اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-411: HADITH CINTAKAN NEGARA

 

 

ih411_15291523.png

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Cintakan negara (tanah air) sebahagian daripada tanda keimanan.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Sifat cintakan tanah air merupakan salah sifat yang terpuji dan amat dituntut. Akan tetapi, agama melarang sifat ta’assub (fanatik) terhadap sesuatu bangsa atau kaum kerana agama ini bersifat rahmat kepada seluruh alam. Bersempena dengan kehadiran bulan kemerdekaan negara kali yang ke-62, maka kebanyakan manusia akan mula mencari kelebihan atau fadhilat cinta kepada negara dan sebagainya. Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadith cintakan negara daripada iman.

Berdasarkan hadith di atas, sebelum kami nyatakan pandangan kami berkaitan status hadith di atas, suka bagi kami untuk menukilkan beberapa pandangan para ulama berkaitan hadith ini:

  • Imam al-Saghani (650 H) menilai hadith ini palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 1/53]
  • Imam al-Fattani (986 H) menilai hadith ini palsu. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 1/11]
  • Imam Mulla Ali al-Qari (1014 H) menilai hadith ini tiada asal baginya. [Lihat: al-Masnu’fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’, 1/91]
  • Imam al-Qawqaji (1305 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 1/72]

 

Menurut Imam al-‘Amiriy (1143 H) di dalam kitabnya, ucapan tersebut bukanlah daripada hadith Nabi SAW. Akan tetapi, ia diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada al-Dhahhak berkata:

Apabila dia (Rasulullah SAW) keluar dari Makkah dan sampai ke al-Juhfah, dia merasa rindu kepada Makkah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat:

 

إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ

al-Qasas: 85

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan kamu lagi kepada apa yang kamu ingini dan cintai.”

 

Tempat yang diingini dan dicintai itu adalah Makkah. Telah berkata al-Asma’iy: Aku telah mendengar seorang a’rabiy (orang asing) berkata: Sekiranya kamu ingin tahu akan keadaan seseorang itu, maka lihatlah bagaimana dia cintakan negaranya, rindukan ahli keluarganya dan tangisannya di atas masanya yang telah lalu. [Lihat: al-Jadd al-Hathith fi Bayan ma Laisa bi Hadith, 1/85]

 

Melihat kepada pandangan beberapa ulama hadith di atas, maka kami berpendapat bahawa hadith di atas adalah tidak sahih atau palsu. Justeru , kita tidak boleh untuk meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.

 

Penutup

Kesimpulannya, berbalik kepada persoalan di atas, hadith di bawah ini iaitu hadith berkaitan sifat cintakan negara termasuk di dalam sebahagian tanda keimanan adalah hadith yang tidak sahih daripada Nabi SAW. Akan tetapi, tidak salah seseorang itu untuk mencintai negaranya atau tempat lahirnya kerana ia termasuk di dalam fitrah manusia sehinggakan Nabi SAW juga mencintai tempat lahir Baginda SAW iaitu Makkah berdasarkan kepada sebuah hadith:

 

  • Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW berkata pada Makkah:

 

مَا أَطْيَبَكِ مِنْ بَلَدٍ، وَأَحَبَّكِ إِلَيَّ، وَلَوْلَا أَنَّ قَوْمِي أَخْرَجُونِي مِنْكِ مَا سَكَنْتُ غَيْرَكِ

Maksudnya: “Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” [Riwayat al-Tirmizi (3926)][Hadith ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta kefahaman di dalam agama yang suci ini. Amin.

 

Wallahua’lam