusan Allah. Nabi Musa menyangka bahawa ia adalah orang asing yang menginginkan nyawanya, sehingga Nabi Musa harus membela dirinya dan menamparnya. Pembelaan ini membuatkan dirinya tanpa sengaja mencungkil matanya.
Ini adalah jawapan al-Imam Abu Bakr bin Khuzaimah dan yang lainnya daripada kalangan ulama terdahulu. Pendapat ini juga dipilih oleh Al-Maziri dan Al-Qadhi ‘Iyadh
Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim (8/103)
Perihal Nabi Musa tidak mengenali malaikat maut. Ini adalah hal yang biasa. Ini kerana malaikat boleh berubah ke dalam bentuk seorang manusia. Perkara ini juga berlaku kepada Maryam. Firman Allah :
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ مَرْيَمَ إِذِ ٱنتَبَذَتْ مِنْ أَهْلِهَا مَكَانًا شَرْقِيًّا ﴿١٦﴾ فَٱتَّخَذَتْ مِن دُونِهِمْ حِجَابًا فَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا ﴿١٧﴾ قَالَتْ إِنِّىٓ أَعُوذُ بِٱلرَّحْمَـٰنِ مِنكَ إِن كُنتَ تَقِيًّا
Maksudnya :” Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Mariam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.”
(Surah al-Mariam : 16-19)
Begitu juga, ketika Nabi Lut didatangi oleh 2 orang malaikat sebelum kaumnya diturunkan azab :
وَلَمَّا جَآءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِىٓءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالَ هَـٰذَا يَوْمٌ عَصِيبٌ ﴿٧٧﴾ وَجَآءَهُۥ قَوْمُهُۥ يُهْرَعُونَ إِلَيْهِ وَمِن قَبْلُ كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ ۚ قَالَ يَـٰقَوْمِ هَـٰٓؤُلَآءِ بَنَاتِى هُنَّ أَطْهَرُ لَكُمْ ۖ فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّـهَ وَلَا تُخْزُونِ فِى ضَيْفِىٓ ۖ أَلَيْسَ مِنكُمْ رَجُلٌ رَّشِيدٌ ﴿٧٨﴾ قَالُوا۟ لَقَدْ عَلِمْتَ مَا لَنَا فِى بَنَاتِكَ مِنْ حَقٍّۢ وَإِنَّكَ لَتَعْلَمُ مَا نُرِيدُ ﴿٧٩﴾ قَالَ لَوْ أَنَّ لِى بِكُمْ قُوَّةً أَوْ ءَاوِىٓ إِلَىٰ رُكْنٍ شَدِيدٍ ﴿٨٠﴾ قَالُوا۟ يَـٰلُوطُ إِنَّا رُسُلُ رَبِّكَ لَن يَصِلُوٓا۟ إِلَيْكَ ۖ فَأَسْرِ بِأَهْلِكَ بِقِطْعٍ مِّنَ ٱلَّيْلِ وَلَا يَلْتَفِتْ مِنكُمْ أَحَدٌ إِلَّا ٱمْرَأَتَكَ ۖ إِنَّهُۥ مُصِيبُهَا مَآ أَصَابَهُمْ ۚ إِنَّ مَوْعِدَهُمُ ٱلصُّبْحُ ۚ أَلَيْسَ ٱلصُّبْحُ بِقَرِيبٍ
Maksudnya :” Dan apabila datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya), sambil berkata: "Ini adalah hari yang amat mencemaskan. Dan kaumnya pun datang meluru kepadanya (dengan tujuan hendak mengganggu tetamunya), sedang mereka sebelum itu sudah biasa melakukan kejahatan. Nabi Lut berkata: "Wahai kaumku! Di sini ada anak-anak perempuanku mereka lebih suci bagi kamu (maka berkahwinlah dengan mereka). Oleh itu takutlah kamu kepada Allah, dan janganlah kamu memberi malu kepadaku mengenai tetamu-tetamuku. Tidakkah ada di antara kamu seorang lelaki yang bijak berakal (yang dapat memberi nasihat)?" Mereka menjawab: "Sesungguhnya engkau telahpun mengetahui bahawa kami tidak ada sebarang hajat kepada anak-anak perempuanmu, dan sebenarnya engkau sedia mengetahui akan apa yang kami kehendaki.". Nabi Lut berkata: "Kalaulah aku ada kekuatan untuk menentang kamu, atau aku dapat bertumpu ke sesuatu tempat bertahan yang kuat (dari penyokong-penyokong, tentulah aku akan membinasakan kamu)". (Mendengarkan yang demikian tetamunya berkata: "Wahai Lut! Sesungguhnya kami (adalah malaikat) utusan Tuhanmu. Kaum engkau yang jahat itu tidak sekali-kali akan dapat melakukan kepadamu (sebarang bencana). Oleh itu, pergilah berundur dari sini bersama-sama dengan keluargamu pada tengah malam, dan janganlah seorangpun di antara kamu menoleh ke belakang. Kecuali isterimu, sesungguhnya ia akan ditimpa azab yang akan menimpa mereka (kerana ia memihak kepada mereka). Sesungguhnya masa yang dijanjikan untuk menimpakan azab kepada mereka ialah waktu subuh; bukankah waktu subuh itu sudah dekat?"
(Surah Lut :77-81)
Ini bermakna malaikat boleh menyerupai seorang lelaki yang mana lengkap mata dan wajahnya sehingga tidak dikenali melainkan jika diberitahu. Ini dikuatkan lagi oleh sabda Nabi saw :
وَأَحْيَانًا يَتَمَثَّلُ لِي الْمَلَكُ رَجُلًا فَيُكَلِّمُنِي فَأَعِي مَا يَقُولُ
Maksudnya :” Kadang-kadang malaikat datang kepada ku dengan menyerupai seorang lelaki dan bercakap denganku. Lalu aku fokus terhadap apa yang dia katakan”
Riwayat al-Bukhari (2)
Perbuatan Nabi Musa menumbuk malaikat itu berasas, kerana pada ketika itu malaikat maut menyerupai seorang lelaki yang menyebabkan Nabi Musa tidak mengenalnya. Apatah lagi,ia masuk ke rumah tanpa izin. Al-Khattabi menyatakan bahawa Nabi Musa hanya ingin mempertahankan dirinya.
Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari (20/115)
Sama seperti kita yang semestinya akan mempertahankan diri jika terlihat seorang lelaki yang asing di dalam rumah kita. Berkemungkinan orang itu perompak atau pembunuh. Jika tidak berhati-hati mahu melayang nyawa kita.
Kesimpulannya, hadis ini adalah hadis yang sahih lagi thabit.Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman tambahan kepada kita semua.
Wallahu’alam.