اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 442 : SESIAPA YANG BERNAMA AHMAD, DIA AKAN MASUK SYURGA TANPA HISAB

IH 442 compressed

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Saya ada satu persoalan. Apakah status hadis ‘sesiapa yang Namanya bermula dengan nama Ahmad, maka dia akan masuk syurga tanpa hisab’. Saya ada terdengar hadis ini ketika mendengar ceramah ustaz di taman perumahan saya. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kami sekali lagi menegaskan bahawa wajib bagi setiap muslim untuk memastikan setiap perkara yang disandarkan kepada Nabi SAW. Ini kerana menipu menggunakan nama Nabi SAW adalah satu jenayah berat. Nabi SAW bersabda :

مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيَّ كَذِبًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya : “ Sesiapa yang sengaja menipu menggunakan namaku, maka tersedialah tempat duduknya di neraka.”

Riwayat Al-Bukhari (108)

Kami telah mengulas berkenaan bahaya hadith palsu di dalam Irsyad Al-Hadith siri ke 249.[1] Di dalam artikel tersebut kami telah membincangkan secara terperinci berkenaan hadis palsu dan tanggungjawab kita dalam menangani hadis palsu.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, setelah kami meneliti kitab-kitab hadis yang muktabar kami tidak dapati adanya sandaran terhadap hadis tersebut. Kami mendapati bahawa hadis yang disebutkan tiada asalnya. Akan tetapi, ada sebuah hadis qudsi yang hampir sama maknanya. Hadis tersebut menyatakan :

إِنِّي آلَيْتُ عَلَى نَفْسِي لَا يَدْخُلُ النَّارَ مَنِ اسْمُهُ أَحْمَدُ ، وَلَا مُحَمَّدٌ

Maksudnya : “ Sesungguhnya Aku (Allah) bersumpah atas diri-Ku bahawa tidak akan masuk neraka sesiapa yang Namanya Ahmad mahupun Muhammad.”

Hadis ini dinukilkan oleh Al-Zahabi di dalam Tartib Al-Maudhu’at. Beliau menyebut bahawa hadis ini adalah hadis yang palsu kerana sanadnya ada perawi-perawi yang majhul atau istilah disebut سنده مظلم. Di dalam sanad ini juga adanya seorang perawi yang bernama Humaid Al-Tawil. Beliau ini adalah seorang pendusta. (Rujuk Tartib Al-Maudhu’at, hlm 33).

Dari sudut riwayat, hadis yang disebutkan adalah hadis yang palsu. Ini kerana lafaz hadis tersebut tidak kami dapati di dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Bahkan tidak pernah diriwayatkan oleh mana-mana muhaddithin yang muktabar.

Dari sudut dirayah pula, seseorang masuk ke syurga bukan semata-mata dengan nama dan keturunannya akan tetapi dengan amal perbuatan baik yang dilakukan ketika di dunia. Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

وَمَنْ أَبْطَأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya : “ Sesiapa yang amalannya melambatkannya (untuk masuk ke dalam syurga), maka nasab keturunannya tidak akan boleh untuk menyegerakannya (masuk ke dalam syurga).”

Riwayat Al-Tirmizi (2945), Abu Daud (3158) & Ibnu Majah (221)

Sheikh Maulana Muhammad Syamsul Haq Al-‘Azim Abadi menyebut bahawa hadis ini membawa maksud sesiapa yang cuai dalam beramal dan selalu melakukan perbuatan yang jahat sehingga menyebabkannya lambat masuk ke syurga, maka pada ketika itu nasab keturunannya tidak akan memberi manfaat kepadanya. (Rujuk ‘Aun Al-Ma’bud Fi Syarh Sunan Abi Daud, 4/4).

Ya, memang betul seseorang akan masuk ke dalam syurga dengan rahmat Allah berdasarkan kepada sebuah hadis. Nabi SAW bersabda :

لَنْ يُنْجِيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالَ رَجُلٌ : وَلَا إِيَّاكَ ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : وَلَا إِيَّايَ ، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ

Maksudnya : “ Amalan salah seorang dari kamu tidak akan menyelamatkannya. Seorang lelaki berkata : Walaupun engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW : Walaupun aku akan tetapi Allah saluti aku dengan Rahmatnya.”

Riwayat Muslim (5165)

Namun itu bukan alasan untuk tidak melakukan amalan soleh dan menuruti segala perintah Allah. Untuk mendapatkan rahmat Allah perlu untuk menjalankan apa yang telah diperintahkan dan memperbanyakkan amal kebaikan. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT :

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّـهِ أُو۟لَـٰٓئِكَ يَرْجُونَ رَحْمَتَ ٱللَّـهِ ۚ وَٱللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Baqarah : 218)

Ayat ini menyifatkan orang yang berhijrah dan berjihad di jalan-Nya adalah orang yang mengharapkan rahmat Allah SWT. Kedua-dua perkara tersebut adalah amal kebaikan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ini menunjukkan adanya kaitan di antara amal dengan rahmat Allah SWT. Untuk menarik rahmat Allah maka perlu untuk digiatkan amal kebaikan.

Kalaupun seseorang mempunyai nama sama dengan nama Nabi SAW sama ada Muhammad atau Ahmad akan tetapi tidak beramal dan tidak mengikuti sunnah Nabi SAW, maka namanya itu tidak memberi apa-apa jaminan untuk masuk ke dalam syurga. Yang paling penting adalah mengikut dan mengamalkan segala sunnah Nabi SAW. Firman Allah SWT :

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ ٱللَّـهَ فَٱتَّبِعُونِى يُحْبِبْكُمُ ٱللَّـهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَٱللَّـهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Ali Imran : 31)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa ayat ini membawa maksud jika ada yang mendakwan bahawa dia mencintai Allah maka ikutlah Nabi SAW dalam segenap sudut. Ikutlah wahyu yang telah diturunkan kepada Baginda. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 3/140).

Nabi SAW pernah menyebutkan ciri-ciri individu yang akan masuk ke dalam syurga tanpa hisab. Di antara hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A. Nabi SAW bersabda dikatakan kepada Baginda :

هَذِهِ أُمَّتُكَ وَيَدْخُلُ الْجَنَّةَ مِنْ هَؤُلَاءِ سَبْعُونَ أَلْفًا بِغَيْرِ حِسَابٍ ثُمَّ دَخَلَ وَلَمْ يُبَيِّنْ لَهُمْ فَأَفَاضَ الْقَوْمُ وَقَالُوا نَحْنُ الَّذِينَ آمَنَّا بِاللهِ وَاتَّبَعْنَا رَسُولَهُ فَنَحْنُ هُمْ أَوْ أَوْلَادُنَا الَّذِينَ وُلِدُوا فِي الْإِسْلَامِ فَإِنَّا وُلِدْنَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَبَلَغَ النَّبِيَّ فَخَرَجَ فَقَالَ هُمُ الَّذِينَ لَا يَسْتَرْقُونَ وَلَا يَتَطَيَّرُونَ وَلَا يَكْتَوُونَ وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Maksudnya : “ Ini adalah umat engkau dan ada di kalangan umat engkau akan masuk syurga tanpa hisab yang mana jumlahnya hanya 70,000. Kemudian Nabi SAW masuk ke rumah Baginda tanpa menjelaskan kepada para sahabat (tentang sifat atau ciri orang yang akan masuk syurga tanpa hisab). Maka mulalah orang ramai berkumpul. Mereka berkata : Kami adalah kaum yang beriman dengan Allah dan mengikut utusan-Nya. Maka kami ada golongan yang akan masuk syurga tanpa hisab atau golongan tersebut adalah dari kalangan anak kami yang lahir dalam keluarga Islam walaupun kami lahir di zaman Jahiliyyah. Perkara ini sampai kepada Nabi lalu Baginda keluar dari rumahnya dan bersabda : Orang yang akan masuk syurga tanpa hisab adalah mereka yang tidak meminta jampi, tidak menilik nasib, tidak mencederakan dirinya dan sentiasa bertawakal kepada Tuhan.”

            Riwayat Al-Bukhari (6472)

Bahkan di sana terdapat banyak lagi sifat individu yang akan masuk syurga tanpa hisab yang disebutkan oleh Nabi SAW.

Kesimpulannya, kami cenderung menyatakan bahawa hadis yang disebutkan adalah hadis yang palsu kerana kami tidak menjumpai hadis tersebut di dalam mana-mana kitab yang muktabar. Kepada para asatizah, berhati-hati dalam menyebut sesuatu terutamanya apabila melibatkan hadis Nabi SAW. Tahkiklah terlebih dahulu hadis-hadis yang ingin disebarkan kepada masyarakat dan jangan bermudah-mudah menisbahkan satu perkataan kepada Nabi SAW tanpa diteliti terlebih dahulu.

Semoga kita sentiasa menuruti sunnah Nabi SAW di dalam kehidupan seharian. Wallahu’alam.

[1] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2307-irsyad-al-hadith-siri-ke-249-hadith-mawdhu-palsu