اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-406: TEMPAT YANG PALING DISUKAI DAN DIBENCI OLEH ALLAH

 

ih406_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah benar pasar merupakan tempat yang dibenci oleh Allah SWT?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Di dalam al-Qur’an diceritakan bahawa dunia adalah tempat persinggahan bagi manusia dan ia merupakan tempat untuk mengumpulkan amalan-amalan untuk dibawa ke akhirat iaitu tempat yang kekal. Berdasarkan firman Allah SWT:

 

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

al-Syura: 20

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

 

Justeru, kita sebagai seorang yang beriman kepada Allah perlu memanfaatkan masa yang ada dengan memperbanyakkan amal soleh supaya ia tidak dihabiskan pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjawab persoalan di atas dengan mendatangkan terlebih dahulu nas atau hadith yang berkaitan:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَحَبُّ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ مَسَاجِدُهَا، وَأَبْغَضُ الْبِلَادِ إِلَى اللهِ أَسْوَاقُهَا

Maksudnya: “Tempat paling disukai oleh Allah adalah masjid-masjidnya dan tempat yang paling dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya.” [Riwayat Muslim (671)]

 

Imam al-Nawawi di dalam kitabnya ketika mensyarahkan hadith ini berkata, masjid-masjid merupakan tempat yang paling disukai oleh Allah SWT adalah disebabkan ia merupakan tempat yang dilakukan ketaatan serta ia diasaskan di atas ketaqwaan. Adapun berkaitan tempat yang dibenci oleh Allah adalah pasar-pasarnya disebabkan ia merupakan tempat penipuan, tipu daya, riba, sumpah yang dusta, pemungkiran janji, menjauhkan daripada mengingati Allah dan sebagainya. Makna suka dan benci Allah adalah Allah menghendaki akan kebaikan dan juga keburukan. Selain itu, dengan perbuatan-Nya itu akan menyebabkan seseorang itu gembira atau berduka. Tambahan pula, masjid-masjid merupakan tempat turunnya rahmat dan pasar-pasar merupakan sebaliknya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 5/171] Hal ini juga disebutkan di dalam kitab Fath al-Mun’im. [3/397]

Imam al-Qurtubhi di dalam tafsirnya pula menyatakan bahawa hadith ini di antara dalil menunjukkan kemakruhan memasuki pasar. Lebih-lebih lagi di zaman kita yang padanya terdapat percampuran di antara lelaki dan wanita. Kata para ulama, apabila banyaknya kebathilan serta terzahirnya kemungkaran di pasar, maka hukum memasukinya adalah makruh dengan tujuan untuk mendapatkan kebaikan serta mengikut jejak langkah mereka pada urusan agama bagi bagi menyucikan daripada berada pada tempat yang banyak berlakunya maksiat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 13/16]

Tambahan pula, Imam Ibn Batthal ada berkata, masjid merupakan tempat yang disebutkan nama Allah. Manakala, pasar pula adalah tempat yang bising dan lalai serta tempat manusia sibuk mengumpul duit. Di samping itu, sekiranya seseorang itu mengingati Allah di pasar maka ia termasuk di antara amalan yang terbaik. [Lihat: Syarah Sahih al-Bukhari, 6/249]

Melihat kepada beberapa pandangan para ulama di atas, maka hukum memasuki pasar adalah makruh kerana ia merupakan tempat yang boleh menyebabkan manusia jauh atau berpaling daripada mengingati Allah SWT. Imam al-Mawardi dan selain daripadanya mencela perbuatan orang yang sentiasa melazimi pasar dan banyak menghabiskan masanya dengan menyibukkan dirinya sehingga mengabaikan ibadah kepada Allah SWT. [Lihat: al-Majmu’, 9/154]

 

Penutup

Kesimpulannya, hadith yang membicarakan berkaitan pasar merupakan tempat yang paling dibenci oleh Allah SWT adalah hadith yang sahih. Selain itu, hukum asal memasuki pasar adalah makruh di sisi para ulama melainkan bagi orang yang berhajat padanya. Akan tetapi, perlu diingat agar menjaga adab-adab serta tidak menghabiskan banyak masa pada perkara-perkara yang tidak berfaedah sehingga terabainya kewajipan atau tanggungjawab kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita serta menerima segala amalan kita yang kita lakukan. Amin.

 

Wallahua’lam