Soalan: Apakah status hadith dosa memakan riba lebih dahsyat daripada berzina sebanyak 36 kali?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Allah SWT mengharamkan riba ke atas hamba-hamba-Nya berdasarkan kepada nas yang jelas di dalam al-Quran. Ini kerana, riba termasuk di dalam dosa-dosa yang besar. Perkara ini thabit daripada al-Quran dan nas hadith Nabi SAW:
- Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
al-Baqarah: 275
Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
Adapun di dalam hadith yang sahih pula daripada Imam al-Bukhari dan Muslim dalam menceritakan berkaitan beberapa dosa-dosa besar:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ
Maksudnya: “Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina”. [Riwayat al-Bukhari (2766) (6857) dan Muslim (145)]
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang menceritakan berkaitan dosa orang yang makan riba lebih dahsyat daripada berzina sepertimana diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam kitabnya:
- Daripada Anas bin Malik RA berkata bahawa telah berkhutbah Nabi SAW kepada kami dan Baginda SAW menceritakan berkaitan riba serta besarnya dosa orang yang memakan riba sambil bersabda:
إِنَّ الرَّجُلَ يُصِيبُ مِنَ الرِّبَا أَعْظَمَ عِنْدَ اللهِ فِي الْخَطِيئَةِ مِنْ سِتٍّ وَثَلَاثِينَ زَنْيَةً يَزْنِيهَا الرَّجُلُ
Maksudnya: “Sesungguhnya seorang lelaki yang memakan riba lebih besar di sisi Allah kesalahannya daripada 36 kali berzina yang dizinakan oleh lelaki tersebut.” [Lihat: Syu’ab al-Iman, 365/7]
Di samping itu juga, Imam Ahmad juga ada meriwayatkan hadith seperti ini di dalam musnadnya:
- Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
دِرْهَمٌ رِبًا يَأْكُلُهُ الرَّجُلُ وَهُوَ يَعْلَمُ، أَشَدُّ مِنْ سِتَّةٍ وَثَلَاثِينَ زَنْيَةً
Maksundya: “Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki yang mana dia mengetahuinya, lebih dahsyat kesalahannya daripada 36 kali berzina.” [Riwayat Ahmad (21957)]
Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan status hadith ini kerana padanya terdapat banyak jalur-jalur dan hadith ini juga termasuk di dalam kategori hadith-hadith yang masyhur dalam kalangan masyarakat. Di sini kami sertakan beberapa pandangan ulama dalam menentukan status hadith ini:
- Imam al-Baihaqi mengatakan di dalam sanad hadith ini berlaku tafarrud daripada Abu Muhajid Abdullah bin Kaisan al-Marwazi dan dia adalah seorang yang munkar hadith. [Lihat: Syu’ab al-Iman, 7/365]
- Imam Ibn al-Jauzi mengatakan pada hadith ini (pada jalurnya) tidak terdapat satu pun yang sahih. [Lihat: al-Mawdhu’at, 2/247]
- Syeikh al-Muhaqqiq Abd al-Rahman al-Mu’allimi al-Yamani berkata, apa yang terzahir kepadaku bahawa khabar ini tidak sahih daripada Nabi SAW sesuatu pun. [Lihat: Ta’liq al-Fawaid al-Majmu’ah, 150]
- Syeikh Syu’aib al-Arnaouth mengdhaifkan jalur-jalur yang ada pada hadith ini dan hadith ini tidak sahih secara marfu’ kepada Nabi SAW tetapi ia adalah daripada ucapan Ka’ab bin al-Ahbar. [Lihat: Musnad Ahmad, 36/288]
- Syeikh Abu Ishak al-Huwaini mengatakan hadith ini tidak mungkin sama sekali dinisbahkan kepada Nabi SAW sama dari sudut tashih atau tahsin. Akan tetapi, sebaik-baiknya dengan mengatakan ia adalah dhaif tetapi di sisiku ia adalah bathil dan matannya terdapat banyak percanggahan. [Lihat: Ghauth al-Makdud, 647]
Setelah melihat beberapa pandangan di atas, kami cenderung dengan mengatakan bahawa hadith ini adalah tidak thabit daripada Nabi SAW, bahkan ia adalah ucapan daripada ahli kitab seperti Ka’ab bin al-Ahbar sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Abi Syaibah di dalam musannafnya dan juga Imam Ahmad di dalam musnadnya:
- Daripada Ka’ab bin al-Ahbar berkata:
لَأَنْ أَزْنِيَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ زَنْيَةً أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ آكُلَ دِرْهَمَ رِبًا يَعْلَمُ اللهُ أَنِّي أَكَلْتُهُ حِينَ أَكَلْتُهُ رِبًا
Maksudnya: “Sekiranya aku berzina sebanyak 36 kali lebih aku suka daripada aku memakan satu dirham daripada riba yang diketahui oleh Allah bahawa aku memakannya ketika aku memakan riba.” [Riwayat Ibn Abi Syaibah (21997) dan Imam Ahmad (21959)]
Untuk itu, menyandarkannya kepada Nabi SAW adalah tidak dibenarkan kerana banyak ancaman bagi orang yang menyandarkan sesuatu yang tidak diperkatakan atau dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah api neraka di Akhirat kelak.
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan dosa memakan riba lebih dahsyat daripada berzina adalah tidak thabit (sahih) daripada Nabi SAW. Tambahan pula, memakan riba dan juga berzina keduanya adalah haram dan ia termasuk di dalam dosa-dosa besar berdasarkan nas yang jelas daripada al-Quran dan juga hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara diri kita daripada terjatuh daripada melakukan dosa-dosa besar serta menggolongkan kita dalam kalangan hamba-hmba-Nya berjaya di dunia dan Akhirat. Amin.
Wallahua’lam