اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 554: STATUS HADIS JIBRIL AS MEMASUKKAN TANAH KE DALAM MULUT FIRA'UN

Jibril.png

 

Soalan

Assalamualaikum, Tuan Mufti saya ingin bertanya adakah benar memang terdapat hadis sebegini? “Nabi SAW bersabda: Jibril memasukkan tanah ke dalam mulut firaun kerana risau firaun akan mengucap la ilaha illallah”. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Berkenaan status hadis ini para ulama berbeza pandangan di mana al-Hakim menghukumkan hadis ini sebagai sahih dan menepati syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi keduanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka. Manakala, al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan dengan sedikit perbezaan pada matannya iaitu tanpa disebutkan lafaz “tiada tuhan melainkan Allah”. Ulama kontemporari seperti Syeikh Syuʻaib al-Arna’ut pula menghukumkan hadis ini sebagai sahih tetapi sanadnya adalah mauquf[1] ke atas Ibn ʻAbbas RA.

Huraian Jawapan

Riwayat ini diriwayatkan dalam pelbagai kitab hadis bersanad. Lafaznya ialah seperti berikut:

إِنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يَدُسُّ فِي فَمِ فِرْعَوْنَ الطِّينَ، مَخَافَةَ أَنْ يَقُولَ: لَا إِلَهَ إِلا اللهُ

Maksudnya: Jibril AS telah memasukkan tanah ke dalam mulut firaun, kerana bimbang firaun akan mengucapkan: “tiada tuhan melainkan Allah”.[2]

Riwayat Ahmad

Riwayat ini juga diriwayatkan oleh al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra[3], al-Bazzar dalam Musnad al-Bazzar[4] Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban[5]  dan al-Hakim dalam al-Mustadrak[6]. Manakala, Abu Daud al-Tayalisi dalam musnadnya dengan lafaz matan yang sedikit berbeza iaitu:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "قَالَ لِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ: لَوْ رَأَيْتَنِي وَأَنَا آخُذُ مِنْ حَالِ الْبَحْرِ فَأَدُسُّهُ فِي فِيِّ فِرْعَوْنَ مَخَافَةَ أَنْ تُدْرِكَهُ الرَّحْمَةُ"

Maksudnya: Rasulullah SAW bersabda: Jibril AS berkata kepadaku: Kalau engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut firaun kerana bimbang dia akan mendapat rahmat tuhan.[7]

Syeikh Syuʻaib al-Arna’ut memberikan komentar, kata beliau:

صحيح موقوفاً على ابن عباس، رجاله ثقات رجال الشيخين غير عطاء بن السائب متابِع عدي بن ثابت، فقد روى له أصحاب السنن وهو صدوق، وشعبة روى عنه قبل الاختلاط.

Maksudnya: Hadis ini sahih dan sanadnya mauquf daripada Ibn ‘Abbas. Perawi-perawinya thiqah bahkan mereka juga daripada kalangan perawi al-Shaikhain (al-Bukhari dan Muslim) melainkan ‘Ata’ bin al-Sa’ib yang menguatkan periwayatan ‘Adi bin Tha’ib. Penulis-penulis kitab menyebutkan bahawa beliau adalah saduq dan Syuʻbah meriwayatan daripadanya sebelum berlakunya kekeliruan ke atasnya.[8]

Al-Hakim mengatakan hadis ini adalah sahih mengikut syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi keduanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka. Bahkan, kebanyakan ashab(murid) Syuʻbah mengkategorikan hadis ini mawquf ke atas Ibn ‘Abbas RA. [9]

Dalam hal ini, al-Tabari meriwayatkan hadis ini dengan beberapa jalur sanad namun terdapat satu jalur yang sedikit berbeza iaitu al-Tabari meriwayatkan bahawa al-Muthanna menceritakan kepada kami, beliau berkata Hajjaj menceritakan kepada kami, beliau berkata Hammad bin Salamah menceritakan kepada kami, beliau berkata daripada ‘Ali bin Zaid, daripada Yusuf bin Mihran, daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لَمَّا أَغْرَقَ اللَّهُ فِرْعَوْنَ قَالَ: آمَنْتُ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ فَقَالَ جِبْرِيلُ: يَا مُحَمَّدُ فَلَوْ رَأَيْتَنِي وَأَنَا آخُذُ مِنْ حَالِ البَحْرِ فَأَدُسُّهُ فِي فِيهِ مَخَافَةَ أَنْ تُدْرِكَهُ الرَّحْمَةُ 

Maksudnya: Ketika Allah SWT menenggelamkan firaun, dia berkata “Aku beriman bahawa tiada tuhan melainkan tuhan yang diimani oleh Bani Israel. Maka Jibril AS berkata: Wahai Muhammad seandainya engkau melihat aku mengambil lumpur lautan lalu aku menyumbat lumpur tersebut ke dalam mulut firaun kerana takut dia mendapat rahmat tuhan.[10]

Al-Tirmizi juga meriwayatkan hadis ini dengan lafaz yang sama seperti al-Tabari dan beliau menghukumkan hadis ini sebagai hasan.[11]

Namun, pada sanad tersebut terdapat perawi yang bernama ‘Ali bin Zaid bin Judʻan yang dianggap sebagai daif oleh sebahagian ulama hadis seperti Ibn ʻUyainah yang mendaifkan beliau.[12] Abu Zurʻah juga mengkritik beliau sebagai laysa bi qawiy(lemah hafalan)[13] dan lain-lain. Antara ulama kontemporari yang menilai beliau sebagai daif juga ialah Syeikh Syuʻaib al-Arna’ut.[14]

Oleh itu, para ulama berbeza pandangan tentang status hadis ini di mana al-Hakim menghukumkan hadis ini sebagai sahih dan menepati syarat al-Bukhari dan Muslim tetapi keduanya tidak mengeluarkan hadis ini di dalam kitab mereka. Manakala, al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan dengan sedikit perbezaan pada matannya iaitu tanpa disebutkan lafaz “tiada tuhan melainkan Allah”. Ulama kontemporari seperti Syeikh Syuʻaib al-Arna’ut pula menghukumkan hadis ini sebagai sahih tetapi sanadnya adalah mawquf ke atas Ibn ʻAbbas RA.

Hadis malaikat Jibril AS memasukkan tanah ke dalam mulut firaun menceritakan bagaimana Allah SWT menunjukkan kebesaran dan kekuasaan-Nya terhadap Bani Israil yang enggan beriman dengan ajaran Nabi Musa AS. Lalu ketika Allah SWT menenggelamkan firaun dan kaumnya maka firaun hendak beriman dengan mengucapkan kalimah tahlil maka Jibril AS menyumbat ke dalam mulutnya lumpur dari lautan kerana bimbang ia akan mendapat rahmat Allah SWT.[15]

Peristiwa ini menggambarkan kepada seluruh umat Islam bahawa taubat seorang hamba tidak akan diterima saat nyawa sudah dikerongkongan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَيْسَتِ التَّوْبَةُ لِلَّذِينَ يَعْمَلُونَ السَّيِّئَاتِ حَتَّىٰ إِذَا حَضَرَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ إِنِّي تُبْتُ الْآنَ وَلَا الَّذِينَ يَمُوتُونَ وَهُمْ كُفَّارٌ ۚ أُولَٰئِكَ أَعْتَدْنَا لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Maksudnya: Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: "Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini," (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Surah al-Nisa’ (4: 18)

Wallahua’lam.

[1] Mauquf ialah sanadnya terhenti kepada sahabat Nabi SAW atau disandarkan kepada sahabat Nabi SAW.

[2] Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), no. Hadis 2144, 4: 45.

[3] Abu ‘Abd al-Rahman Ahmad bin Syuaʻib al-Nasa’i, al-Sunan al-Kubra, ed. Hasan ‘Abd al-Munʻim Syalabi (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), 10: 125, no. 11174.

[4] Abu Bakr Ahmad bin ‘Amru al-Bazzar, Musnad al-Bazzar, ed. ‘Adil bin Saʻad (Madinah: Maktabah al-‘Ulum wa al-Hikam, 2009), 11: 241, no. 5018.

[5] Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban, ed. ‘Ala’ al-Din bin Bilban (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1988), 14: 98, no. 6215.

[6] Abu ‘Abdullah al-Hakim Muhammad bin ‘Abdullah al-Naisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, ed. Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1990), 2: 370, no. 3303.

[7] Abu Daud Sulaiman bin Daud al-Tayalisi, Musnad Abi Daud al-Tayalisi, ed. Muhammad bin ‘Abd al-Muhsin al-Turki (Misr: Dar Hijr, 1999), 4: 344, no. 2740.

[8] Rujuk komentar Syeikh Syuʻaib di Ahmad bin Hanbal, Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal, ed. Syuʻaib al-Arna’ut, 4: 45-46.

[9] Abu ‘Abdullah al-Hakim Muhammad bin ‘Abdullah al-Naisaburi, al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, ed. Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata, 2: 370. 

[10] Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jamiʻ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, ed. Ahmad Muhammad Syakir (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2000), 15: 191, no. 17861.

[11] Muhammad bin Isa bin Saurah al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Awwad (Misr: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), 5: 287.

[12] Al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal, ed. ‘Ali Muhammad al-Bajawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1963), 3: 127.

[13] Al-Zahabi, Diwan al-Duʻafa’ wa al-Matrukin, Hammad bin Muhammad al-Ansari (Mekah: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, 1967), 283.

[14] Rujuk komentar Syeikh Syuʻaib di Muhammad bin Hibban, Sahih Ibn Hibban, ed. ‘Ala’ al-Din bin Bilban, 14: 98.

[15] Ahmad bin ‘Abd al-Rahman al-Banna, Fath al-Rabbani (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t), 20: 95.