Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَسْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada kemungkaran akhlak, mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan penyakit yang berbahaya.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Doa merupakan satu ibadah yang dituntut ke atas setiap insan sama ada dalam keadaan senang atau susah. Ini kerana, doa akan menghubungkan secara terus di antara insan itu dengan Tuhannya. Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya, iaitu:
- Daripada Qutbah bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَسْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada kemungkaran akhlak (akhlak-akhlak yang keji), mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan penyakit yang berbahaya.” [Riwayat Ibn Hibban (960)]
Di dalam riwayat al-Hakim terdapat perbezaan sedikit iaitu pada kalimah “الْأَسْوَاءِ (keadaan yang buruk)” yang mana di dalam riwayat al-Hakim disebutkan “الْأَعْمَالِ (perbuatan yang buruk) dan bukannya keadaan yang buruk.” [Lihat: al-Mustadrak, 1/714] Adapun dari sudut status hadith ini, ia disahihkan oleh Imam Ibn Hibban dan juga Imam al-Hakim. Imam al-Hakim menyatakan hadith ini sanadnya sahih mengikut syarat Imam Muslim.
Hadith ini mendorong kita untuk menjauhkan diri daripada akhlak yang keji serta menyeru kita agar beraklak dengan akhlak yang terpuji di samping beramal soleh. Antara yang dimaksudkan dengan kemungkaran akhlak adalah seperti ‘ujub, takabbur, sombong, berbangga, hasad, mengangkat diri dan zalim. Adapun kemungkaran amalan pula adalah seperti zina, meminum arak dan perkara-perkara haram yang lain. Selain itu, kemungkaran hawa nafsu pula bermaksud pegangan (i’tiqad) yang salah, tujuan yang bathil (salah), pemikiran yang merosakkan serta adat yang megaibkan. [Lihat: Nuzhah al-Muttaqin, 2/242]
Tambahan pula, maksud “penyakit yang berbahaya” di dalam doa tersebut adalah seperti penyakit kusta, sopak, batuk kering, asites, penyakit rongga paru-paru atau seumpamanya yang mana kesemuanya adalah penyakit yang berbahaya. [Lihat: Faidh al-Qadir, 2/110] Untuk itu, lafaz hadith atau doa ini adalah besifat umum maka ia boleh dimaksudkan dengan apa jua penyakit yang berbahaya.
Nabi SAW selalu berdoa agar dipelihara oleh Allah SWT daripada penyakit-penyakit yang berbahaya ini seperti seperti penyakit kusta, sopak dan penyakit yang membinasakan seperti penyakit rongga paru-paru. Oleh sebab itu, Nabi SAW sentiasa berdoa agar dijauhi daripada seburuk-buruk penyakit. [Lihat: Subul al-Salam, 2/673]
Penutup
Kesimpulannya, doa merupakan satu juzuk daripada ibadah dan ia merupakan senjata buat orang yang beriman. Untuk itu, kita amat dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa dipelihara oleh Allah SWT dalam setiap masa dan keadaan. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada penyakit-penyakit atau perkara-perkara yang tidak baik lagi berbahaya berlaku kepada kita. Amin.
Wallahua’lam