Soalan :
Assalamualaikum Ustaz. Semoga ustaz sihat sentiasa dan dijauhkan dari wabak yang sedang melanda sekarang ini. Saya ada satu persoalan berhubung dengan sirah Nabi kita, Muhammad SAW. Selepas Nabi SAW dapat wahyu di Gua Hira’, Nabi terus balik ke rumah. Dan Nabi SAW sebut kepada Saidatina Khadijah زمّلوني . Saya tidaklah pandai sangat, cuma yang saya tahu perkataan yang Nabi sebut itu dalam bentuk jamak. Persoalan saya kalau Nabi sebut kepada Khadijah kenapa Nabi sebut زملوني dalam bentuk jamak bukan زمليني dalam bentuk mufrad.. Adakah ketika itu terdapat orang lain selain Khadijah?
Jawapan :
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertama sekali tahniah diucapkan di atas keprihatinan saudari terhadap bahasa arab sehingga boleh membezakan kalimah jamak dan mufrad.
Sebelum menjawab persoalan yang dikemukakan, kami ingin menjelaskan riwayat yang menyebutkan tentang Nabi SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira’ kemudian setelah itu pulang ke rumah untuk menceritakan apa yang berlaku kepada Khadijah merupakan riwayat yang mutawatir dan tidak boleh disangkal lagi. Kisah ini diceritakan oleh Aisyah R.A. Beliau berkata :
أَوَّلُ مَا بُدِئَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ الْوَحْيِ الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ فِي النَّوْمِ فَكَانَ لَا يَرَى رُؤْيَا إِلَّا جَاءَتْ مِثْلَ فَلَقِ الصُّبْحِ فَكَانَ يَأْتِي حِرَاءً فَيَتَحَنَّثُ فِيهِ وَهُوَ التَّعَبُّدُ اللَّيَالِيَ ذَوَاتِ الْعَدَدِ وَيَتَزَوَّدُ لِذَلِكَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى خَدِيجَةَ فَتُزَوِّدُهُ لِمِثْلِهَا حَتَّى فَجِئَهُ الْحَقُّ وَهُوَ فِي غَارِ حِرَاءٍ فَجَاءَهُ الْمَلَكُ فِيهِ فَقَالَ اقْرَأْ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدُ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ فَقُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّانِيَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدُ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ اقْرَأْ فَقُلْتُ مَا أَنَا بِقَارِئٍ فَأَخَذَنِي فَغَطَّنِي الثَّالِثَةَ حَتَّى بَلَغَ مِنِّي الْجَهْدُ ثُمَّ أَرْسَلَنِي فَقَالَ { اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ } حَتَّى بَلَغَ { عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ } فَرَجَعَ بِهَا تَرْجُفُ بَوَادِرُهُ حَتَّى دَخَلَ عَلَى خَدِيجَةَ فَقَالَ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ فَقَالَ يَا خَدِيجَةُ مَا لِي وَأَخْبَرَهَا الْخَبَرَ وَقَالَ قَدْ خَشِيتُ عَلَى نَفْسِي فَقَالَتْ لَهُ كَلَّا أَبْشِرْ فَوَاللَّهِ لَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ وَتَصْدُقُ الْحَدِيثَ وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَقْرِي الضَّيْفَ وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ ثُمَّ انْطَلَقَتْ بِهِ خَدِيجَةُ حَتَّى أَتَتْ بِهِ وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلِ بْنِ أَسَدِ بْنِ عَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قُصَيٍّ وَهُوَ ابْنُ عَمِّ خَدِيجَةَ أَخُو أَبِيهَا وَكَانَ امْرَأً تَنَصَّرَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ وَكَانَ يَكْتُبُ الْكِتَابَ الْعَرَبِيَّ فَيَكْتُبُ بِالْعَرَبِيَّةِ مِنْ الْإِنْجِيلِ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ يَكْتُبَ وَكَانَ شَيْخًا كَبِيرًا قَدْ عَمِيَ فَقَالَتْ لَهُ خَدِيجَةُ أَيْ ابْنَ عَمِّ اسْمَعْ مِنْ ابْنِ أَخِيكَ فَقَالَ وَرَقَةُ ابْنَ أَخِي مَاذَا تَرَى فَأَخْبَرَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا رَأَى فَقَالَ وَرَقَةُ هَذَا النَّامُوسُ الَّذِي أُنْزِلَ عَلَى مُوسَى يَا لَيْتَنِي فِيهَا جَذَعًا أَكُونُ حَيًّا حِينَ يُخْرِجُكَ قَوْمُكَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوَمُخْرِجِيَّ هُمْ فَقَالَ وَرَقَةُ نَعَمْ لَمْ يَأْتِ رَجُلٌ قَطُّ بِمِثْلِ مَا جِئْتَ بِهِ إِلَّا عُودِيَ وَإِنْ يُدْرِكْنِي يَوْمُكَ أَنْصُرْكَ نَصْرًا مُؤَزَّرًا ثُمَّ لَمْ يَنْشَبْ وَرَقَةُ أَنْ تُوُفِّيَ
Maksudnya : “Wahyu yang pertama yang turun kepada Rasulullah SAW adalah mimpi yang benar yang diperlihatkan di dalam tidur. Baginda melihat seperti adanya Cahaya waktu subuh. Baginda pernah datang ke gua Hira’ lalu Baginda bersendiri iaitu untuk beribadah beberapa malam. Baginda juga mempersiapkan bekalan untuk perkara tersebut. Kemudian Baginda SAW pulang menemui Khadijah dan mempersiapkan bekal untuk Baginda sehinggalah datang kepada Baginda perkara yang tidak disangka-sangka oleh Baginda di Gua Hira’. Malaikat datang kepada Baginda lalu berkata : Bacalah. Maka Nabi SAW berkata kepada malaikat : Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku sehingga kau merasa sesak. Lalu dia melepaskan. Nabi SAW berkata : Aku tidak boleh membaca. Lantas dia memegang dan memeluk aku erat kali yang kedua sehingga aku merasa sesak. Lalu dia berkata : Bacalah. Nabi SAW berkata : Aku tidak boleh membaca. Lalu dia memegang dan memeluk aku erat buat kali yang ketiga kemudian dia melepaskan aku. Maka Nabi SAW membaca اقرأ باسم ربك الذي خلق sehinggalah sampai kepada ayat علم الإنسان ما لم يعلم. Lantas selepas daripada itu, Baginda pulang dalam keadaan resah yang teramat sehingga Baginda masuk menemui Khadijah. Lalu Baginda berkata kepada Khadijah : Selimutkan aku, selimutkan aku sehingga hilang keresahan Baginda. Lalu Baginda SAW berkata kepada Khadijah : Wahai Khadijah, apa sudah terjadi kepadaku. Lantas Baginda menceritakan apa yang berlaku. Baginda berkata : Aku takut akan diriku (kalau-kalau terjadi apa-apa). Maka Khadijah berkata kepada Baginda : Jangan begitu, Allah sesekali tidak akan mengecewakan kamu. Sesungguhnya kamu meyambungkan hubungan kekeluargaan, bercakap yang benar, membantu anak yatim, memuliakan tetamu dan membantu orang yang benar. Kemudian Khadijah pergi bersama Baginda untuk bertemu dengan Waraqah Bin Naufal Bin Asad Bin Abdul Uzza Bin Qusai Bin Kilab. Beliau ialah saudara lelaku kepada ayahnya. Beliau memeluk agama Nasrani ketika Jahiliyyah, menulis dalam bahasa arab dan juga menulis Injil. Beliau juga sudah mencapai umur yang sangat tua dan juga buta. Maka Khadijah berkata kepada beliau : Wahai pak cik dengarlah apa yang ingin diperkatakan oleh anak saudaramu ini. Maka Waraqah berkata : Wahai anak saudaraku, apakah yang telah kamu lihat. Lantas Nabi SAW menceritakan apa yang telah berlaku. Waraqah berkata : Itu adalah Malaikat Jibril yang telah diturunkan kepada Musa. Andai kata aku masih muda dan hidup ketika mana kaummu menghalau kamu satu hari nanti . Maka Nabi SAW berkata : Adakah mereka akan mengeluarkanku. Waraqah berkata : Ya. Tidak ada seorang pun yang pernah mengalami sepertimana kamu. Jika aku sempat, maka aku akan bantu kamu semaksimum mungkin…”
Riwayat Al-Bukhari (3, 6982)
Dalam satu riwayat yang lain yang diriwayatkan oleh Jabir Bin Abdullah bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda :
ثُمَّ فَتَرَ عَنِّي الْوَحْيُ فَتْرَةً فَبَيْنَا أَنَا أَمْشِي سَمِعْتُ صَوْتًا مِنْ السَّمَاءِ فَرَفَعْتُ بَصَرِي قِبَلَ السَّمَاءِ فَإِذَا الْمَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ قَاعِدٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ فَجُئِثْتُ مِنْهُ حَتَّى هَوَيْتُ إِلَى الْأَرْضِ فَجِئْتُ أَهْلِي فَقُلْتُ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ إِلَى قَوْلِهِ وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ
Maksudnya “ Kemudian wahyu terhenti buat sekeita. Ketika aku berjalan, aku mendengar suara daripada langit. Maka aku angkat pandangan ku ke langit, maka aku melihat malaikat yang sama datang kepadaku di gua Hira duduk di atas kursi di antara langit dan bumi. Maka aku terkejut dan ketakutan sehingga aku tertunduk ke tanah. Maka aku terus mendatangi ahli keluargaku. Maka aku berkata : Selimutkan aku, selimutkan aku. Kemudian Allah SWT menurukan ayat : {يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرْ } sehingga ayat وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ.
Riwayat Al-Bukhari (3238)
Imam Muslim juga meriwayatkan hadis ini dengan lafaz yang sama dalam hadis bernombor 422 dan juga hadis bernombor 425. Dengan sanad yang sama daripada Urwah Bin Zubair daripada Aisyah dan juga daripada Salamah Bin Abdurrahman daripada Jabir Bin Abdullah. (Rujuk Sahih Muslim , 4/97-98). Ia juga diriwayatkan di dalam beberapa kitab-kitab hadis muktabar yang lain. Di antaranya Al-Nasaie di dalam Al-Sunan Al-Kubra (11631),Imam Ahmad dalam Musnadnya (14483) (15035)(25865), Musnad Al-Tayalisi (1570), Al-Baihaqi di dalam Al-Sunan Al-Kubra (7/51).
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, perkataan زملوني yang maksudnya ‘selimutkan aku’ ditujukan kepada Saidatina Khadijah. Ini kerana di dalam kebanyakan riwayat yang menyebutkan kisah tersebut, hanya Saidatina Khadijah sahaja yang bersama dengan Nabi SAW pada ketika itu. Tidak ada orang lain selain dari beliau. Ini adalah berdasarkan zahir riwayat kisah tersebut.
Sheikh Sofa’ Al-Dhawi Al-‘Adawi menyebut bahawa orang yang diminta oleh Nabi untuk menyelimuti Baginda ialah Saidatina Khadijah. Ini menunjukkan kedudukan dan keistimewaan Saidatina Khadijah. (Rujuk Ithaf Al-Qari Bi Ikhtisar Fath Al-Bari, 2/24)
Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa ‘selimutkanlah aku’ ditujukan kepada Khadijah. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sohih Muslim, 1/317).
Namun satu persoalan yang timbul, adalah mengapa ianya disebutkan di dalam bentuk jamak bukan mufrad. Jika ianya ditujukan kepada Saidatina Khadijah, maka seharusnya ia dinyatakan dalam bentuk mufrad iaitu زمّليني. Ianya disebutkan dalam bentuk jamak sebagai satu bentuk penghormatan kepada Saidatina Khadijah. Ini adalah satu adat kebiasaan di dalam bahasa. Sheikh Zakaria Al-Ansari menyebut bahawa sighah jamak yang ada di dalam perkataan زمّلوني adalah sebagai satu penghormatan kepada Khadijah. (Rujuk Minhah Al-Bari Bi Syarh Sohih Al-Bukhari, 1/14).
Ianya bukan bermakna adanya orang lain selain daripada Saidatina Khadijah pada ketika itu akan tetapi sebagai satu bentuk penghormatan dan kemuliaan kepada Saidatina Khadijah R.anha.
Sheikh Muhammad Amin Al-Harari Al-Syafi’i menyebut :
“Dhomir jamak pada perkataan زملوني adalah satu bentuk memuliakan Khadijah. Ini kerana sudah menjadi satu kebiasaan orang arab pada ketika itu bercakap dengan isterinya menggunakan sighah jamak.” (Rujuk Al-Kaukab Al-Wahhaj Wa Raudh Al-Bahhaj Fi Syarh Sohih Muslim Bin Hajjaj, 2/137).
Kesimpulannya, perkataan زمّلوني yang disebutkan oleh Nabi SAW ditujukan kepada Saidatina Khadijah. Ini berdasarkan kepada zahir riwayat yang menyebutkan kisah tersebut yang mana pada ketika hanya ada beliau seorang bersama Nabi SAW. Tidak ada orang lain. Di samping itu, ia disebutkan di dalam bentuk jamak adalah sebagai satu penghormatan dan kemuliaan kepada Saidatina Khadijah R.anha.
Semoga Allah memberikan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.