اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-376: MAKSUD MALAM AL-QADAR

 

ih376_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah maksud malam al-Qadar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sedar tidak sedar, kita telah memasuki 10 malam yang terakhir di dalam bulan Ramadhan. Selain itu, di dalam bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan ini, Allah SWT telah menjadikan satu malam yang istimewa di mana akan dilipat gandakan setiap amalan yang dilakukan pada malam tersebut iaitu yang dikenali dengan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar. Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

al-Qadr: 1-3

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’an) pada malam al-Qadar, Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu?, malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Bagi menjawab persoalan di atas, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan makna malam al-Qadar. Antaranya:

  • Malam tersebut Allah SWT menetapkan ajal manusia dan rezeki manusia serta qadar Allah SWT sama ada baik atau buruk sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya. [Lihat: Tafsir al-Baghawi, 7/228]
  • Malam al-Qadar diambil namanya di sebabkan kedudukannya, kemuliannya dan kebesarannya. Di sebabkan itu, sekiranya ingin memuji seseorang boleh dipanggil dengan “ذو قدر” iaitu orang yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan.
  • Sesungguhnya amalan soleh dan ketaatan kepada Allah SWT pada malam tersebut mendapat ganjaran yang cukup besar serta kedudukan yang cukup mulia.
  • Ini kerana, malam tersebut ditaqdirkan Allah SWT bahawa al-Qur’an diturunkan. [Lihat: Tafsir al-Iz bin Abd al-Salam, 3/473]
  • Malam al-Qadar adalah malam penentu (pemutus) atau penghukum.

Imam Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari ada menukilkan bahawa al-Nawawi menyatakan bahawa dinamakan malam al-Qadar adalah kerana pada malam tersebut para malaikat menulis qadar-qadar manusia sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. [Lihat: Fath al-Bari, 4/255] Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’. [Lihat: al-Majmu’, 6/447]

 

Justeru itu, kami cenderung kepada pandangan yang kelima iaitu dinamakan malam al-Qadar atau Lailatul Qadar adalah disebabkan pada malam tersebut ditentukan atau diputuskan qadar setiap insan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

al-Dukhan: 4

Maksudnya: “(Kami menurunkan al-Qur’an pada malam yang tersebut) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).”

 

Rahsia Menyembunyikan Lailatul Qadar

Antara rahsia Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya ia menjadi pendorong kepada orang ramai untuk mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi untuk mencari malam tersebut, seperti disembunyikan masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat dan juga disembunyikan namanya yang agung daripada segala nama-nama yang Dia miliki.

 

Penutup

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam