اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-499 : APAKAH MAKSUD KESEMUA SAHABAT BERSIFAT ADIL?

IRSYAD HADITH 499

Soalan:

Sepertimana yang kita tahu, kesemua sahabat Rasulullah SAW itu bersifat adil, dalam erti kata diterima periwayatan mereka secara automatik. Namun menjadi kemusykilan, jika kesemua sahabat itu bersifat adil, mengapa ada riwayat yang menyebut sebahagian sahabat itu melakukan dosa besar, antaranya berzina? Sedangkan ciri ‘adil itu mesti tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Kemuliaan Para Sahabat R.Anhum

Sahabat Nabi SAW merupakan di antara generasi yang terbaik kerana mereka hidup sezaman dengan Nabi SAW dan mereka juga dididik sendiri oleh Baginda SAW. Hal ini diakui sendiri oleh Baginda SAW melalui sabdanya:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah kurunku. Kemudian kurun selepas daripada mereka dan kemudian kurun selepas daripada mereka.”

 Sahih al-Bukhari (3651)

Selain itu juga, di dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa Allah SWT meredhai para sahabat ini dan Allah SWT menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Surah al-Taubah (100)

Firman Allah SWT juga:

لَّقَدْ رَضِيَ اللَّـهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;

Surah al-Fath (18)

Di samping itu juga, Nabi SAW melarang sebarang penghinaan ke atas para sahabatnya sebagaimana sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تَسُبُّوا أَصْحَابِي، فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ، ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ، وَلاَ نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu menghina sahabatku, sekiranya salah seorang daripada kamu menginfaqkan emas sebesar bukit Uhud, tidak akan menyamai satu cupak (pahala) seorang pun daripada mereka dan tidak juga separuh daripadanya.”

 Sahih al-Bukhari (3673)

Keadilan para sahabat juga disepakati oleh para ulama, dan ia hanya disanggah oleh aliran-aliran selain Ahlussunnah, antara Syiah dan Muktazilah. (Rujuk Ma’rifah al-Thiqat oleh Imam Abu al-Hasan al-‘Ijli 1/93) Lafaz yang sering digunakan oleh para ulama ialah:

الصَّحَابَةَ كُلَّهُمْ عُدُولٌ مَرْضِيُّونَ ثِقَاتٌ

Maksudnya: Sahabat R.Anhum itu kesemuanya adil, diredhai Allah SWT dan thiqah (dipercayai). (Rujuk Al-Ba’ith al-Hathith fi Ikhtisar ‘Ulum al-Hadith oleh Imam Ibn Kathir 1/49; Al-Istizkar oleh Imam al-Qurtubi 3/301 dan Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani 9/633)

 

Adil dalam periwayatan dan adil dari sudut suluk / tingkah laku

Dalam isu ini timbul persoalan; jika sahabat itu kesemuanya adil, mengapa banyak sekali riwayat yang menyebut bahawa ada sebahagian sahabat yang melakukan dosa dan maksiat, bahkan sebahagiannya telah dikenakan hukuman hudud? Contohnya Ma’iz bin Malik R.A yang mengaku dirinya telah berzina sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn ‘Abbas R.’Anhuma:

لَمَّا أَتَى مَاعِزُ بْنُ مَالِكٍ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لَهُ ‏"‏ لَعَلَّكَ قَبَّلْتَ أَوْ غَمَزْتَ أَوْ نَظَرْتَ ‏"‏‏.‏ قَالَ لاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ‏.‏ قَالَ ‏"‏ أَنِكْتَهَا ‏"‏‏.‏ لاَ يَكْنِي‏.‏ قَالَ فَعِنْدَ ذَلِكَ أَمَرَ بِرَجْمِهِ

Maksudnya: Tatkala Ma’iz bin Malik datang kepada Nabi SAW (untuk mengakui dosanya), Baginda berkata kepadanya: “Boleh jadi kamu hanya menciumnya, atau mengenyit mata kepadanya atau melihat kepadanya?”. Ma’iz menjawab: “Tidak wahai Rasulullah. Baginda bertanya lagi tanpa berkias: “Adakah kau telah berzina dengannya?” Berkata Ibn Abbas: Setelah itu (setelah Ma’iz mengaku), Baginda SAW mengarahkan supaya Ma’iz direjam.

Sahih al-Bukhari (6824)

Seorang pengkaji sirah kontemporari, Dr. Muhammad bin al-Mukhtar al-Syanqiti telah menjelaskan bahawa berlakunya kesalahfahaman yang besar dalam memahami dan membezakan antara dua istilah:

  • ‘adalah al-riwayah yang bermaksud adil kejujuran dan ketelitian dalam periwayatan
  • ‘adalah al-suluk iaitu sikap menjauhi dosa besar dan amat jarang melakukan dosa kecil, serta mengelakkan perkara mubah (harus) yang menjejaskan maruah serta kemuliaan

Menurut beliau, ‘adalah al-sohabah (keadilan para sahabat) yang dimaksudkan oleh para ulama, khasnya bidang hadith  adalah merujuk kepada ‘adalah al-riwayah, dalam erti kata mereka tidak akan sesekali berdusta atas nama Nabi SAW. Hal ini kerana berdusta atas nama Baginda merupakan satu hal yang amat besar bagi generasi sahabat, namun ia dipandang ringan oleh generasi seterusnya, maka syarat yang lebih ketat diperlukan untuk menentukan kesahihan suatu hadith.

Dr. Syanqiti memetik pandangan Imam Solahuddin al-‘Ala’i (العلائي) ,

ليس المعنى بعدالة كل واحد من الصحابة رضي الله عنهم أن العصمة له ثابتة والمعصية عليه مستحيلة. ولكن المعنى بهذا أن روايته مقبولة وقوله مصدق ولا يحتاج إلى تزكية كما يحتاج غيره إليها

Maksudnya: Keadilan setiap sahabat R.’Anhum itu bukan bermakna thabitnya kemaksuman pada diri mereka dan mustahil untuk mereka melakukan maksiat. Namun makna yang sebenar ialah riwayatnya diterima dan kata-katanya dibenarkan, dan tiada keperluan untuk tapisan sepertimana terhadap orang lain. (Rujuk Tahqiq Munif al-Rutbah li Man Thabata Lahu Syarf al-Suhbah, hlm. 86)

Selain itu, beliau turut menukilkan pandangan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah yang secara jelas menyebut:

وَأَصْحَابُ النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -[وَلِلَّهِ الْحَمْدُ] (6) . - مِنْ أَصْدَقِ النَّاسِ حَدِيثًا عَنْهُ، لَا يُعْرَفُ فِيهِمْ مَنْ تَعَمَّدَ عَلَيْهِ كَذِبًا

Maksudnya: Para sahabat Nabi SAW itu – segala puji bagi Allah – merupakan manusia yang paling benar kata-katanya, dan tidak diketahui adanya dalam kalangan mereka yang sengaja berdusta atas nama Baginda SAW. (Rujuk Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah 2/456) (Rujuk Al-Khilafat al-Siyasiyyah baina al-Sohabah, hlm. 176)

Namun, harus diberi perhatian bahawa meskipun ada dalam kalangan sahabat yang tergelincir dan melakukan maksiat, namun mereka mempunyai kelebihan di mana Allah SWT akan menetapkan hati mereka untuk segera bertaubat kepada-Nya, hasil keberkatan persahabatan mereka dengan Rasulullah SAW. (Rujuk Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih 4/1314)

 

Kesimpulan

Tuntasnya kami nyatakan bahawa maksud kesemua sahabat Rasulullah SAW itu bersifat adil ialah adil dari sudut periwayatan, dalam erti kata mereka tidak sesekali berdusta dan berbohong atas nama Baginda SAW, dan merupakan manusia yang paling benar dan jujur sifatnya.

Para sahabat R.’Anhum tidak maksum, namun kesalahan dan maksiat yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka tidak sama sekali mencacatkan ketinggian dan kedudukan mereka sebagai satu generasi terbaik umat ini, bahkan tidak menggugurkan keadilan mereka kerana maksiat dan kesilapan yang dilakukan disegerakan dengan taubat kepada Allah SWT. Hal ini kerana kedudukan mereka yang telah dijamin secara jelas oleh Allah SWT dalam banyak ayat al-Qur’an dan thabit melalui pengakuan Rasulullah SAW sendiri.

Wallahu a’lam.

 

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan