اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-455: KEMATIAN ADALAH KIAMAT KECIL

 

 

 

ih455_15291523.png

 

Soalan: Benarkah kematian itu adalah kiamat kecil?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kematian merupakan satu kepastian bagi setiap insan yang bernyawa. Ini kerana, Allah SWT telah menyatakannya di dalam al-Quran secara jelas bahawa kematian itu akan datang kepada manusia dan ia tidak akan cepat atau lambat sesaat pun:

  • Firman Allah SWT:

 

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

al-A’raf: 34

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan). Maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka kemudiankan dan tidak pula dapat mereka dahulukan walau sesaat pun.”

 

Syeikh al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini mengatakan setiap umat daripada umat-umat yang ada dan begitu juga setiap generasi daripada generasi-generasi yang ada mempunyai ketetapan umar yang tertentu sebagaimana yang ada di dalam ilmu Allah SWT. Apabila ketetapan umur tersebut telah sampai ke penghujungnya, maka akan terputuslah kehidupannya dan dia akan mula berpisah dengan dunia tanpa cepat atau lambat walau sesaat pun. [Lihat: Tafsir al-Wasit, 5/267]

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat hadith yang mengisyaratkan atau menyifatkan kematian itu adalah kiamat sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim:

 

  • Daripada Aisyah R.anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كَانَ رِجَالٌ مِنَ الأَعْرَابِ جُفَاةً، يَأْتُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَسْأَلُونَهُ: مَتَى السَّاعَةُ؟ فَكَانَ يَنْظُرُ إِلَى أَصْغَرِهِمْ فَيَقُولُ: إِنْ يَعِشْ هَذَا لاَ يُدْرِكْهُ الهَرَمُ حَتَّى تَقُومَ عَلَيْكُمْ سَاعَتُكُمْ

Maksudnya: “Terdapat beberapa orang lelaki badwi yang berperwatakan keras datang kepada Nabi SAW lalu bertanya Baginda SAW: Bilakah berlakunya kiamat?. Nabi SAW melihat kepada yang paling muda daripada kalangan mereka sambil berkata: “Jika anak ini masih hidup dan dia belum lanjut usianya bahawa kamu menemui kematianmu.” [Riwayat al-Bukhari (6511) dan Muslim (2952)]

Tambahan pula, Syeikh Dr. Sulaiman al-Ashqar di dalam kitabnya ada menyebutkan ketika memberi definisi berkaitan kiamat kecil ini dengan kematian. Untuk itu, setiap yang meninggal, maka telah berlakulah kiamatnya.

Imam Ibn Kathir berkata yang dimaksudkan dengannya adalah berlalunya kurun mereka dengan memasuki alam akhirat. Untuk itu, barangsiapa yang meninggal, maka dia telah memasuki hukum akhirat. Sebahagian manusia berkata: Barangsiapa yang meninggal dunia maka telah berlaku kiamat kepadanya. [Lihat: al-Qiyamah al-Sughra, 11]

 

Penutup

Kesimpulannya, kita tidak mempunyai kuasa untuk menentukan tempat atau waktu kematian kerana ia merupakan hak Allah SWT. Kita hanya dituntut untuk sentiasa bersedia dengan memperbanyakkan amalan soleh di dunia ini supaya dengan amalan tersebut akan membawa kita ke dalam syurga Allah SWT. Semoga Allah SWT mengurniakan kita pengakhiran hidup yang baik. Amin.

 

Wallahua’lam