Soalan: Apakah sumber doa ini?
إِلَهِي لَسْتُ لِلْفِرْدَوْسِ أَهْلَا
وَلَا أَقوَى عَلَى النَّارِ الْجَحِيمِ
فَهَبْ لِي تَوْبَةً وَاغْفِرْ ذُنُوبِي
فَإِنَّكَ غَافِرُ الذَّنبِ الْعَظِيمِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan ku tak layak ke Syurga-Mu, Namun aku tidak sanggup ke nerakaMu, Terimalah taubatku dan ampuni segala dosaku, Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kita dituntut agar sentiasa berdoa memohon untuk masuk ke dalam syurga Allah SWT. Akan tetapi, Allah SWT telah menetapkan bahawa syurga ini hanya akan didiami oleh hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh sahaja. Hal ini, dinyatakan sendiri oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
al-Baqarah:82
Maksudnya: “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya.”
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang-orang yang membenarkan Allah dan rasul-Nya, beriman dengan hari akhirat, melakukan amal soleh, menunaikan kewajipan, meninggalkan segala maksiat adalah orang-orang yang layak untuk memasuki syurga sebagai ganjaran di atas ketaatannya, pergantungannya serta keikhlasannya kepada Allah di waktu sembunyi dan terang-terangan. Ini juga merupakan dalil bahawa iman yang sahih bersama amal soleh merupakan syarat untuk masuk ke dalam syurga. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 154/1]
Melihat kepada soalan di atas, kami menyatakan bahawa doa atau zikir tersebut tidak terdapat di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar. Namun, Imam Abd al-Wahab al-Sya’rani pernah menyatakan bahawa sesiapa yang mengamalkannya dan membacanya pada setiap hari Jumaat, maka dia akan dimatikan di dalam Islam tanpa syak lagi. Hal ini, dinukilkan oleh Imam al-Dimyathi di dalam kitabnya. [Lihat: ‘Iaanah al-Tholibin, 106/2]
Selain itu juga, sememangnya kita dituntut untuk sentiasa memohon kepada Allah SWT agar dimasukkan ke dalam syurga yang paling tinggi. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ
Maksudnya: “Apabila kamu memohon syurga kepada Allah, maka mohonlah al-Firdaus.” [Riwayat al-Bukhari (7423)]
Tambahan pula, doa merupakan ibadah yang hebat kerana ia berhubung terus kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa ini terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja walaupun sebaik-baik doa atau lafaz doa adalah yang datang daripada al-Quran dan hadith Nabi SAW. Kita juga dibolehkan untuk berdoa dengan apa jua doa sekalipun, selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Selain itu juga, antara perkara yang penting adalah perlu meraikan beberapa adab-adab, syarat-syarat dan garis panduan di dalam berdoa agar doa yang dipanjatkan itu merupakan satu doa yang berkualiti.
Penutup
Kesimpulannya, seorang muslim itu seharusnya melazimi dirinya dan lisannya dengan zikir-zikir yang boleh mengingatnya kepada Allah SWT walaupun di mana sahaja dia berada. Ini kerana, banyak kelebihan dan fadhilat yang akan diperolehi bagi orang yang sentiasa melazimi zikir ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Antaranya firman Allah SWT:
وَالذَّاكِرِينَ اللَّـهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّـهُ لَهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
al-Ahzab:35
Maksudnya: “Dan orang-orang lelaki yang banyak berzikir dengan nama Allah serta orang-orang perempuan yang banyak berzikir dengan nama Allah, maka Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.”
Di samping itu juga, di dalam hadith juga terdapat anjuran agar sentiasa melazimi zikir ini berdasarkan kepada riwayat Abi Musa RA:
- Bahawa Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لاَ يَذْكُرُ رَبَّهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya seperti orang yang hidup dan mati.” [Riwayat al-Bukhari (6407)]
Akhirnya, marilah sama-sama kita sentiasa membasahkan lidah kita dengan berzikir kepada Allah SWT agar kita digolongkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa mendapat keampunan dan pahala daripada Allah SWT. Amin.
Wallahua’lam