اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-421: KISAH ABU UBAIDAH RA MEMBUNUH AYAHNYA

 

 

ih421_15291523.png

 

Soalan: Apakah benar dakwaan yang menyatakan bahawa Abu Ubaidah RA telah membunuh ayahnya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan ayat ke-22 daripada surah al-Mujadalah dengan sebab turun ayat ini adalah berdasarkan kepada peristiwa pembunuhan bapa kepada Abu Ubaidah RA. Antara yang menyatakan sedemikian ialah Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya apabila beliau menukilkan pandangan daripada Said bin Abd al-Aziz iaitu:

 

وَقَدْ قَالَ سَعِيدُ بْنُ عَبْدِ الْعَزِيزِ وَغَيْرُهُ: أُنْزِلَتْ هَذِهِ الْآيَةَ {لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ} إِلَى آخِرِهَا فِي أَبِي عُبَيْدَةَ عَامِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ الْجَرَّاحِ، حِينَ قَتَلَ أَبَاهُ يَوْمَ بَدْرٍ

Maksudnya: “Telah berkata Said bin Abd al-Aziz dan selain daripadanya bahawa ayat ini {لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ} [المجادلة: 22] sehingga ke akhirnya diturunkan pada Abu Ubaidah ‘Amir bin Abd Allah bin al-Jarrah ketika beliau membunuh ayahnya di dalam peperangan Badar.” [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 8/54]

 

Berdasarkan soalan di atas, riwayat atau kisah ini ada diriwayatkan oleh Imam al-Hakim, al-Baihaqi dan juga Imam al-Thabarani. Adapun Imam al-Thabarani meriwayatkan kisah ini di dalam kitabnya pada bab pembunuhan Abu Ubaidah akan ayahnya dalam peperangan Badar.

  • Daripada Abdullah bin Syauzab berkata:

جَعَلَ أَبُو أَبِي عُبَيْدَةَ يَتَصَدَّى لِأَبِي عُبَيْدَةَ يَوْمَ بَدْرٍ، فَجَعَلَ أَبُو عُبَيْدَةَ يَحِيدُ عَنْهُ، فَلَمَّا أَكْثَرَ، قَصَدَهُ أَبُو عُبَيْدَةَ فَقَتَلَهُ، فَأَنْزَلَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ فِيهِ هَذِهِ الْآيَةَ حِينَ قَتَلَ أَبَاهُ: {لَا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ} [المجادلة: 22] إِلَى آخِرِ الْآيَةِ

Maksudnya: “Ayah kepada Abu Ubaidah sentiasa mengejar anaknya dalam peperangan Badar, namun Abu Ubaidah berusaha untuk mengelaknya. Ketika ayahnya terus mengejarnya, Abu Ubaidah pun menghadapinya lalu berjaya membunuhnya. Maka Allah SWT menurunkan ayat ini sehingga ke akhirnya ketika Abu Ubaidah membunuh ayahnya:

 

  • Firman Allah SWT:

لَّا تَجِدُ قَوْمًا يُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ يُوَادُّونَ مَنْ حَادَّ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ وَلَوْ كَانُوا آبَاءَهُمْ أَوْ أَبْنَاءَهُمْ أَوْ إِخْوَانَهُمْ أَوْ عَشِيرَتَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ الْإِيمَانَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٍ مِّنْهُ ۖ وَيُدْخِلُهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ۚ رَضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ أُولَـٰئِكَ حِزْبُ اللَّـهِ ۚ أَلَا إِنَّ حِزْبَ اللَّـهِ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٢٢﴾

al-Mujadalah: 22

Maksudnya: “Kamu tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya. Sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya dan Dia akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya.” [Riwayat al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (360)]

 

  • Imam al-Baihaqi (458 H) menilai sanad hadith ini terputus di dalam kitabnya selepas meriwayatkan kisah ini. [Lihat: al-Sunan al-Kubra, 9/46]
  • Imam al-Zahabi (748 H) tidak memberi apa-apa komentar (tidak memberi komentar pada riwayat ini bukan bermaksud al-Zahabi bersetuju dengan riwayat ini yang dinilai sahih al-hakim) pada riwayat ini di dalam al-Mustadrak. [Lihat: al-Mustadrak, 3/296]
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) menilai riwayat ini sebagai mu’dhal (terdapat keguguran di dalam sanad dua orang perawi atau lebih secara berturut-turut samada keguguran itu pada awal atau akhir sanad) dan al-Waqidi mengingkarinya dengan menyatakan bahawa ayah kepada Abu Ubaidah RA telah wafat sebelum Islam. [Lihat: al-Talkhis al-Habir, 4/273]

Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami katakan bahawa riwayat ini adalah dhaif disebabkan terdapat keguguran pada sanad riwayat ini. Tambahan pula, Imam Ibn Hajar menggunakan sighah tamridh ketika menukilkan kisah atau riwayat ini bahawa Abu Ubaidah RA telah membunuh ayahnya. Hal ini disebutkan oleh beliau (Ibn Hajar al-Asqalani) di dalam kitabnya Fath al-Bari dengan berkata:

 

وَقُتِلَ أَبُوهُ كَافِرًا يَوْمَ بَدْرٍ وَيُقَالُ إِنَّهُ هُوَ الَّذِي قَتَلَهُ وَرَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ وَغَيْرُهُ مِنْ طَرِيقِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَوْذَبَ مُرْسَلًا

Maksudnya: “Dibunuh ayahnya (ayah kepada Abu Ubaidah) yang kafir pada peperangan Badar dan dikatakan yang membunuhnya ialah anaknya (Abu Ubaidah). Hal ini diriwayatkan oleh al-Thabarani dan selain daripadanya melalui jalur Abdullah bin Syauzab secara mursal (tidak terdapat sahabat di dalam sanad tersebut). [Lihat: Fath al-Bari, 7/93]

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat beberapa riwayat yang menyatakan bahawa di antara sebab nuzul (sebab turunnya ayat ini) ayat ke-22 di dalam surah al-Mujadalah adalah berdasarkan peristiwa pembunuhan bapa kepada Abu Ubaidah al-Jarrah dalam peperangan Badar. Akan tetapi, riwayat ini dhaif disebabkan terdapat keguguran pada sanad tersebut sebagaimana yang dinilai oleh para ulama. Tambahan pula, tidak menjadi masalah untuk ketika meriwayatkan kisah ini ketika menafsirkan ayat ke-22 di dalam surah al-Mujadalah kerana kisah ini bukanlah berkait dengan isu aqidah atau syariah tetapi ia lebih kepada sejarah. Ini kerana, ramai daripada kalangan ahli tafsir yang menafsirkan ayat tersebut dengan kisah ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam menuntut ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama. Amin.

 

Wallahua’lam