اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-480: DOA KETIKA TERLUPA MEMBACA DOA MAKAN

 ih480 15291523

Soalan: Apakah terdapat doa lain yang diajar oleh Nabi SAW ketika terlupa membaca doa makan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita agar setiap perkara yang kita lakukan akan diberkati oleh Allah SWT.

Berdasarkan soalan di atas, di sana terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud berkaitan doa makan yang perlu dibaca bagi orang yang lupa membacanya pada awalnya.

  • Daripada Aisyah R.anha berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا أَكَلَ أَحَدُكُمْ فَلْيَذْكُرِ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى، فَإِنْ نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اسْمَ اللَّهِ تَعَالَى فِي أَوَّلِهِ فَلْيَقُلْ بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu ingin makan maka sebutlah nama Allah Taala. Sekiranya dia lupa menyebut nama Allah Taala pada awalnya (sebelum daripada makan) maka bacalah: Dengan nama Allah aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” [Riwayat Abu Daud (3767)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini adalah sahih li ghairihi ketika mengtakhrijkan hadith-hadith di dalam Sunan Abu Daud]

 

Tambahan pula, di dalam Sahih Ibn Hibban ada dinukilkan satu riwayat yang lain daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

من نَسِيَ أَنْ يَذْكُرَ اللَّهَ فِي أَوَّلِ طَعَامِهِ, فَلْيَقُلْ حِينَ يَذْكُرُ: بِسْمِ اللَّهِ فِي أَوَّلِهِ وآخره

Maksudnya: “Barangsiapa yang terlupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum  makan), maka bacalah ketika dia ingat (bahawa dia belum menyebut nama Allah): Dengan nama Allah aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” [Riwayat Ibn Hibban (5213)]

 

Imam al-Munawi mengatakan walaupun hadith ini menyebut tentang perbuatan makan tetapi ia juga termasuk dengan perbuatan minum. Tambahan pula, doa ini juga boleh dibaca selepas selesai daripada makan atau minum. [Lihat: Faidh al-Qadir, 1/296]

Melihat kepada hadith di atas, hadith di atas adalah sahih dengan syawahid (sokongan) yang ada padanya. Selain itu, para ulama menyatakan disunatkan memulakan setiap penulisan, pembelajaran, pengajaran, khutbah, percakapan dan perkara-perkara yang lain (seperti makan dan minum) yang dilihat penting dengan memuji Allah SWT. [Lihat: al-Majmu’, 1/73]

 

Penutup

Kesimpulannya, berdoalah kita kepada Allah SWT dalam setaip pekerjaan yang kita lakukan agar apa yang kita lakukan itu akan diberkati oleh Allah SWT. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah-sunnah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam