Soalan: Adakah terdapat hadith daripada Nabi SAW berkaitan mengucapkan“Ucapan aku tidak tahu separuh daripada ilmu” apabila ditanya sesuatu yang tidak tahu?
لَا أَدْرِي نِصْفُ الْعِلْمِ
Maksudnya: “Ucapan aku tidak tahu separuh daripada ilmu.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, ucapan tersebut bukanlah daripada hadith Nabi SAW. Namun, ia merupakan ucapan salah seorang daripada sahabat Nabi SAW iaitu Abu al-Darda’ RA sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Abd al-Bar. [Lihat: al-Intiqa’ fi Fadhail al-Thalathah, 38]
Di dalam Sunan al-Darimi ada diriwayatkan bahawa ucapan tersebut disandarkan kepada al-Sya’bi iaitu salah seorang tokoh tabi’in dengan sanad yang sahih. Telah dikhabarkan kepada kami Yahya bin Hammad, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Awanah, daripada Mughirah, daripada al-Sya’bi berkata:
لَا أَدْرِي نِصْفُ الْعِلْمِ
Maksudnya: “Ucapan aku tidak tahu separuh daripada ilmu.” [Riwayat al-Darimi (186), 1/276]
Agama kita amat menekankan sifat amanah khususnya dalam menyampaikan ilmu agama. Justeru, sifat amanah merupakan salah satu sifat yang wajib bagi nabi atau rasul. Ini menunjukkan kepada kita bahawa tugas menyampaikan ilmu bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia merupakan tugas para nabi dan juga para rasul. Seseorang itu perlu amanah dalam menyampaikan ilmu agama khususnya dan dia hanya dibenarkan untuk menyampaikan ilmu mengikut kadar kemampuannya sahaja. Adapun, sekiranya terdapat persoalan yang tidak diketahui jawapannya, maka dia perlu jujur dan tidak menjawabnya tanpa didasari dengan ilmu. Ini kerana, terdapat hadith yang menceritakan kesan mengeluarkan sesuatu jawapan atau pandangan yang mana ia tidak didasari dengan ilmu iaitu:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ أُفْتِيَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ إِثْمُهُ عَلَى مَنْ أَفْتَاهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang diberi fatwa tanpa ilmu, maka dosanya akan ditanggung oleh orang yang memberi fatwa.” [Riwayat Abu Daud (3657)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan dan sanad hadith ini kesemua perawinya adalah thiqah]
Di dalam ‘Aun al-Ma’bud dinyatakan bahawa kesilapan di dalam berfatwa (yang menyebabkan berdosa) di dalam hadith ini bermaksud kesilapan yang berlaku bukan pada masalah ijtihad. [Lihat: ‘Aun al-Ma’bud, 10/65] Ini kerana, tersilap di dalam ijtihad akan menjadikan seorang yang mujtahid itu mendapat satu ganjaran berdasarkan kepada hadith Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah di dalam sunan mereka. Satu ganjaran tersebut adalah disebabkan usahanya dalam mengeluarkan hukum walaupun dia tersilap dalam masalah tersebut.
Ibn Hamdan berkata di dalam kitabnya, sesiapa yang memberikan fatwa dalam keadaan dia tidak memiliki ciri-ciri yang telah ditetapkan, tanpa terdapatnya sebarang darurat (untuk berfatwa), maka dia dikira sebagai pelaku maksiat dan berdosa. [Sifat al-Fatwa wa al-Mufti wa al-Mustafti, 59]
Antara contoh yang boleh dikongsi dalam permasalahan sebegini adalah kisah Imam Malik apabila ditanya kepadanya beberapa persoalan oleh murid-muridnya:
سُئِلَ عَنْ ثَمَانِيَةٍ وَأَرْبَعِينَ مَسْأَلَةً فَقَالَ فِي ثِنْتَيْنِ وَثَلَاثِينَ مِنْهَا: لَا أَدْرِي
Maksudnya: “Ditanya (Imam Malik) 48 persoalan, maka jawab Imam Malik 32 daripadanya dengan aku tidak tahu.” [Lihat: Syarah al-Zurqani ‘ala al-Muwatta’, 1/54]
Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa seorang Imam yang hebat di zamannya sehingga Imam Malik digelar sebagai Imam Dar al-Hijrah tidak malu untuk mengatakan beliau tidak tahu dalam sesuatu permasalahan. Suasana pada hari ini cukup berbeza apabila kebanyakan para penceramah tanpa segan dan malu menjawab setiap persoalan yang diajukan tanpa didasari dengan ilmu. Kesan daripada sikap sebegini, masyarakat akan menjadi huru-hara dan akan timbul banyaknya fitnah-fitnah.
Penutup
Kesimpulannya, ucapan tersebut bukanlah daripada Nabi SAW tetapi ia diucapkan oleh generasi selepas daripada Nabi SAW sama ada daripada kalangan sahabat atau tabi’in. Tambahan pula, setiap orang yang ingin menyampaikan ilmu perlulah mempersiapkan diri mereka terlebih dahulu dengan ilmu pengetahuan yang cukup. Di samping itu, mereka juga perlu mempunyai sifat amanah dan tidak malu untuk mengucapkan tidak tahu pada perkara yang tidak tahu atau tidak pasti. Ini adalah sikap terpuji yang ditunjukkan oleh para al-Salaf al-Soleh pada kurun-kurun yang awal sepertimana yang dilakukan oleh Imam Malik bin Anas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kefahaman di dalam agama ini untuk kita sampaikan serta menyebarkan agama yang suci ini kepada sekalian alam. Amin.
Wallahua’lam