اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 521: BENARKAH TERDAPAT HADIS TENTANG KETINGGIAN NABI ADAM AS ENAM PULUH HASTA?

hu-min.png

Soalan

Assalamualaikum Datuk Dr. Mufti, benarkah terdapat hadis yang menyebutkan tentang ketinggian nabi Adam as enam puluh hasta? Mohon pencerahan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hadis yang menyebutkan tentang ketinggian Nabi Adam AS setinggi enam puluh hasta adalah sahih. Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Bukhārī di dalam kitab sahihnya, bab “خَلْقِ آدَمَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَذُرِّيَّتِهِ” (Penciptaan Adam AS dan Keturunannya). Selain itu, al-Bukhārī turut meirwayatkan hadis berkenaan ketinggian Nabi Adam AS di tempat yang lain dalam sahihnya dengan tajuk bab “بَدْءِ السَّلاَمِ” (Permulaan salam). Muslim dan al-Tirmizi turut meriwayatkan hadis ini di dalam kitab mereka. Hadis ini merupakan hadis yang sahih.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan kepada persoalan di atas, perihal ketinggian Nabi Adam AS memang disebutkan di dalam hadis Rasulullah SAW. Daripada Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَلَقَ اللَّهُ آدَمَ وَطُولُهُ سِتُّونَ ذِرَاعًا، ثُمَّ قَالَ: اذْهَبْ فَسَلِّمْ عَلَى أُولَئِكَ مِنَ المَلاَئِكَةِ، فَاسْتَمِعْ مَا يُحَيُّونَكَ، تَحِيَّتُكَ وَتَحِيَّةُ ذُرِّيَّتِكَ، فَقَالَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَالُوا: السَّلاَمُ عَلَيْكَ وَرَحْمَةُ، فَزَادُوهُ: وَرَحْمَةُ اللَّهِ، فَكُلُّ مَنْ يَدْخُلُ الجَنَّةَ عَلَى صُورَةِ آدَمَ، فَلَمْ يَزَلِ الخَلْقُ يَنْقُصُ حَتَّى الآنَ

Maksudnya: Allah menciptakan Adam dengan ketinggian enam puluh hasta. Kemudian Allah berkata: Pergilah (Wahai Adam) dan ucapkanlah salam ke atas mereka dalam kalangan para malaikat. Lalu dengarlah apa yang dijawab oleh mereka kepada engkau, itulah salam bagi engkau dan zuriatmu. Maka (Adam AS) mengucapkan: “Assalamualaikum” lalu mereka (para malaikat) menjawab: “Assalamualaika wa Rahmah, mereka menambahkan: “wa rahmatullah”. Maka, setiap yang masuk ke syurga adalah dalam bentuk Adam. Manusia sentiasa berkurangan (ketinggian mereka) semenjak penciptaannya sehingga sekarang. [1]

Riwayat al-Bukhārī ( 3326)

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam karya sahihnya di bawah tajuk bab “خَلْقِ آدَمَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِ وَذُرِّيَّتِهِ” (Penciptaan Adam AS dan keturunannya). Selain itu, al-Bukhari turut meirwayatkan hadis berkenaan ketinggian Nabi Adam AS di tempat yang lain dalam sahihnya dengan tajuk bab “بَدْءِ السَّلاَمِ” (Permulaan salam). Muslim dan al-Tirmizi turut meriwayatkan hadis ini di dalam kitab mereka. Hadis ini merupakan hadis yang sahih.

Jika diperhatikan daripada aspek zahir hadis, ia hanya menceritakan keadaan ketika awal penciptaan Nabi Adam AS di syurga. Sedangkan ia tidak menjelaskan keberadaanya di bumi setelah diturunkan Allah SWT. Hal ini dapat difahami dengan meneliti dan melihat juga kepada beberapa riwayat lain yang menceritakan seperti riwayat di atas.

Ibn Hajr al-ʻAsqalani menerima kesahihan hadis ini dan menganggap bahawa hadis tersebut hanya menjelaskan sudut peristiwa awal berlakunya penciptaan Nabi Adam AS. Hal ini dinyatakan oleh beliau dalam Fath al-Bari seperti berikut:

فَظَاهِرُهُ أَنَّهُ كَانَ مُفْرِطَ الطُّولِ فِي ابْتِدَاءِ خَلْقِهِ وَظَاهِرُ الْحَدِيثِ الصَّحِيحِ أَنَّهُ خُلِقَ فِي ابْتِدَاءِ الْأَمْرِ عَلَى طُولِ سِتِّينَ ذِرَاعا وَهُوَ الْمُعْتَمد

Maksudnya: Secara zahirnya, ketinggian yang keterlaluan itu adalah pada awal penciptaanya. Menurut zahir hadis yang sahih ini bahawa beliau diciptakan pada awalnya dalam enam puluh hasta dan ini adalah muktamad. [2]

Menurut Muhammad Anwar Syah al-Kasymiri ketika mensyarahkan bahawa ketinggian tersebut adalah ketinggian baginda AS di dalam syurga. [3] Berikut merupakan ungkapan beliau dalam Fayd al-Bari:

ويُحْتَمَلُ أن يكونَ مرادُ الحديث أنه كان قدر طولهم هذا في الجنة

Maksudnya: Dan berkemungkinan maksud hadis tersebut adalah kadar tinggi mereka di dalam syurga. [4]

 

Kesimpulan

Setelah melakukan penelitian, memang benar terdapat hadis sahih yang menyebutkan perihal ketinggian Nabi Adam AS dengan ukuran enam puluh hasta. Namun, tidak terdapat riwayat yang kuat dan setaraf riwayat di atas menyebutkan tentang ketinggian Nabi Adam AS di bumi. Wallahua’lam.

Rujukan

[1] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, al-Jamiʻ al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar min ’Umur Rasulillah SAW wa Sunanihi wa Ayyamihi, ed. Muhammad Zuhayr bin Nasir al-Nasir (t.tp: Dar Tuq al-Najah, 1422), 4/131.

[2] Ahmad bin ʻAli bin Hajr al-ʻAsqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Fu’ad ʻAbd al-Baqi (Bayrut: Dar al-Maʻrifah, 1379), 6/367.

[3] Muhammad Anwar Syah al-Kasymiri, Fayd al-Bari ʻala Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Badr ʻAlim (Bayrut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 2005), 4/342.

[4] Ibid.