اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-498 : RIWAYAT IMAM AHMAD BERJUMPA DENGAN PENJUAL ROTI

IF HADITH 498

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Adakah riwayat mengenai kisah penjual roti yang dapat berjumpa dengan Imam Ahmad bin Hanbal disebabkan banyak beristighfar adalah sahih? Ada yang mengatakan bahawa kisah ini ada dinukilkan di dalam kitab Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi. Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat

Imam Ahmad bin Hanbal adalah nama yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Beliau adalah merupakan seorang Imam Ahl al-Sunnah dan ulama yang cukup dikenali di seluruh dunia. Ketokohan dan kehebatan Imam Ahmad tidak dapat disangkal lagi. Ini dapat dilihat melalui pujian dan pengiktirafan ulama lain terhadapnya. Antaranya, pengiktirafan Muhanna’ bin Yahya kepada Imam Ahmad sebagaimana katanya :

ما رأَيتُ أَحداً أَجمع لكلِّ خير من أَحمد بن حنبل، وقد رأَيتُ سفيانَ بن عُيَيْنةَ، ووكيعاً، وعبد الرزاق، ... وكثيراً من العلماءِ؛ فما رأَيتُ مثل أَحمد بن حنبل في علمه وفِقهه وزُهده وَوَرعه

Maksudnya : “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang terhimpun padanya segala kebaikan berbanding Ahmad bin Hanbal. Sesungguhnya aku telah melihat Sufian bin ‘Uyainah, Waqi’, Abd al-Razzaq… dan ramai lagi daripada kalangan ulama. Tetapi aku tidak pernah melihat (seorang pun) seperti Ahmad bin Hanbal dalam ilmunya, kefaqihannya, kezuhudannya dan kewarakannya.” (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 189) 

Kami telah membahaskan secara panjang lebar mengenai kelebihan Imam Ahmad bin Hanbal dan biografinya di dalam ruangan  Irsyad al-Hadith Siri ke-307 : Kelebihan Imam Ahmad dan Manaqibnya.[1]

Kisah penjual roti bertemu dengan Imam Ahmad

Tidak dapat dinafikan kisah antara penjual roti yang dapat bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal banyak tersebar sama ada di dalam penulisan agama mahupun di meja-meja penceramah. Secara ringkasnya, diceritakan bahawa Imam Ahmad ketika dalam permusafiran telah singgah di sebuah kota. Beliau ingin berehat dan tidur di sebuah masjid tetapi telah dihalang oleh penjaga masjid yang meminta untuk beliau keluar. Penjaga masjid berkenaan tidak mengenali Imam Ahmad. Lalu, Imam Ahmad pun keluar dan mahu berbaring di luar masjid, namun tetap dilarang oleh penjaga masjid tadi. Dari kejauhan, ada seorang penjual roti yang sedang memerhatikan kejadian itu, lalu memanggil beliau ketika beliau melalui tempat dia berniaga. Di sapanya Imam Ahmad dan menjemputnya untuk beristirehat di tempatnya. Imam Ahmad masih memperkenalkan dirinya sebagai Musafir. Sepanjang berada di tempat rehat yang disediakan iaitu berdekatan dengan si penjual roti, beliau mendengar penjual roti ini sering beristighfar. Pada setiap tindakannya ketika membuat roti itu, dia melafazkan istighfar. Imam Ahmad bertanya kepada penjual roti berkenaan : ”Apakah kesan daripada perbuatanmu ini?” Maka lelaki tadi menjawab : “Semua permintaanku dikabulkan Allah kecuali satu iaitu aku memohon kepada Allah untuk mempertemukanku dengan Imam Ahmad.” Mendengar jawapannya itu, Imam Ahmad bertakbir lalu berkata : “Aku didatangkan ke sini kerana istighfarmu.” Lelaki tadi bertahmid memuji Allah kerana permintaannya telah pun dikabulkan.

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami tidak menjumpai kisah Imam Ahmad bersama penjual roti sebagaimana yang diceritakan di atas di dalam Manaqib al-Imam Ahmad oleh Imam Ibn al-Jauzi. Juga daripada mana-mana kitab muktabar yang lain. Malah, Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil turut menyatakan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan al-Manaqib. Khususnya kitab-kitab yang menceritakan berkenaan biografi Imam Ahmad bin Hanbal seperti Manaqib al-Imam Ahmad oleh Ibn al-Jauzi, Tabaqat al-Hanabilah, Siyar A’lam al-Nubala’, Tarikh Baghdad, al-Bidayah wa al-Nihayah dan lain-lain kitab yang ada menceritakan mengenai kehidupan Imam Ahmad.[2]

Walau bagaimanapun, kami menemui kisah yang hampir serupa sebagaimana di atas. Namun, kisah tersebut bukanlah dengan penjual roti tetapi dengan Ishak bin Rahawayh. Imam Ibn al-Jauzi telah menukilkan riwayat daripada Abdullah bin Ahmad yang menceritakan bahawa apabila ayahnya telah dibebaskan daripada Mihnah (Khalq al-Quran). Beliau risau sekiranya Ishak bin Rahawayh (terlebih dahulu) datang menemuinya. Oleh itu, beliau telah berangkat pergi kepadanya. Apabila beliau sampai di sebuah bandar yang bernama al-Rai, beliau telah masuk ke dalam masjid. Ketika itu, hujan turun sangat lebat. Apabila hari semakin lewat malam, Imam Ahmad telah diarahkan untuk keluar daripada masjid tersebut kerana mereka (penjaga masjid) mahu menutupnya (menguncinya). Imam Ahmad pun lantas berkata : “Ini adalah masjid Allah dan aku adalah hamba Allah.” Kemudian, dikatakan kepadanya : “Mana yang lebih kamu suka, dikeluarkan atau kamu keluar berjalan sendiri dengan kaki kamu?” Imam Ahmad pun memberi salam kepada mereka dan terus keluar dari masjid tersebut dalam keadaan hujan masih turun dengan lebatnya bersama dentuman guruh dan kilat yang sabung menyabung. Beliau tidak tahu ke mana yang hendak dituju. Kemudian, seorang lelaki telah keluar daripada rumahnya dan bertanya kepada Imam Ahmad : “Wahai saudara, kemanakah kamu mahu pergi pada waktu ini?”. Jawabnya : “Aku tidak tahu kemana mahu pergi”. Kemudian, lelaki tersebut telah berkata kepada Imam Ahmad : “Masuklah!”. Dan dia telah membawa masuk Imam Ahmad ke dalam rumahnya dan memberinya pakaian ganti yang kering serta menanggalkan pakaian yang basah. Kemudian, Imam Ahmad telah berwuduk untuk menunaikan solat. Kemudian, Imam Ahmad telah dihidangkan pula dengan makanan dan dijemput makan bersama dengan mereka (lelaki tadi bersama ahli keluarganya). Beliau pun makan bersama mereka. Lelaki itu, bertanya kepada Imam Ahmad : “Kamu datang daripada mana?”. Jawabnya : “Aku daripada Baghdad”. Lelaki itu bertanya lagi : Adakah kamu kenal seorang lelaki yang bernama Ahmad bin Hanbal? Jawabnya : “Akulah Ahmad bin Hanbal”. Dan lelaki itu pula berkata : “Dan aku pula Ishak bin Rahawayh.” (Lihat Manaqib al-Imam Ahmad, hlm. 512)

Imam al-Zahabi telah menilai kisah ini sebagai hikayat palsu dan mengkritik Imam Ibn al-Jauzi kerana memasukkan kisah ini (dalam kitab beliau). (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 11/321-322)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa kisah mengenai penjual roti yang dapat bertemu Imam Ahmad bin Hanbal kerana banyak beristighfar, tidak diketahui asalnya. Malah, perkara ini turut disokong oleh Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil yang menyebutkan bahawa kisah ini tidak diketahui asalnya daripada mana-mana kitab al-Tarajum dan al-Manaqib.  Walau bagaimanapun, terdapat kisah yang hampir serupa tetapi bukanlah melibatkan antara Imam Ahmad dengan penjual roti. Akan tetapi, kisah tersebut adalah antara Imam Ahmad dengan Imam Ishak bin Rahawayh dan Imam al-Zahabi telah menilai kisah tersebut sebagai palsu di dalam kitabnya.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih yang menyebutkan mengenai kelebihan dan fadhilat istighfar. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbanyakan istighfar dan seterusnya menjadikannya sebagai zikir yang kita lazimi dalam kehidupan seharian kita. Mudah-mudahan Allah SWT menjadikan kita semua tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang banyak beristighfar (memohon keampunan kepada-Nya). Ameen.

 

[1] Lihat https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/2823-irsyad-al-hadith-siri-ke-307-kelebihan-imam-ahmad-dan-manaqibnya. Telah diakses pada 17 April 2020.

[2] Lihat Laman web rasmi Prof. Dr. Umar bin Abdullah al-Muqbil, Pensyarah di Universiti al-Qassim, pada soalan bertajuk Adakah sahih kisah Imam Ahmad bin Hanbal dengan pembuat roti? (http://almuqbil.com/web/?action=fatwa_inner&show_id=2134). Telah diakses pada 17 April 2020.