اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 557: BENARKAH TERDAPAT HADIS YANG MENCERITAKAN BERKENAAN NABI SAW MENCEKIK JIN IFRIT KERANA MENGGANGGU BAGINDA SOLAT?

IFRIT.png Soalan

Assalamualaikum wrth, saya nak minta sahkan benarkah terdapat hadis yang menyatakan seperti ini?

“Nabi SAW pernah mencekik jin ifrit kerana mengganggunya solat”

Ringkasan Jawapan

Hadis yang menyebutkan berkenaan Nabi SAW mencekik jin Ifrit kerana mengganggu Baginda SAW melaksanakan solat adalah sahih. Hadis ini direkodkan dalam kebanyakan kitab hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan lain-lain.

Huraian Jawapan

Hadis ini diriwayatkan dalam banyak kitab hadis muktabar antaranya dalam Sahih al-Bukhari. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ عِفْرِيتًا مِنَ الجِنِّ تَفَلَّتَ عَلَيَّ البَارِحَةَ - أَوْ كَلِمَةً نَحْوَهَا - لِيَقْطَعَ عَلَيَّ الصَّلاَةَ، فَأَمْكَنَنِي اللَّهُ مِنْهُ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَرْبِطَهُ إِلَى سَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ حَتَّى تُصْبِحُوا وَتَنْظُرُوا إِلَيْهِ كُلُّكُمْ، فَذَكَرْتُ قَوْلَ أَخِي سُلَيْمَانَ: رَبِّ هَبْ لِي مُلْكًا لاَ يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي "، قَالَ رَوْحٌ: «فَرَدَّهُ خَاسِئًا»

Maksudnya: Sesungguhnya Ifrit daripada bangsa jin telah menggangguku semalam untuk memutuskan solatku. Maka Allah berikan aku kelebihan untuk mengatasinya. Kemudian, aku hendak mengikatnya di salah satu tiang masjid sehingga waktu subuh dan kalian semua dapat melihatnya. Lalu aku teringat perkataan Nabi Sulaiman AS, “Wahai Tuhan, kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku”. Rauh berkata: Kemudian Baginda SAW mengusirnya dalam keadaan hina.[1]

(Riwayat al-Bukhari)

Dalam kitab yang sama Imam al-Bukhari mendatangkan matan yang sedikit berbeza, iaitu:

فَذَعَتُّهُ وَلَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ أُوثِقَهُ إِلَى سَارِيَةٍ حَتَّى تُصْبِحُوا

Maksudnya: Maka aku mencekiknya dan mengikatnya di tiang sehingga waktu subuh.[2]

Kemudian, Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa al-Nadr bin Syumail menyebutkan “فَذَعَتُّهُ” bermaksud mencekik.[3] Manakala Imam Muslim menyebutkan bahawa dalam riwayat yang dikemukakan oleh Imam Ibn Abi Syaibah dengan menggunakan lafaz “فَدَعَتُّهُ” berbeza dengan riwayat daripada jalur al-Nadr bin Syumail.

Imam al-Nawawi menjelaskan maksud kalimah “فَدَعَتُّهُ” ialah menolak dengan kuat.[4] Kedua-dua lafaz ini menurut Imam al-Nawawi adalah sahih.[5]

Syeikh Musa Syahin Lasyin menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan wujudnya gangguan daripada syaitan ketika solat dilaksanakan.[6] Gangguan tersebut dilakukan supaya seseorang menjadi tidak khusyuk di dalam solatnya.

Sebelum melaksanakan solat, Islam mengajarkan umatnya beberapa adab antaranya ialah membaca ayat-ayat pelindung agar dihindari daripada gangguan syaitan. Imam al-Ghazali dalam karyanya Bidayah al-Hidayah di bawah tajuk bab adab-adab ketika hendak melaksanakan solat menyebutkan bahawa:

فاستقبل القبلة قائما مزاوجا بين قدميك لا تضمهما، واستو قائما، واقرأ (قل أعوذ برب الناس) تحصنا بها من الشيطان الرجيم

Maksudnya: Hendaklah berdiri tanpa merapatkan kedua belah kakimu dengan menghadap ke arah kiblat, berdiri tegak (untuk menunaikan solat) dan membaca (قل أعوذ برب الناس) untuk berlindung daripada syaitan yang direjam.[7]

Berdasarkan kepada penelitian, hadis yang menyebutkan bahawa Nabi SAW mencekik jin Ifrit kerana mengganggu Baginda SAW melakukan solat adalah benar dan dijumpai dalam kebanyakan kitab hadis muktabar. Antaranya Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan lain-lain. Oleh itu, sebelum memulakan solat umat Islam digalakkan untuk membaca ayat-ayat pelindung agar terhindar daripada gangguan syaitan ketika solat. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada semua hamba-Nya petunjuk dan hidayah serta kekuatan untuk melakukan ibadah dengan khusyuk dan istiqamah. Waallahua’lam.

[1] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (Beirut: Dar Tuq al-Najah, 1422), 1: 99, no. 461.

[2] Ibid., 2: 64, no. 1210.

[3] Ibid. ثُمَّ قَالَ النَّضْرُ بْنُ شُمَيْلٍ: " فَذَعَتُّهُ: بِالذَّالِ أَيْ خَنَقْتُهُ

[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-ʻArabi, 1392), 5: 29. ومعناه دفعته دفعا شَدِيدًا وَالدَّعْتُ وَالدَّعُّ الدَّفْعُ الشَّدِيدُ.

[5] Ibid.

[6] Musa Syahin Lasyin, Fath al-Munʻim Syarh Sahih Muslim (Dar al-Syuruq, 2002), 3: 155.

[7] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Bidayah al-Hidayah, ed. Muhammad Zainihim Muhammad ‘Azab (Kaherah: Maktabah al-Madbuli, 1993), 44.