Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah Imam Ahmad murid kepada Imam al-Syafie dan Imam al-Syafie banyak memujinya?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Imam Ahmad merupakan seorang faqih, muhaddis dan pengasas kepada Mazhab Hanbali. Nama penuhnya Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Hayyain bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Syaiban. Menurut riwayat yang masyhur, beliau dilahirkan di Kota Baghdad pada bulan Rabi’ul Awwal tahun 164 H. (Lihat Tabaqat al-Hanabilah, 1/4 dan Siyar A’lam al-Nubala, 11/179)
Beliau merupakan tokoh ulama hadis yang terkemuka sama ada pada zamannya atau selepasnya. Musnad Ahmad Ibn Hanbal merupakan kitabnya yang paling agung. Imam al-Zahabi menjelaskan berkenaan kitab al-Musnad sepertimana kenyataan Ibn al-Sammak: “Hanbal telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Ahmad bin Hanbal mengumpulkan kami, iaitu aku, Soleh dan Abdullah. Beliau membacakan kitab al-Musnad kepada kami dan tidak ada yang mendengarkannya selain kami. Beliau berkata, Kitab ini (al-Musnad), aku telah mengumpulkannya dan menyemaknya lebih dari 750,000 hadis Rasullah SAW yang terdapat perbezaan di kalangan umat Islam dalam menghukuminya, maka kamu kembalilah kepadanya jika kamu temukan di dalamnya. Jika tidak kamu temukan (jawapan atas suatu persoalan), maka hadis tersebut tidak dapat dijadikan hujah.”(Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 11/329)
Menjawab persoalan di atas, memang benar Imam Ahmad adalah murid kepada Imam al-Syafie ketika Imam al-Syafie menetap di Iraq. Beliau merupakan salah seorang yang mendokong pandangan Imam al-Syafie melalui kitab Imam al-Syafie, al-Hujjah. Mazhab al-Syafie ketika di Iraq dikenali sebagai qaul qadim atau lama.
Antara pujian Imam al-Syafie kepada Imam Ahmad adalah:
- Kata Imam al-Syafie:
أَحْمد إِمَام فِي ثَمَان خِصَال إِمَام فِي الحَدِيث إِمَام فِي الْفِقْه إِمَام فِي الْقُرْآن إِمَام فِي اللُّغَة إِمَام فِي السّنة إِمَام فِي الزّهْد إِمَام فِي الْوَرع إِمَام فِي الْفقر
Maksudnya: “Ahmad adalah Imam dalam lapan perkara: Beliau imam dalam hadis, fekah, al-Quran, lughah (bahasa arab), al-Sunnah, al-Zuhd, al-Warak, serta kefakiran.”[1]
- Kata Imam al-Syafie lagi:
خرجت من بَغْدَاد وَمَا خلفت بهَا أورع وَلَا أتقى وَلَا أفقه وَلَا أعلم من أَحْمد ابْن حَنْبَل
Maksudnya: “Aku keluar dari Baghdad, dan tidak aku tinggalkan padanya seorang pun yang lebih warak, paling bertakwa, paling faqih, dan paling berilmu daripada Ahmad bin Hanbal.”[2]
- Imam al-Syafie turut berkata kepada Ahmad:
أَنْتُم أعلم منا بِالْحَدِيثِ فَإِذا كَانَ الحَدِيث كوفيا أَو شاميا فأعلموني حَتَّى أذهب إِلَيْهِ
Maksudnya: “Kamu lebih ‘alim tentang hadis berbanding kami. Sekiranya hadis itu berada di Kufah atau Syam maka beritahulah kepada aku sehingga aku pergi menuju kepadanya.”[3]
- Kata beliau lagi:
كل مَا فِي كتبي حَدثنِي الثِّقَة فَهُوَ أَحْمد بن حَنْبَل
Maksudnya: “Kesemua yang terdapat di dalam kitab-kitabku: “Telah menceritakan kepadaku seorang yang tsiqah (dipercayai)” maka dia adalah Ahmad bin Hanbal.
Dan kesemua yang terdapat di dalam kitabku: “Dan ini adalah apa yang dithabitkannya” atau “ia tidak dithabitkan oleh ahli ilmu” maka maksudnya adalah Ahmad ibn Hanbal.”[4]
Semoga Allah merahmati kedua-dua tokoh imam ini serta memberikan kepada kita petunjuk dan hidayah untuk mengikut Nabi Muhammad SAW, para sahabat, solehin, siddiqin dan tokoh-tokoh ulama’ yang menjadi bintang kepada ummah. Amin.
Nota Hujung:
[1] Lihat Tabaqat al-Hanabilah (1/10), Muqaddimah al-Mughni (1/9) dan al-Maqsad al-Arsyad oleh Ibn Muflih (1/65).
[2] Lihat Tarikh Dimashq oleh Ibn Asakir (5/272), Tabaqat al-Hanabilah (1/40), Tarikh Baghdad (6/99) dan Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi (1/143).
[3] Lihat al-‘Ilal wa Ma’rifah al-Rijal (no. 1055), Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (99/170) dan al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (11/213).
[4] Lihat Hilyah al-Auliya’, Abu Nu’aim al-Asbahani (4/125) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimashq (5/297).