Soalan: Apakah status hadith ini?
- Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ
Maksudnya: “Allah merahmati seseorang yang mengetahui kemampuan dirinya.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, kami tidak menemuinya di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar melainkan ia disandarkan kepada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi. Kata Imam al-Qurthubi di dalam tafsirnya:
وَبَلَغَ عُمَرَ بْنَ عَبْدِ الْعَزِيزِ أَنَّ ابْنَهُ اشْتَرَى خَاتَمًا بِأَلْفِ دِرْهَمٍ فَكَتَبَ إِلَيْهِ: إِنَّهُ بَلَغَنِي أَنَّكَ اشْتَرَيْتَ خَاتَمًا بِأَلْفِ دِرْهَمٍ، فَبِعْهُ وَأَطْعِمْ مِنْهُ أَلْفَ جَائِعٍ، وَاشْتَرِ خَاتَمًا مِنْ حَدِيدٍ بِدِرْهَمٍ، وَاكْتُبْ عَلَيْهِ رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْرَ نَفْسِهِ
Maksudnya: “Telah sampai kepada Umar bin Abd al-Aziz bahawa anaknya telah membeli cincin berharga seribu dirham, lalu beliau menulis kepada anaknya: Telah sampai kepadaku satu berita bahawa kamu telah membeli cincin dengan harga seribu dirham. Juallah cincin tersebut dan berilah makan kepada seribu orang yang kelaparan. Kemudian belilah cincin daripada besi dengan harga sedirham dan tulislah di atasnya “Allah merahmati seseorang yang mengetahui kemampuan dirinya.”” [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 10/89]
Selain itu, Imam al-Munawi juga ada menukilkan kisah yang berlaku di antara Khalifah Umar bin Abd al-Aziz dan anaknya di dalam kitabnya. [Lihat: Faidh al-Qadir, 4/29] Melihat kepada dua kenyataan di atas, maka jelaslah ia bukan daripada ucapan Nabi SAW tetapi ia merupakan ucapan daripada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz.
Walaupun hadith atau riwayat ini tidak thabit daripada Nabi SAW, tetapi maknanya sahih kerana seseorang itu apabila mengetahui kadar kemampuan dirinya, maka dia akan lebih tunduk kepada Allah SWT dengan melaksanakan amal ibadah serta mengharapkan daripada Allah agar dia tidak disia-siakan walaupun sesaat. Tambahan pula, jika seseorang itu mengetahui kadar kemampuan dirinya apabila berhadapan dengan manusia, maka ia akan menyelamatkannya daripada bersikap sombong, angkuh, takabbur dan sebagainya. Hal ini biasanya berlaku kepada para penuntut ilmu apabila mereka diberikan sedikit ilmu pengetahuan, mereka mula merasakan bahawa hanya mereka sahajalah yang memahami dan mengetahui perkara tersebut. Hakikatnya, ini merupakan ujian daripada Allah SWT kepada para penuntut ilmu agar sentiasa menjaga hati dan sedar bahawa apa yang diberikan oleh Allah SWT hanya sedikit jika dibandingkan dengan ilmu Allah SWT sebagaiman yang terkandung di dalam al-Quran:
- Firman Allah SWT:
وَمَا أُوتِيتُم مِّنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلً
al-Isra’: 85
Maksudnya: “Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.”
Penutup
Kesimpulannya, riwayat atau hadith di atas tidak diketahui akan asalnya di dalam kitab-kitab hadith yang muktabar melainkan ia disandarkan kepada Khalifah Umar bin Abd al-Aziz. Akhirnya, semoga Allah SWT menjaga hati kita dan seterusnya menjadikan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh serta terselamat daripada sifat-sifat yang keji. Amin.
Wallahua’lam