اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-388: KELEBIHAN MELIHAT MASJID AL-AQSA

 

 

 

ih388_15291523.png

 

Soalan: Melihat Masjid al-Aqsa lebih baik daripada dunia dan seisinya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Palestin merupakan salah satu tanah suci buat umat Islam seluruh dunia dan di sana juga diutuskan ramai para anbiya’ (nabi) dan rasul. Di samping itu juga, telah menjadi satu kewajipan buat umat Islam untuk mengasihi dan mencintai Bait al-Maqdis kerana kota suci ini disebut di dalam al-Qur’an sebagai ssebuah kota yang diberkati oleh Allah SWT sekelilingnya kerana tempat tersebut telah menjadi tempat perjalanan Nabi SAW pada peristiwa Isra’ dan Mi’raj:

 

  • Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

al-Isra’ : 1

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (di Makkah) ke masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya yang masyhur, masjid al-Aqsa di dalam surah al-Isra’ ini adalah Bait al-Maqdis. Dinamakan masjid al-Aqsa adalah disebabkan jaraknya yang jauh daripada masjid al-Haram. Adapun, ia juga merupakan masjid yang paling jauh daripada ahli Makkah di atas muka bumi ini yang dituntut atau disyariatkan bagi kita untuk menziarahinya. [Lihat: Tafsir al-Munir, 13/15]

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sumbernya yang mana kami temui hadith ini di dalam kitab al-Mustadrak oleh Imam al-Hakim.

 

  • Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

تَذَاكَرْنَا وَنَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّهُمَا أَفْضَلُ: مَسْجِدُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَوْ مَسْجِدُ بَيْتِ الْمَقْدِسِ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَرْبَعِ صَلَوَاتٍ فِيهِ، وَلَنِعْمَ الْمُصَلَّى، وَلَيُوشِكَنَّ أَنْ لَا يَكُونَ لِلرَّجُلِ مِثْلُ شَطَنِ فَرَسِهِ مِنَ الْأَرْضِ حَيْثُ يَرَى مِنْهُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ خَيْرٌ لَهُ مِنَ الدُّنْيَا جَمِيعًا - أَوْ قَالَ: خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya: “Kami sedang mengingati antara satu sama lain dan Rasulullah SAW berada di sisi kami berkaitan yang mana lebih afdhal di antara masjid Rasulullah SAW dan juga masjid Bait al-Maqdis. Maka Rasulullah SAW bersabda: Solat di masjidku ini lebih afdhal daripada empat kali solat di Bait al-Maqdis. Alangkah nikmatnya bagi orang yang solat. Sesungguhnya akan tiba satu masa, seseorang itu memiliki tanah seukuran tali kuda sehingga dia mampu melihat Bait al-Maqdis. Hal itu adalah lebih baik baginya daripada dunia keseluruhannya atau lebih baik daripada dunia dan seisinya.” [Riwayat al-Hakim (8553)][Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hakim dengan menyatakan sanad hadith ini adalah sahih tetapi tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim][Imam al-Zahabi juga menilai hadith ini sebagai sahih sepertimana penilaian al-Hakim]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith di atas menunjukkan kelebihan serta kemuliaan masjid al-Aqsa berbanding masjid-masjid yang lain melainkan masjid al-Haram dan masjid al-Nabawi. Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita lebih cakna ,mengasihi dan mencintai msjid al-Aqsa dan mengambil peduli apa yang berlaku terhadapnya. Semoga suatu hari nanti, masjid al-Aqsa akan bebas dari cengkaman Yahudi Zionis dan kita semua dapat menunaikan solat di dalamnya dengan penuh rasa ketenangan. Amin.

 

Wallahua’lam