اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-297 : TANDA-TANDA KEBAHAGIAAN

 

IH297 33990902 compressed

Soalan :

Saya ada mendengar satu hadis yang disampaikan oleh ustaz penceramah. Dalam ceramah itu beliau mengatakan bahawa Rasulullah sebut tanda kebahagiaan ada tiga iaitu rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang baik. Betul ke ada hadis ini?

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ya, hadis yang disebutkan oleh ustaz penceramah tersebut memang ada. Antaranya yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Adab al-Mufrad. Sanad dan lafaz hadis itu adalah seperti berikut :

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ وَقَبِيصَةُ قَالاَ : حَدَّثَنَا سُفْيَانُ ، عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِي ثَابِتٍ ، عَنْ خَمِيلٍ ، عَنْ نَافِعِ بْنِ عَبْدِ الْحَارِثِ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya :” Abu Nuaim dan Qabisah menceritakan kepada kami. Kedua-duanya berkata : Sufiyan telah menceritakan kepada kami daripada Habib Bin Abi Thabit daripada Khamil daripada Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi saw.Baginda bersabda : Antara (tanda) kebahagiaan seseorang adalah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunganggan yang elok.”

Riwayat al-Bukhari (457) di dalam al-Adab al-Mufrad

Lafaz hadis ini juga direkodkan oleh Imam ahmad di dalam Musnadnya hadis yang ke 15372 dan juga disebutkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman hadis ke 9558.al-Hakim juga merekodkan hadis ini dan menghukum hadis ini sebagai hadis yang sahih.

Di dalam riwayat yang lain selain dari menyebutkan tanda kebahagiaan, Nabi juga menyebutkan tentang tanda-tanda kedukaan bagi seseorang. Antaranya riwayat yang direkodkan oleh Ibnu Hibban di dalam sahihnya. Kata beliau :

أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ مَوْلَى ثَقِيفٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ بْنِ أَبِي رِزْمَةَ ، قَالَ : حَدَّثَنَا الْفَضْلُ بْنُ مُوسَى ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَعِيدِ بْنِ أَبِي هِنْدٍ ، عَنْ إِسْمَاعِيلَ بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ ، وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ ، وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ ، وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ ، وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ ، وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Maksudnya :”Muhammad Bin Ishak Bin Ibrahim Maula kepada Thaqif mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Muhammad Bin Abdul Aziz Bin Abu Rimzah menceritakan kepada kami.Beliau berkata : al-Fadhl Bin Musa menceritakan kepada kami. Daripada Abdullah Bin Sa’id Bin Abu Hind daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abui Waqqas) berkata : Rasulullah saw bersabda : 4 tanda kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas,jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala 4 tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.”

Riwayat Ibnu Hibban (4032) di dalam Sahihnya

Sheikh Syu’aib al-Arnaut ketika mentahqiq hadis ini beliau menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari.

Kesimpulannya, hadis ini adalah hadis yang thabit lagi sahih. Semoga Allah memberi kita kefahaman. Wallahu’alam.