اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-464: MAKSUD DOA TOLAK WABA’ (SIRI 2)

 

ih464_15291523.png

 

Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?

 

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Doa merupakan satu bahagian daripada ibadah yang dituntut oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Maka dengan sebab itu, kita sebagai seorang hamba kepada Allah SWT dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan.

Sumber Dan Hukum Hadith

Berdasarkan soalan di atas, doa di atas ada diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya, maka dari sudut statusnya ia adalah hadith yang sahih. Tambahan pula, hadith tersebut turut diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dan Imam Ibn Majah, iaitu:

  • Daripada Khaulah binti Hakim al-Sulamiyyah R.anha, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ نَزَلَ مَنْزِلًا ثُمَّ قَالَ: أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ، لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ، حَتَّى يَرْتَحِلَ مِنْ مَنْزِلِهِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tiba di suatu tempat, lalu dia membaca: Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan. Maka dia tidak akan ditimpa mudharat sehinggalah dia keluar daripada tempat tersebut. ” [Riwayat Muslim (2708), Imam al-Tirmizi (3437) dan Imam Ibn Majah (3547)]

 

Makna Hadith Atau Doa

Menurut Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini, maksud kalimah-kalimah Allah ialah kalimah kesempurnaan yang mana padanya tidak terdapat kekurangan dan tidak juga keaiban. Dikatakan juga bahawa kalimah tersebut adalah kalimah yang bermanfaat serta kesembuhan atau dikatakan juga bahawa kalimah-kalimah tersebut adalah al-Quran. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 17/31]

 

Di dalam Syarah Hisn al-Muslim, dikatakan maksud kalimah Allah yang sempurna itu adalah nama-nama Allah yang mana tidak ada padanya kekurangan. [Lihat: Syarh Hisn al-Muslim, 154]

 

Hal ini juga disebutkan di dalam al-Quran, sebagaimana firman Allah SWT agar kita berdoa dengan menggunakan nama-nama-Nya:

 

وَلِلَّـهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا

al-A’raf: 180

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka doalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama tersebut.”

 

Penutup

Kesimpulannya, doa merupakan senjata buat orang-orang yang beriman. Justeru, kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa berada di dalam penjagaan Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada penyakit-penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik berlaku kepada kita. Amin.

 

Wallahua’lam