اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-478: MAKSUD DOA TOLAK WABA’ (SIRI AKHIR)

 

 

ih478_15291523.png

 

Soalan: Apakah sumber dan makna doa ini?

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan ‘afiah.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Menjadi kewajipan setiap insan itu untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa diberikan keselamatan dan kesejahteraan hidup serta dijauhkan daripada segala perkara-perkara yang tidak baik berlaku kepadanya. Ini kerana, terlalu banyak dalil atau nas sama ada daripada al-Quran mahupun hadith Nabi SAW yang menunjukkan tuntutan untuk setiap insan itu berdoa kepada Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT:

 

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

al-‘Araf:55

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

 

Sumber Dan Hukum Hadith

Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk menukilkan doa di atas secara penuh dan doa ini ada diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam msunadnya, Imam Abu Daud dan juga Imam Ibn Majah di dalam sunan mereka, iaitu:

 

  • Daripada Ibn Umar R.anhuma berkata: Nabi SAW tidak pernah meninggalkan doa-doa ini pada waktu petang dan pagi:

 

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ، فِي دِينِي، وَدُنْيَايَ، وَأَهْلِي، وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي، وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنَ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِي، وَعَنْ يَمِينِي، وَعَنْ شِمَالِي، وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah! Tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di dalam hatiku. Ya Allah! Jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku, serta aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar (dalam keadaan tidak sedar) dari bawahku.” [Riwayat Ahmad (4785), Abu Daud (5074) dan Ibn Majah (3871)]

 

Di samping itu juga, doa ini turut dinukilkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Azkar yang mana kitab tersebut menghimpunkan zikir-zikir dan doa-doa yang bersumberkan daripada hadith Nabi SAW. Adapun berkaitan status hadith ini, Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menialai sanad hadith ini adalah sahih. Tambahan pula, Imam Ibn Hibban menilai hadith ini sebagai sahih dan beliau meriwayatkan hadith ini di dalam kitab sahihnya. Justeru, melihat kepada beberapa pandangan di atas, maka hadith ini adalah sahih dan ia amat digalakkan untuk beramal dengannya.

 

Makna Doa

Keampunan di dalam doa ini adalah pelepasan daripada melakukan dosa. Adapun ‘afiyah pula adalah keselamatan daripada kerosakan-kerosakan dan juga kesusahan-kesusahan. Menutup aib bermaksud menutup apa-apa yang memalukannya dan tidak disukai apabila ia dilihat oleh orang lain. Adapun, berilah ketenteraman di dalam hatiku bermaksud ketenangan hati daripada perasan takut, berbangga dan sebagainya. [Lihat: Syarah Sunan Ibn Majah, 1/276]

Menurut Imam al-Nawawi berkaitan makna ‘afiyah sebagaimana yang terkandung di dalam doa di atas, sudah terlalu banyak hadith yang menyarankan agar sentiasa memohon ‘afiyah (kepada Allah SWT) dan ia (lafaz ‘afiyah) adalah satu lafaz umum yang mana terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin serta agama sama ada di dunia dan juga di akhirat. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12]

Selain itu, Syeikh al-Munawi berpandangan bahawa ‘afiyah bermaksud keselamatan (kesejahteraan) daripada penyakit-penyakit dan bala. Ia juga menghimpunkan di antara dua kesejahteraan iaitu di dunia dan agama. Selain itu, ‘afiyah akan menolak penyakit-penyakit dunia yang ada di hati dan juga yang berada di badan. [Lihat: Faidh al-Qadir, 107/4]

Melihat kepada beberapa definisi atau pengertian di atas, maka kami simpulkan bahawa al-‘Afiyah adalah keselamatan atau kesejahteraan pada agama daripada segala fitnah, pada badan daripada segala penyakit-penyakit sama ada penyakit hati atau sebagainya dan kepada pada ahli keluarga dan harta daripada segala bala dan musibah.

 

Penutup

Kesimpulannya, doa merupakan salah satu ibadah yang istimewa kerana ia mengubungkan terus seorang hamba itu kepada Allah SWT. Di samping itu, di dalam bab berdoa terdapat keluasan yang mana kita tidak semestinya perlu berdoa dengan doa yang diajar oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan juga yang diajar oleh Nabi SAW di dalam hadith sahaja. Bahkan, kita dibenarkan untuk berdoa dengan apa jua doa sekalipun selagimana makna atau maksud doa tersebut adalah baik dan tidak bercanggah dengan agama. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kita semua kesejahteraan yang berpanjangan serta menjauhkan kita daripada segala perkara yang tidak baik sama ada di dunia mahupun di akhirat. Amin.

 

Wallahua’lam