اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 522: ADAKAH TERDAPAT HADIS TENTANG LARANGAN MARAH

hadis_marah.png

SOALAN

Assalamualaikum admin, adakah terdapat hadis berkenaan larangan marah? Mohon penjelasan.

RINGKASAN JAWAPAN

Tidak dinafikan bahawa memang terdapat hadis-hadis yang menyebutkan tentang larangan marah. Manusia tidak dapat lari daripada sifat marah kerana ianya merupakan salah satu emosi yang wujud dalam diri manusia. Namun, sebagai seorang mukmin sifat ini perlu diurus dengan baik dan penuh sabar. Hal ini kerana, Allah SWT amat menyukai orang-orang yang bersabar.

HURAIAN JAWAPAN

Berdasarkan kepada persoalan di atas, terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang larangan marah, antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah RA:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ»

Maksudnya: Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah. [1]

Riwayat al-Bukhārī (6114)

Selain itu, Abū Hurayrah RA juga meriwayatkan bahawa:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوْصِنِي، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ» فَرَدَّدَ مِرَارًا، قَالَ: «لاَ تَغْضَبْ»

Maksudnya: Seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Sampaikanlah pesan kepadaku”, Baginda menjawab: “Jangan marah”. Kemudian lelaki tersebut mengulangi perkataannya. Nabi SAW tetap berkata: “Jangan marah.” [2]

Riwayat al-Bukhārī (6116)

Imam Ibn Ḥajar al-ʻAsqalānī ketika mensyarahkan hadis ini berkenaan maksud “lā taghḍab” (jangan marah) di dalam hadis, maksud perkataan “lā taghḍab” (jangan marah) adalah menjauhi perkara-perkara serta segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemarahan. [3] 

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan daripada ʻAṭiyyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْغَضَبَ مِنَ الشَّيْطَانِ، وَإِنَّ الشَّيْطَانَ خُلِقَ مِنَ النَّارِ، وَإِنَّمَا تُطْفَأُ النَّارُ بِالْمَاءِ، فَإِذَا غَضِبَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya marah itu daripada syaitan, dan syaitan diciptakan daripada api neraka, dan api akan dipadam dengan air. Maka, jika salah seorang daripada kamu marah hendaklah berwuduk. [4]

Riwayat Abū Dāwud (4784)

Walaupun begitu, terdapat marah yang dibenarkan oleh syarak. Marah yang dibenarkan oleh syarak disebut sebagai al-Ghadab al-Mahmud (marah yang terpuji). Dibolehkan untuk merasa marah apabila terdapat sentimen mempersendakan agama Islam oleh pihak musuh daripada kalangan orang kafir, munafik dan lain-lain. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ جَاهِدِ الْكُفَّارَ وَالْمُنَافِقِينَ وَاغْلُظْ عَلَيْهِمْ ۚ وَمَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ

Maksudnya: Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka. Dan (sebenarnya) tempat mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Surah al-Taubah (73)

Cara-cara mengawal kemarahan: [6]

  • Marah juga dapat dikawal dengan sentiasa mempraktikkan sifat sabar dalam menghadapi sesuatu perkara.
  • Menahan kemarahan dengan mengalihkannya kepada perkara lain seperti tidak memikirkan perkara berkaitan dan sentiasa berfikir positif terhadap hal lain.
  • Meluahkan perasaan marah secara wajar (tegas, yakin dan terkawal).
  • Apabila berasa marah seseorang perlu menenangkan dirinya dengan berzikir kepada Allah SWT, mengawal perilaku luaran dan tindak balas dalaman.

Selain itu, terdapat saranan daripada hadis Nabi SAW untuk mengawal sifat marah iaitu dengan sentiasa berwuduk jika berasa hendak marah. (Rujuk Sunan Abi Daud 4/249)

KESIMPULAN

Hadis-hadis yang menyebutkan tentang larangan marah memang benar terdapat dalam kitab-kitab himpunan hadis. Manusia tidak dapat lari daripada sifat marah kerana ianya merupakan salah satu emosi yang ada pada manusia. Namun begitu, sebagai seorang muslim yang baik, hendaklah kita mengawal kemarahan kita agar sifat tersebut tidak menjadi punca kepada masalah ataupun pergaduhan. Jadilah orang yang bersabar kerana ganjaran sabar itu sangat besar. Wallahuallam.

RUJUKAN

[1] Muḥammad bin Ismāʻīl al-Bukhārī, al-Jāmiʻ al-Musnad al-Ṣaḥīḥ al-Mukhtaṣar min Umūr Rasūlillāh SAW wa Sunanihi wa Ayyāmihi, ed. Muḥammad Zuhayr bin Nāṣir al-Nāṣir (Dār Ṭūq al-Najāh, 1422), 8: 28.

[2] Ibid.

[3] Aḥmad bin ʻAlī bin Ḥajar al-ʻAsqalānī, Fatḥ al-Bārī Syarḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, ed. Muḥammad Fu’ād ʻAbd al-Bāqī (Bayrūt: Dār al-Maʻrifah, 1379), 10: 520.

[4] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asyʻat, Sunan Abī Dāwud, ed. Muḥammad Muḥy al-Dīn ʻAbd al-Ḥamīd (Bayrūt: Maktabah al-ʻAṣriyyah, t.t), 4: 249.

[5] Alvin Ng Lai Oon, “Menangani Kemarahan”, laman sesawang MyHEALTH, dicapai pada 10 Mac 2021, http://www.myhealth.gov.my/menangani-kemarahan/.

[6] Ibid.

[7] Abū Dāwud Sulaymān bin al-Asyʻat, Sunan Abī Dāwud, ed. Muḥammad Muḥy al-Dīn ʻAbd al-Ḥamīd, 4: 249.