اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 469: MAKSUD ‘IFFAH ATAU 'AFAF DALAM DOA NABI SAW

MAKSUD_IFFAH_ATAU_AFAF.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa maksud 'iffah dalam hadis yang menyebut, Nabi SAW berdoa dengan memohon petunjuk, ketakwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan menyebut hadis yang dimaksudkan. Daripada Ibn Mas’ud R.A, Nabi SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.”

 

Takhrij Hadis

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad dalam al-Musnad (3950), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (198), al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Ausat (6/88) dan Ibn Hibban dalam Sahihnya (900)

Imam al-Tirmizi menyebut bahawa kedudukan hadis ini adalah hasan sahih. Syeikh Syu'aib al-Arnaut dalam takhrijnya ke atas al-Musnad menyatakan, sanad hadis ini adalah sahih berdasarkan syarat Imam Muslim.

 

Makna Sifat Iffah

Di dalam hadis di atas, antara yang dimohon oleh Nabi SAW adalah sifat ‘iffah. Ia bermaksud sifat menahan diri daripada perkara yang berbentuk kemaksiatan dan yang ditegah. Imam al-Nawawi menjelaskan: “’Afaf (الْعَفَافَ)  dan ‘iffah (العِفَّة) bermaksud menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak dibolehkan.” (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, 17/41) Hal ini juga sepertimana disebut oleh Ibn ‘Allan yang menyatakan, “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud terhindar dari segala maksiat dan keburukan.´(Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

Al-Qadhi ‘Iyadh pula menjelaskan: Al-‘afaf adalah menghindari dari perkara-perkara yang ditegah serta menahan diri darinya. (Lihat Ikmal al-Mu'lim bi Fawa'id Muslim, 8/224) Hal yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Jalal al-Din al-Suyuti. (Lihat al-Dibaj 'ala Sahih Muslim ibn al-Hajjaj, 6/70)

Antara maksud lain ‘iffah (العِفَّة) adalah dicukupkan rezeki serta terpeliharanya diri daripada perkara yang haram. Mulla ‘Ali al-Qari dalam syarahannya menjelaskan: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud al-kafaf (الكَفَاف) (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (العِفَّة)  (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al-Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf (الْعَفَافَ) bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 5/1721)

Manakala jika diteliti dalam susunan permintaan dalam doa tersebut, telah didahulukan dengan memohon petunjuk dan ketaqwaan, kemudian barulah sifat ‘iffah (العِفَّة). Mengenai hal ini, Ibn ‘Allan menjelaskan: “Al-Huda (petunjuk) didahulukan kerana ia adalah landasan, dan ketaqwaan dibangunkan di atasnya. Sedangkan digandingkannya al-‘afaf (الْعَفَافَ) kepada al-huda (الهُدَى), ini merupakan penggandingan sesuatu yang khusus kepada sesuatu yang umum, dalam rangka menegaskan hal yang khusus tersebut. Kerana nafsu memiliki kecenderungan untuk mengajak kepada lawan dari al-‘afaaf (iaitu maksiat dan keburukan). Maka seorang itu hendaklah memohon pertolongan Allah SWT untuk meninggalkannya.” (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

 

Kesimpulan

Al-Iffah (العِفَّة) sepertimana yang dinyatakan oleh ulama adalah bermaksud terpeliharanya diri daripada perkara-perkara maksiat dan yang ditegah, serta diberikan kesolehan hati dan jiwa.

Marilah sama-sama kita memohon pertolongan kepada Allah SWT agar diberikan sifat iffah. Kami tutup dengan doa:

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat ‘iffah dan kekayaan.”