Soalan :
Assalamualaikum Datuk Mufti. Semoga Datuk sihat sentiasa untuk berkhidmat demi ummah. Saya ada satu persoalan. Saya pernah terdengar satu ceramah yang apabila Nabi SAW sebut tentang saidatina Khadijah, Saidatina Aisyah macam tidak suka dan seakan benci bila Nabi sebut sebegitu. Betul ke ada kisah yang sebegitu?. Adakah benar Saidatina Aisyah tidak suka kepada Saidatina Khadijah?. Mohon pencerahan dan penjelasan dari Datuk.
Jawapan :
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Isteri-isteri Nabi SAW adalah merupakan sebaik-baik wanita. Mereka adalah wanita yang diberikan kelebihan dan diiktiraf kedudukan mereka oleh Allah sehinggakan Allah menyebut bahawa mereka tidak seperti wanita-wanita yang lain. Allah SWT berfirman :
يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ
Maksudnya : “…Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa…”
(Surah Al-Ahzab : 32)
Ibnu ‘Ajibah menyebut maksud daripada ayat tersebut ialah kalian wahai isteri Nabi tidak seperti kumpulan wanita yang lain. Tiada seorang pun dari kalangan wanita menyamai kalian dari sudut kedudukan dan kelebihan sepertimana Nabi SAW tidak sama seperti mana-mana lelaki apatahlagi isteri-isteri Baginda yang dimuliakan. (Rujuk Al-Bahru Al-Madid Fi Tafsir Al-Quran Al-Majid, 4/428).
Kemuliaan mereka diangkat sehingga mereka digelar sebagai Ummahatul Mukminin iaitu ibu-ibu bagi orang mukmin. Firman Allah SWT :
ٱلنَّبِىُّ أَوْلَىٰ بِٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْ ۖ وَأَزْوَٰجُهُۥٓ أُمَّهَـٰتُهُمْ
Maksudnya : “Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka…”
(Surah Al-Ahzab : 6)
Sheikh Amin Al-Syanqiti menyebut ini menunjukkan penghormatan, kemuliaan mereka sebagaimana seorang ibu yang wajib untuk dihormati. Ini adalah dalil yang jelas tanpa syak lagi. (Rujuk Adwa Al-Bayan Fi Idhah Al-Quran Bi Al-Quran, 6/335)
Disebabkan kemuliaan dan kedudukan mereka yang diiktiraf oleh Allah, maka tidak boleh bahkan diharamkan untuk merendah-rendahkan atau menghina serta mencaci mana-mana ummahatul mukminin. Perbuatan menghina ummahatul mukminin maka perbuatannya itu adalah satu perbuatan yang kafir. Bahkan sebahagian daripada ulama menyatakan bahawa perbuatan menghina atau menuduh ummahatul mukminin melakukan perkara yang jijik adalah perbuatan yang boleh dianggap sebagai kufur.
Al-Qadhi Iyadh menyebut sesiapa yang menghina mana-mana isteri Nabi SAW maka dia boleh dibunuh kerana dia dianggap telah menghina Nabi SAW. Al-Qadhi Abu Ya’la pula menyebut sesiapa yang menuduh Aisyah R.anha melakukan zina sedangkan Allah sudah membebaskannya daripada tuduhan tersebut, maka orang tersebut dianggap sebagai kafir tanpa khilaf dan ada ijmak tentang perkara ini. (Rujuk Majmu’ah Rasail Ibn Abidin, hlm 358).
Ibnu Abidin menyebut pandangan yang paling sahih adalah sesiapa yang menuduh mana-mana isteri melakukan perbuatan terkutuk maka anggap sahaja sepertimana hukum menuduh Saidatina Aisyah R.anha. (Rujuk Majmu’ah Rasail Ibn ‘Abidin, hlm 358).
Seorang yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tidak seharusnya mencaci dan menghina ummahatul Mukminin. Imam Al-Tahawi menyebut “
“Sesiapa yang memperlokkan kata-katanya terhadap para sahabat dan isteri Baginda yang sucu (iaitu tidak menghina mereka, mencaci dan merendah-rendahkan mereka) daripada segala tomahan keji maka dia telah bebas dari sifat munafik.” (Rujuk Al-Akidah Al-Tahawiyah, hlm 44)
Berdasarkan kepada pandangan-pandangan para ulama maka dapat kita faham bahawa perbuatan memperlekehkan, menghina dan menuduh ummahatul mukminin dengan tuduhan yang kotor dan jijik adalah satu perbuatan yang sangat berat dan boleh membawa kepada kefasiqan bahkan boleh menyebabkan seseorang menjadi kufur.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang ada beberapa riwayat yang menceritakan tentang beberapa pandangan dan reaksi Saidatina Aisyah terhadap Saidatina Khadijah. Di antaranya :
- Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Hisyam Bin Urwah daripada ayahnya, Urwah Bin Zubair bahawa Aisyah R.anha berkata :
مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ لِكَثْرَةِ ذِكْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهَا وَثَنَائِهِ عَلَيْهَا وَقَدْ أُوحِيَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ لَهَا فِي الْجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ
Maksudnya : “Tidaklah aku cemburu pada isteri-isteri Nabi sepertimana cemburunya aku pada Khadijah disebabkan Nabi SAW banyak menyebut namanya dan banyak memujinya. Rasulullah SAW telah diberikan wahyu agar memberi khabar gembira kepadanya bahawa dia mendapat sebuah rumah di syurga yang diperbuat daripada permata.”
Riwayat Al-Bukhari (5229)
- Di dalam riwayat yang lain menyebut bahawa Aisyah pernah menyebut :
مَا غِرْتُ عَلَى نِسَاءِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا عَلَى خَدِيجَةَ وَإِنِّي لَمْ أُدْرِكْهَا قَالَتْ وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَبَحَ الشَّاةَ فَيَقُولُ أَرْسِلُوا بِهَا إِلَى أَصْدِقَاءِ خَدِيجَةَ قَالَتْ فَأَغْضَبْتُهُ يَوْمًا فَقُلْتُ خَدِيجَةَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي قَدْ رُزِقْتُ حُبَّهَا
Maksudnya : “Tidak aku cemburu pada mana-mana isteri Nabi melainkan pada Khadijah. Aku tidak sempat bertemunya. Aisyah berkata : Apabila Rasullah SAW menyembelih kambing, Baginda akan berkata : Hantarkan sembelihan kambing ini kepada sahabat Khadijah. Aisyah berkata lagi : Pada satu hari ,aku marah kepada Baginda maka aku berkata : Khadijah lagi. Lantas Nabi SAW bersabda : Aku telah direzekikan untuk mencintainya.”
Riwayat Muslim (4464)
- Di dalam sebuah riwayat yang lain menyebut yang diriwayatkan daripada Al-Sya’bi daripada Masruq daripada Aisyah R.anha. Beliau berkata :
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا ذَكَرَ خَدِيجَةَ أَثْنَى عَلَيْهَا فَأَحْسَنَ الثَّنَاءَ قَالَتْ فَغِرْتُ يَوْمًا فَقُلْتُ مَا أَكْثَرَ مَا تَذْكُرُهَا حَمْرَاءَ الشِّدْقِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا خَيْرًا مِنْهَا قَالَ مَا أَبْدَلَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ خَيْرًا مِنْهَا قَدْ آمَنَتْ بِي إِذْ كَفَرَ بِي النَّاسُ وَصَدَّقَتْنِي إِذْ كَذَّبَنِي النَّاسُ وَوَاسَتْنِي بِمَالِهَا إِذْ حَرَمَنِي النَّاسُ وَرَزَقَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَدَهَا إِذْ حَرَمَنِي أَوْلَادَ النِّسَاءِ
Maksudnya : “Apabila Nabi SAW menyebut tentang Khadijah pasti Nabi akan memujinya dan berkata yang elok-elok tentang beliau. Aisyah berkata : Pada satu hari aku merasa cemburu maka aku katakan : Betapa banyak engkau sebut tentang orang yang kemerahan rahangnya. Sesungguhnya Allah telah gantikan engkau dengan wanita yang lebih daripadanya. Nabi SAW bersabda : Allah tidak gantikan aku dengan orang yang baik daripadanya. Dia beriman denganku ketika orang ramai tidak beriman kepadaku, dia membenarkan kata-kata aku ketika orang lain tidak percaya dengan aku, dia memberikan hartanya ketika orang lain menahan harta mereka daripadaku, dan Allah rezekikan aku mendapat anak melaluinya ketika Allah tidak rezekikan aku anak dengan wanita selainnya.”
Riwayat Imam Ahmad (25504) di dalam Musnadnya
- Ada riwayat yang menceritakan tentang reaksi Saidatina Aisyah ketika Halah adik kepada Saidatina Khadijah datang bertemu dengan Nabi SAW.Kisah ini diceritakan sendiri oleh Aisyah yang diriwayatkan oleh Hisyam Bin Urwah daripada ayahnya. Aisyah berkata :
اسْتَأْذَنَتْ هَالَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ أُخْتُ خَدِيجَةَ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَعَرَفَ اسْتِئْذَانَ خَدِيجَةَ فَارْتَاعَ لِذَلِكَ فَقَالَ اللَّهُمَّ هَالَةَ قَالَتْ فَغِرْتُ فَقُلْتُ مَا تَذْكُرُ مِنْ عَجُوزٍ مِنْ عَجَائِزِ قُرَيْشٍ حَمْرَاءِ الشِّدْقَيْنِ هَلَكَتْ فِي الدَّهْرِ قَدْ أَبْدَلَكَ اللَّهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya : “Halah Binti Khuwailid, adik perempuan kepada Khadijah meminta izin untuk bertemu dengan Nabi SAW. Maka Nabi dapat mengecam cara Khadijah meminta izin (kerana suara dan cara Halah sama seperti Khadijah). Lalu Nabi SAW merasa tenang. Aisyah berkata : Aku cemburu dengan perkara tersebut maka aku berkata : Apa yang engkau sebutkan adalah merupakan orang tua daripada Quraisy yang merah rahangnya telah pun meninggal dunia. Sesungguhnya Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik daripadanya.”
Riwayat Al-Bukhari (3820)
Dalam lafaz yang lain menyebut tentang reaksi Nabi SAW apabila Aisyah R.anha menyebut tentang Khadijah dengan perkataan yang sebegitu. Aisyah berkata :
فَتَمَعَّرَ وَجْهُهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَمَعُّرًا مَا كُنْتُ أَرَاهُ مِنْهُ إِلاَّ عِنْدَ نُزُولِ الْوَحْيِ ، وَإِذَا رَأَى الْمَخِيلَةَ حَتَّى يَعْلَمَ أَرَحْمَةٌ أَوْ عَذَابٌ
Maksudnya : “Maka berubah air muka Nabi SAW yang tak pernah aku lihat daripada Nabi SAW kecuali ketika turunnya wahyu dan ketika melihat awan mendung sehingga Baginda tahu adakah ianya rahmat atau satu azab.”
Riwayat Ibnu Hibban (7008)
Secara zahirnya, apabila melihat riwayat-riwayat ini maka seakan-akan Saidatina Aisyah tidak suka dan seolah-olah beliau benci apabila Nabi SAW selalu memuji dan mendahulukan kerabat serta orang yang rapat dengan Saidatina Khadijah. Ditambah pula, berubahnya riak wajah Nabi SAW apabila Saidatina ‘Aisyah menyebutkan perkataan tersebut menunjukkan bahawa apa yang disebutkan oleh Saidatina Aisyah itu seakan-akan beliau tidak menyukai Saidatina Khadijah. Pada dasarnya, tuduhan dan tohmahan mengatakan bahawa Saidatina ‘Aisyah membenci dan tidak menyukai Saidatina Khadijah ada satu tanggapan yang salah bahkan dari sudut yang lain seakan-akan ingin merendah-rendahkan Saidatina ‘Aisyah.
Apa yang keluar dari mulut Saidatina Aisyah ketika Nabi SAW banyak menceritakan tentang Saidatina Khadijah adalah disebabkan sikap cemburu. Ini adalah satu perkara fitrah bagi seorang isteri. Dia akan cemburu apabila suami menyebut tentang seorang wanita selain darinya. Tambahan pula jika wanita yang disebutkan itu adalah seorang yang pernah menjadi isteri suaminya, banyak jasanya dan sangat disayangi.
Al-Qadhi Iyadh menyebut bahawa ini sifat semulajadi bagi seorang wanita. Sifat cemburu ini dibenarkan dan ianya sedikit pun tidak mencalarkan akhlak ummahatul Mukminin. Ia sudah menjadi sebahagian sifat wanita. Oleh kerana itu Nabi SAW tidak menegahnya mahupun membalas semula apa yang disebutkan oleh Saidatina ‘Aisyah. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 7/224).
Di dalam riwayat Al-Tabarani, apabila Saidatina ‘Aisyah sedar bahawa Nabi SAW berubah mukanya berkemungkinan tidak menyukai apa yang disebutkan oleh beliau, lantas beliau menyebut :
: يا رسول الله اعف عني عفا الله عنك والله لا تسمعني أذكر خديجة بعد هذا اليوم بشيء تكرهه
Maksudnya: “ Wahai Rasulullah ampunkan aku maka Allah akan ampunkan engkau. Demi Allah engkau tidak akan dengar aku sebut sesuatu tentang Khadijah yang engkau tidak suka selepas ini.”
Riwayat Al-Tabarani (14) di dalam Al-Mu’jam Al-Kabir.
Ini jelas membuktikan bahawa apa yang disebutkan oleh Saidatina ‘Aisyah adalah hasil daripada sifat cemburu. Jika ianya lahir dari kebencian, sudah pasti ia dapat dihidu oleh Nabi SAW dan menegahnya dari bercakap demikian. Namun apa yang kita lihat berdasarkan riwayat-riwayat, Nabi SAW hanya menunjukkan reaksi muka dan hanya menjelaskan semula kelebihan-kelebihan Saidatina sebagai sebab mengapa Saidatina Khadijah banyak disebutkan oleh Baginda.
Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menjelaskan, diamnya Nabi SAW apabila Sidatina Aisyah mengatakan Saidatiba Khadijah adalah wanita yang tua dengan kiasan ‘rahang yang merah’ menunjukkan dari satu sudut bahawa itu adalah perkara yang betul. Beliau sememangnya muda dari sudut umur. Namun begitu, Nabi kemudiannya menjelaskan semula mengapa Nabi sangat mencintai Saidatina Khadijah dengan menyebut kelebihan-kelebihan beliau yang tiada pada Ummahatul Mukminin yang lain. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 7/140).
Imam Al-Nawawi memberikan pandangan berkemungkinan pada ketika ‘Aisyah menyebutkan bahawa Khadijah adalah wanita yang tua dan sebagainya , beliau masih terlalu muda. Ini adalah sifat biasa bagi wanita-wanita yang muda. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 7/209)
Bahkan sifat cemburu-mencemburui ini adalah perkara yang sering berlaku dalam kalangan Ummahatul Mukminin sehingga Nabi SAW pernah menyebutkan :
غَارَتْ أُمُّكُمْ
Maksudnya : “ Ibu kalian pun (iaitu Sarah isteri kepada Nabi Ibrahim) cemburu…”
Ibnu Hajar Al-‘Asqalani menyebut bahawa jangan pelik jika perkara ini berlaku kerana cemburu adalah perkara yang biasa berlaku. Beliau menyebut lagi bahawa orang yang cemburu tidak boleh dimarahi atau diambil tindakan kerana pada ketika itu akal mereka sedang dikuasai oleh sifat tersebut. (Rujuk Fath Al-Bari Syarh Sohih Al-Bukhari, 15/31).
Perkara yang kedua, jika benar Saidatina ‘Aisyah membenci Saidatina Khadijah sudah pasti dia tidak akan meriwayatkan hadis-hadis berkenaan kelebihan Saidatina Khadijah. Kesemua riwayat yang menyebutkan tentang kelebihan Khadijah dan cintanya Nabi kepada beliau diriwayatkan oleh Saidatina ‘Aisyah.
Secara logiknya, orang yang membenci atau tidak menyukai orang yang lain, pasti dia tidak akan menyebut perkara yang baik tentangnya. Yang akan disebutkan hanyalah kejahatan dan keburukan serta kekurangan orang yang dibencinya itu. Namun begitu, ia tidak berlaku kepada Saidatina ‘Aisyah. Jika beliau membenci dan tidak menyukai Saidatina Khadijah maka beliau tidak akan menyebut kelebihan dan kedudukan Khadijah dari susut pandang Nabi SAW. Tidak ada wanita di dunia yang menyebutkan kelebihan dan kebaikan wanita lain kerana benci kepadanya. Ini menunjukkan bahawa Saidatina ‘Aisyah tidak membenci Saidatina Khadijah.
Bahkan Saidatina ‘Aisyah adalah orang yang meriwayatkan kisah permulaan bagaimana Nabi SAW menerima wahyu dan peranan Khadijah menenangkan serta membenarkan apa yang Nabi SAW selepas peristiwa di Gua Hira’. Perkara ini boleh dilihat di permulaan Sahih Al-Bukhari di dalam kitab permulaan wahyu (بدء الوحي) hadis yang ketiga.
Kesimpulannya, berdasarkan riwayat-riwayat dan perbincangan yang telah dikemukakan, Saidatina ‘Aisyah R.anha tidak membenci Saidatina Khadijah. Apa yang disebutkan oleh Saidatina ‘Aisyah terhadap Saidatina Khadijah adalah lahir dari sifat cemburu yang menjadi kebiasaan wanita.
Semoga Allah menjaga lidah kita daripada bercakap sesuatu yang buruk tentang Ummahatul Mukminin. Wallahu’alam.