Soalan: Apakah status hadith ini?
Nabi SAW bersabda:
الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Rasulullah SAW merupakan insan yang terpuji Berselawat ke atas Nabi SAW merupakan satu tuntutan di dalam agama yang mana dalilnya bersumberkan dari al-Quran dan juga sunnah.
- Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
al-Ahzab: 56
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya sentiasa berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman! berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Berdasarkan soalan di atas, terlebih dahulu suka bagi kami untuk menyatakan sumber hadith ini sebelum kami datangkan pandangan para ulama dalam menilai hadith ini:
Hadith ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW seperti Ali bin Abi Talib, al-Husain bin Ali dan Abu Hurairah R.anhum. Tambahan pula, riwayat atau hadith ini ada dinukilkan atau diriwayatkan oleh Imam al-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir (2885). Selain itu, Imam al-Tirmizi turut meriwayatkan hadith yang sama di dalam al-Jami’atau sunannya (3546). Di samping itu juga, Imam Ahmad dan juga Imam al-Tirmizi ada meriwayatkan hadith atau riwayat seperti ini tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza iaitu:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ
Maksudnya: “Amat rugilah seseorang itu apabila disebutkan namaku tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” [Riwayat Ahmad (7451) dan al-Tirmizi (3545)]
Adapun berkaitan status hadith atau riwayat di atas, di sini kami nukilkan beberapa pandangan para ulama dalam menilai riwayat ini:
- Imam al-Tirmizi (279 H) menilai hadith ini adalah hadith hasan sahih gharib. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. Hadith: 3546]
- Imam Ibn Hibban (354 H) menghukum hadith ini sebagai sahih di dalam sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 3/189]
- Imam al-Hakim (405 H) mengatakan sanad hadith ini adalah sahih tetapi ia tidak diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim,. [Lihat: al-Mustadrak, 1/734]
- Imam Ibn Hajar al-Asqalani (852 H) mengatakan hadith ini tidak kurang daripada darjat hasan. [Lihat: Fath al-Bari, 11/168]
- Imam al-Zurqani (1122 H) menghukum hadith ini sebagai sahih. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 266]
- Imam al-Syaukani (1250 H) menilai hadith ini sebagai masyhur. [Lihat: Nail al-Awthar, 8/278]
Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada pandangan yang mengatakan bahawa hadith di atas adalah sahih. Adapun maksud hadith di atas sebagaimana yang disebutkan oleh al-Munawi bahawa orang yang tidak berselawat ke atas Nabi SAW apabila mendengar nama Nabi SAW adalah orang yang bakhil terhadap dirinya sendiri kerana telah terhalang ke atasnya selawat Allah sebanyak 10 kali kepadanya apabila dia berselawat sekali ke atas Nabi SAW.
Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/373]
Tambahan pula, disifatkan dengan bakhil adalah disebabkan apabila seseorang itu malas menjalankan ketaatan kepada Allah SWT (seperti berselawat). [Lihat: al-Qaul al-Badi’, 321]
Penutup
Kesimpulannya, hadith berkaitan malas berselawat tanda kebakhilan adalah hadith yang sahih sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Di samping itu, di sana terdapat banyak lagi hadith-hadith yang sahih dalam menyatakan kelebihan bagi orang yang sentiasa melazimi selawat ke atas Nabi SAW. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang mencintai Nabi SAW agar kita dapat bersama dengan Baginda SAW di dalam syurga kelak. Amin.
Wallahua’lam