اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 556 : BENARKAH KISAH YANG MENYEBUTKAN BAHAWA NABI SAW TIDAK SOLAT JENAZAH SEORANG PERASUAH?

IH 556

 

Soalan

Assalamualaikum, SS Mufti saya ingin bertanyakan soalan berkenaan kisah Rasulullah SAW tidak sembahyangkan jenazah perasuah, adakah ia merupakan hadis atau apa? Saya benar-benar ingin tahu kesahihan kisah ini, terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Kisah atau hadis yang menyebutkan bahawa Nabi SAW tidak solat jenazah seorang perasuah tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis muktabar. Bahkan, solat jenazah perlu dilakukan kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam walaupun seseorang itu melakukan dosa-dosa besar. Selagimana seseorang itu mengucapkan kalimah (La ilaha Illallah - tiada tuhan yang disembah melainkan Allah) maka diwajibkan solat jenazah ke atasnya.

 

Huraian Jawapan

Setelah melakukan penelitian, tidak dijumpai kisah atau hadis yang menyebutkan bahawa Nabi SAW tidak solat jenazah seorang perasuah dalam mana-mana kitab hadis muktabar.

 

Terdapat satu hadis di dalam kitab Sunan al-Daraqutni yang meriwayatkan dari Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلُّوا عَلَى مَنْ قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ , وَصَلُّوا خَلْفَ مَنْ قَالَ: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: Solatlah(solat jenazah) kalian ke atas sesiapa sahaja yang mengucapkan “tiada tuhan melainkan Allah” dan solatlah dibelakang sesiapa sahaja yang mengucapkan “tiada tuhan melainkan Allah”.[1]

 

Imam al-Daraqutni memasukkan hadis ini di bawah tajuk bab “Kriteria Orang Yang Diharuskan Solat Bersamanya Dan Solat Ke Atasnya”.[2] Kemudian al-Daraqutni mendatangkan pula riwayat Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالصَّلَاةُ وَاجِبَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ يَمُوتُ بَرًّا كَانَ أَوْ فَاجِرًا وَإِنْ عَمِلَ بِالْكَبَائِرِ

Maksudnya: Solat(jenazah) wajib ke atas setiap muslim sama ada ia (mati dalam keadaan) baik atau buruk walaupun dia melakukan dosa besar.[3]

 

Ini menunjukkan bahawa solat jenazah tetap dilakukan ke atas mereka yang melakukan dosa-dosa besar selagimana mereka mengucapkan kalimah tahlil (La ilaha Illallah - tiada tuhan melainkan Allah) dan zahirnya mati dalam keadaan Islam.

 

Dalam Islam, solat jenazah tidak boleh dilakukan ke atas orang-orang kafir sahaja. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini, kata beliau:

(وَتَحْرُمُ) الصَّلَاةُ (عَلَى الْكَافِرِ) حَرْبِيًّا كَانَ أَوْ ذِمِّيًّا

Maksudnya: dan haram solat(jenazah) ke atas orang kafir sama dia kafir harbi[4] atau kafir zimmi[5].[6]

 

Perkara ini juga ditegaskan melalui ayat suci al-Quran yang melarang solat jenazah didirikan ke atas golongan munafik kerana mereka termasuk dalam golongan bukan Islam, firman Allah SWT:

وَلا تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya.

Surah al-Taubah (9: 84)

 

Hal ini kerana haram untuk mendoakan keampunan bagi orang-orang yang kafir. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua).

Surah al-Nisa’ (4: 48)

 

Berdasarkan kepada dua ayat di atas, Allah SWT melarang umat Islam untuk solat dan mendoakan keampunan ke atas jenazah orang yang munafik.[7] Kemudian,  Allah SWT juga menegaskan bahawa kesemua dosa akan diampunkan oleh Allah SWT melainkan dosa syirik.[8]

 

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, disimpulkan bahawa kisah atau hadis yang menyebutkan bahawa Nabi SAW tidak solat jenazah seorang perasuah tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis muktabar. Bahkan, solat jenazah perlu dilakukan kepada sesiapa sahaja yang beragama Islam walaupun seseorang itu melakukan dosa-dosa besar. Tetapi selagimana dia mengucapkan kalimah tahlil (La ilaha Illallah - tiada tuhan melainkan Allah) maka diwajibkan solat jenazah ke atasnya.

 

Walaubagaimanapun ia sama sekali tidak menafikan pengharaman orang yang mengambil dan menerima rasuah sepertimana sabda Nabi SAW:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

Riwayat Abu Daud

 

Hadis di atas menunjukkan bahawa Islam melaknat orang yang melakukan rasuah sama ada orang yang memberi rasuah atau yang menerima rasuah. Perbuatan rasuah ini perlu dihindari kerana ia akan menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara, melahirkan masyarakat yang tidak amanah, berlakunya penganiayaan dan lain-lain.Wallahua’lam

[1] Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Umar al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, ed. Syuʻaib al-Arna’ut (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2004), 2: 401-402, no. 1761 dan 1762.

[2] بَابُ صِفَةِ مَنْ تَجُوزُ الصَّلَاةُ مَعَهُ وَالصَّلَاةُ عَلَيْهِ

[3] Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Umar al-Daraqutni, Sunan al-Daraqutni, ed. Syuʻaib al-Arna’ut, 2: 402, no. 1764.

[4] Kafir harbi ialah kafir yang memerangi agama Islam.

[5] Kafir zimmi ialah kafir yang mendapat perlindungan daripada negara Islam.

[6] Al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Maʻrifah Maʻani Alfaz al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-ʻIlmiyyah, 1994), 2: 32.

[7] Ahmad bin Mustafa al-Maraghi, Tafsir al-Maraghi (Mesir: Matbaʻah al-Mustafa al-Babi al-halabi, 1946), 10: 175.

[8] Ahmad bin Muhammad bin Ali al-Wahidi, al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-‘Aziz, ed. Safwan ‘Adnan Dawudi (Dimasyq: Dar al-Qalam, 1415), 268.